
BANGI, 12 September – Malaysia sekali lagi menjadi tuan rumah Program Inspire apabila seramai 21 sukarelawan dari Kanada berkumpul untuk menyertai program kesukarelawanan antarabangsa anjuran Islamic Relief Canada (IR Canada) dengan kerjasama Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) bermula 30 Ogos hingga 8 September lalu.
Program yang sudah memasuki edisi keenam di Malaysia sejak 2018 itu menyediakan platform pembelajaran praktikal serta perkongsian budaya merentas sempadan, di samping memberi peluang kepada sukarelawan menyantuni komuniti setempat.
Sepanjang program, para peserta mendekati 60 pelajar pelarian melibatkan 30 pelajar Refugee Intellectual Skills and Excellence (RISE) serta 30 pelajar Al-Noor Enrichment School melalui pelbagai aktiviti seperti pembelajaran interaktif, permainan, lawatan sambil belajar ke KidZania dan penyediaan keperluan asas. Mereka turut menziarahi rumah keluarga pelajar dan menyampaikan bantuan pek makanan.
Ketua Penyelaras Inspire IR Malaysia, Siti Noradilah Zainal berkata, edisi kali ini memperkenalkan peserta kepada komuniti Orang Asli. Antara aktiviti termasuk lawatan ke Mah Meri Cultural Village di Pulau Carey dan pengagihan 100 pek makanan kepada penduduk di beberapa kampung Orang Asli.
“Walaupun jadual padat, para sukarelawan tetap memberi komitmen penuh. Keikhlasan mereka jelas terlihat ketika berinteraksi dengan kanak-kanak,” katanya.
Pengurus Sukarelawan Antarabangsa IR Canada, Dr. Tarek Faid pula menzahirkan penghargaan atas kerjasama erat yang diberikan oleh IR Malaysia. “Kanak-kanak di sini benar-benar istimewa. Insya-Allah, kami berharap kerjasama ini dapat diteruskan pada masa hadapan,” ujarnya.
Seorang sukarelawan, Seerat dari Calgary, Kanada, menyifatkan pengalaman menyantuni pelarian di Malaysia sebagai luar biasa. “Melihat ketabahan mereka walaupun berdepan pelbagai cabaran benar-benar membuka mata saya terhadap realiti kehidupan mereka. Ia menjadikan saya lebih menghargai nikmat Allah,” katanya.
Selain Malaysia, Program Inspire 2025 turut berlangsung di Bosnia dan Herzegovina, Turkiye, Kosova, Albania, Makkah dan Madinah, Indonesia, Afrika Selatan serta Maghribi.