Islamic Relief Malaysia umum Projek Jeti Terapung di Sabah hasil dana Charity Week Malaysia 2025

BANGI, 15 November 2025 – Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) hari ini telah melangsungkan acara Finale of Charity Week Malaysia 2025, bagi meraikan pencapaian para sukarelawan serta institusi yang terlibat sepanjang pelaksanaan kempen Charity Week tahun ini.

Majlis diserikan dengan kehadiran Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah IR Malaysia, bersama ahli Lembaga Pemegang Amanah iaitu Datuk Nur Iskandar A. Samad dan Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Hj. Othman A. Karim.

Turut hadir, Siti Fadilah Mohd Hood, Ketua Pegawai Eksekutif IR Malaysia, barisan pengurusan kanan IR Malaysia serta wakil Charity Week Malaysia diketuai Nur Athirah Sharim, Pengarah Charity Week Malaysia bersama pasukan Team Shura Charity Week Malaysia 2025.

Charity Week: Gerakan Global, Misi Menyatukan Ummah

Charity Week merupakan sebuah kempen global yang digerakkan sepenuhnya oleh sukarelawan dengan satu visi besar iaitu menyatukan Ummah melalui aktiviti kebajikan.

Bermula pada tahun 2003 di sebuah universiti di London, inisiatif ini kini berkembang menjadi gerakan antarabangsa yang disertai peserta dari seluruh dunia.

Pada tahun ini, Charity Week berjaya menggerakkan sukarelawan dari 9 negara, termasuk Malaysia, Qatar, Jerman, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, Afrika Selatan, Pakistan dan Ireland demi membantu anak yatim dan kanak-kanak yang memerlukan.

Di Malaysia, sebanyak 17 institusi telah menyertai Charity Week 2025 dan melaksanakan pelbagai aktiviti kreatif seperti charity sale, charity hiking, fun walk, fun run, charity sport, paddle for hope dan pelbagai inisiatif komuniti melibatkan keluarga, rakan-rakan, kumpulan serta organisasi setempat bermula 20 hingga 26 Oktober 2025.

 

Dana Disalurkan untuk Membantu Anak Yatim dan Kanak-Kanak Memerlukan

Dana yang dikumpulkan melalui Charity Week akan disalurkan kepada projek-projek yang memberi manfaat kepada anak yatim dan kanak-kanak yang memerlukan dalam sektor pendidikan, kesihatan, perlindungan dan kebajikan.

Pada tahun 2024, dana Charity Week Malaysia digunakan bagi menyediakan Keperluan dan Peralatan Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPC) di SK Nanga Kesit, Lubok Antu, Sarawak termasuk portable speaker dan stand, mikrofon, Android TV, Smart TV, skrin putih dan projector stand.

Dato’ Sri Syed Saleh dalam ucapannya berkata, “Sumbangan Charity Week Malaysia akan diperuntukkan bagi membina jeti terapung di SK Logongon, Nabawan, Sabah, bertujuan memudahkan perjalanan harian 96 pelajar, 15 guru dan kira-kira 600 penduduk kampung ke sekolah dengan lebih selamat.

“Kita mencari rezeki melalui apa yang kita dapat, tetapi kita membina kehidupan melalui apa yang kita beri. Itu impaknya lebih hebat, lebih luar biasa.

Saya percaya seluruh waktu kita bersama sepanjang Charity Week selama tujuh hari, telah merealisasikan kata-kata hikmah ini.”

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua sukarelawan, institusi, rakan kerjasama dan masyarakat yang telah menjayakan kempen tahun ini.

Selain projek tempatan, sebahagian dana Charity Week Malaysia juga disalurkan kepada kempen Rayuan Palestin IR Malaysia bagi membantu penduduk Gaza.

Antara institusi atau kumpulan yang menyertai Charity Week Malaysia 2025 ialah DBE BAK Kolej Vokasional Beaufort, Kelab Harmoni UKM, Incredible Hearts, Kelab Penyayang UiTM Shah Alam, Kelab Penyayang USIM, Masjid Al Falah Shah Alam, MPP & BAI Kolej Vokasional Beaufort, Pizzan Pizza, Politeknik Sultan Salahuddin Al Aziz Shah, ICEPS, Sea Gypsies T20, Darwish Clan, Sumo Wonder, Sukarelawan Zakat UiTM Melaka (SUZA), Uni Charity Society, Family Hauk dan MY Shura.

Penghargaan dan Anugerah Charity Week Malaysia 2025

Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil penyertaan dan cenderahati kepada semua institusi serta penyampaian empat anugerah utama:

  • The Fresh Impact Award: Kolej Vokasional Beaufort, Sabah
  • Inspiring Future Award: Kelab Penyayang USIM
  • The Most Hyped Award: Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
  • Best Display of Unity Award: Sukarelawan Zakat UiTM Melaka (SUZA)

 

Berkat kesungguhan dan dedikasi para sukarelawan, keseluruhan jumlah dana yang berjaya dikumpulkan tahun ini ialah sebanyak RM14,054.72.

Perjalanan Seorang Penggerak Charity Week

Bagi National Director Charity Week Malaysia, Nur Athirah Sharim, beliau turut berkongsi pengalaman, “Saya bermula sebagai peserta Charity Week pada 2023. Dengan berbekalkan apa yang ada, saya dan rakan-rakan empat orang, kami menjual keropok roda RM1 satu pek kepada rakan-rakan sekelas setiap hari, dan dalam tempoh seminggu, kami berjaya mengumpul lebih RM400.

“Tahun 2024, saya diberi amanah sebagai Institution Support, dan tahun ini saya menggalas amanah sebagai Pengarah Charity Week Malaysia.

“Alhamdulillah, saya melihat semakin ramai yang mengenali Charity Week dan penyertaan institusi baru juga meningkat. Saya berharap tahun hadapan gerakan ini akan berkembang lebih besar dan terus membuka mata masyarakat untuk prihatin dan membantu mereka yang memerlukan.”

Lima Tahun Charity Week di Malaysia

Charity Week Malaysia 2025 merupakan pelaksanaan tahun kelima sejak diperkenalkan di Malaysia pada 2021. Dengan sokongan para sukarelawan, institusi pendidikan, rakan komuniti dan masyarakat, kempen ini terus menjadi platform yang menyatukan Ummah melalui kasih sayang, perpaduan dan kepedulian.

IR Malaysia mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan kempen ini. Semoga usaha murni ini terus menjadi asbab kebaikan yang berkekalan.