KAJANG, 23 Januari 2026 – Seramai 100 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kajang, Bandar Kajang menerima set bantuan persekolahan menerusi program Cheer To School (CTS), satu inisiatif tahunan bagi membantu pelajar daripada keluarga memerlukan.
Program ini ditaja sepenuhnya oleh Maybank Islamic dengan kerjasama Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) sebagai rakan pelaksana. Penerima manfaat terdiri daripada murid Tahap 1 dan Tahap 2 yang dikenal pasti memerlukan sokongan dari segi kelengkapan persekolahan.
Antara barangan yang diterima oleh setiap murid ialah beg sekolah, set alat tulis, fail, botol air, pensil warna, bekas pensil, bekas makanan serta baucar bernilai RM100 bagi pembelian keperluan tambahan seperti pakaian sekolah, kasut dan stokin.
Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia, Siti Fadilah Mohd Hood berkata, program ini diharap dapat meringankan beban ibu bapa serta memberi suntikan semangat kepada pelajar untuk terus cemerlang dalam pelajaran.
“Kami berharap bantuan Cheer To School ini dapat memberi kelegaan kepada ibu bapa serta membuka ruang kepada pelajar untuk memulakan sesi persekolahan dengan lebih yakin dan bermotivasi,” katanya.
Beliau menambah, selain kelengkapan sekolah, baucar yang diberikan memberi peluang kepada keluarga untuk melengkapkan barangan persekolahan anak-anak mengikut keperluan masing-masing.
Sementara itu, Penyelaras Unit Bantuan dan Kebajikan SK Kajang, Wan Zuraifah Wan Abdullah berkata, majoriti murid di sekolah tersebut datang daripada keluarga asnaf dan berpendapatan rendah.
“Anak-anak ini memang bersungguh-sungguh untuk belajar, cuma mereka berdepan kekangan kewangan. Ada yang masih memakai baju dan beg sekolah abang atau kakak, dan ada juga dalam kalangan mereka adalah anak yatim,” katanya.
Menurut beliau, sumbangan itu jelas membawa kegembiraan kepada murid-murid yang menerimanya.
“SK Kajang sangat berbesar hati dan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Maybank Islamic serta Islamic Relief Malaysia dan semua pihak yang terlibat,” tambahnya.
Seorang penerima maanfaat, Amira, murid Tahun 3, meluahkan rasa gembira menerima kelengkapan sekolah tersebut.
“Mak saya kerja pengasuh budak, ayah kerja penjaga. Saya seronok sangat dapat barang-barang sekolah ni. Boleh kongsi dengan adik,” katanya.
Secara keseluruhan, Maybank Islamic menaja seramai 1,450 pelajar di lima negeri iaitu Selangor, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak, melibatkan lebih 30 buah sekolah.
Program CTS terus menjadi antara inisiatif penting bagi IR Malaysia dalam memastikan akses pendidikan yang lebih saksama kepada pelajar daripada golongan kurang berkemampuan di Malaysia.

