Dua tahun berlalu, pembunuhan dan penderitaan di Gaza masih berterusan

Bulan Oktober menandakan genap dua tahun serangan tanpa henti terhadap Gaza. Hakikat bahawa konflik ini masih berterusan menunjukkan kegagalan masyarakat antarabangsa untuk menghentikan jenayah perang yang berlaku setiap hari di wilayah tersebut.

Sejak serangan bermula, lebih 66,000 nyawa telah terkorban, termasuk sekitar 20,000 kanak-kanak, manakala lebih 169,000 orang lagi cedera.

Hidup dalam Ketakutan dan Ketidaktentuan

Kehidupan di Gaza kini diselubungi ketakutan, kelaparan dan penderitaan. Kanak-kanak meninggal dunia akibat kebuluran yang berpunca daripada sekatan buatan manusia, manakala serangan berterusan mengorbankan lebih ramai orang awam setiap hari.

Sekatan Israel telah menjerat jutaan penduduk Gaza dalam perjuangan harian untuk mendapatkan makanan, air, tempat tinggal dan ubat-ubatan; segala keperluan asas untuk terus hidup.

Dipaksa Berpindah Berulang Kali

Hampir semua penduduk Gaza telah dipaksa meninggalkan rumah mereka, kebanyakannya berkali-kali. 90% keluarga telah berpindah sekurang-kurangnya enam kali, manakala sebahagian lagi terpaksa melarikan diri lebih banyak kali termasuk kakitangan Islamic Relief sendiri.

Kini keadaan semakin membimbangkan apabila serangan ke atas Bandar Gaza semakin hebat dan penduduk diarahkan berpindah keluar. Namun bagi kebanyakan penduduk, berpindah bukanlah pilihan. Kosnya terlalu tinggi, tempat perlindungan terlalu sedikit, dan ramai bimbang mereka tidak akan dapat kembali ke rumah sendiri.

Mereka yang berjaya berpindah pula hidup dalam kawasan yang sesak dan tidak bersih, dengan penyakit dan kebuluran yang semakin menular. Ratusan ribu orang kini tinggal dalam khemah di tepi pantai, di runtuhan bangunan yang musnah, dan di sepanjang jalan raya.

Kanak-kanak Gaza: Generasi yang Hilang

Tiada yang lebih terkesan daripada kanak-kanak Gaza. Mereka bukan sahaja berjuang untuk terus hidup, tetapi juga kehilangan masa depan dan harapan.

Lebih 132,000 kanak-kanak kini berdepan risiko maut akibat kebuluran, dan semua kanak-kanak bawah lima tahun berisiko mengalami kekurangan zat makanan teruk yang boleh memberi kesan jangka panjang terhadap kesihatan mereka.

Generasi muda Gaza kini telah tiga tahun tidak bersekolah, dan kesan psikologi akibat trauma serta kehilangan semakin ketara.

Sumbangan Anda, Harapan Mereka

Walaupun sekatan Israel menyekat kemasukan bantuan kemanusiaan, Islamic Relief terus menjadi talian hayat bagi rakyat Gaza yang amat memerlukan.

Dengan sokongan anda, kakitangan dan rakan pelaksana kami terus menyalurkan bantuan menyelamatkan nyawa. Terkini, kami telah mengagihkan makanan panas kepada 28,560 penerima manfaat dan menyampaikan 931 pek makanan kepada keluarga yang kehilangan tempat tinggal.

Selain itu, kami telah memperluas program bantuan untuk ibu mengandung, ibu baru bersalin dan bayi. Kami telah menjalankan hampir 400 pemeriksaan kesihatan untuk wanita hamil dan membantu proses kelahiran, termasuk pembedahan caesarean (C-section).

Sepanjang dua tahun ini, Islamic Relief sentiasa menyesuaikan tindak balas kami mengikut keadaan di lapangan, sambil memastikan keselamatan kakitangan, rakan pelaksana dan komuniti yang kami bantu. Antara bentuk bantuan yang telah dijalankan termasuk:

  • Agihan buah-buahan dan sayuran segar di pusat perlindungan sementara
  • Penyediaan makanan panas dan kit kebersihan kepada penduduk yang berpindah
  • Agihan makanan sedia dimakan, pek makanan dan daging korban
  • Sokongan psikososial kepada kanak-kanak yang mengalami trauma
  • Membekalkan air bersih melalui lori tangki
  • Menyalurkan bekalan perubatan ke hospital dan pusat kesihatan
  • Menubuhkan pusat rawatan perubatan sementara dengan ubat-ubatan dan kelengkapan
  • Menyediakan suplemen nutrien berasaskan lipid bersama Program Makanan Sedunia (WFP)
  • Membersihkan tempat perlindungan
  • Menyalurkan bantuan tunai pelbagai guna supaya keluarga boleh membeli keperluan utama
  • Memperluas Program Penajaan Anak Yatim kepada lebih 21,000 kanak-kanak

Bersuara untuk Kemanusiaan

Segala usaha ini sedikit sebanyak mengurangkan penderitaan, namun rakyat Gaza memerlukan lebih daripada sekadar bantuan.

Rakyat Palestin telah menunjukkan ketabahan yang luar biasa, tetapi setiap insan mempunyai hadnya. Sudah tiba masanya pemimpin dunia bertindak tegas dengan menuntut gencatan senjata menyeluruh dan mendesak Israel supaya membuka semula semua lintasan sempadan bagi membolehkan bantuan kemanusiaan sampai kepada mereka yang amat memerlukan.

Kenyataan kecaman semata-mata tidak lagi mencukupi. Untuk menyelamatkan nyawa, kerajaan di seluruh dunia perlu mengambil tindakan bermakna – menghentikan penjualan senjata, menggantung perjanjian perdagangan, serta mengharamkan urusan perdagangan dan pelaburan dengan penempatan haram Israel.

Sambil kita terus menyeru tindakan antarabangsa, bantulah kami untuk terus menyalurkan bantuan dan harapan kepada rakyat Gaza.

Sumbangkan kepada tabung Rayuan Palestin Islamic Relief Malaysia hari ini.