Banjir Pakistan: Angka korban meningkat, bantuan kemanusiaan mendesak

PAKISTAN, 9 September – Sejak akhir Jun 2025, Pakistan telah berdepan hujan monsun luar biasa yang mencetuskan banjir besar, banjir kilat, hujan lebat setempat serta tanah runtuh di Khyber Pakhtunkhwa, Punjab, AJK, Gilgit-Baltistan, Sindh dan Islamabad.

Menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara (NDMA), seramai 829 orang telah terkorban dan 1,116 orang cedera, manakala puluhan ribu rumah musnah atau rosak.

Situasi paling kritikal berlaku di Punjab, di mana limpahan sungai Chenab, Ravi dan Sutlej telah menjejaskan hampir dua juta penduduk serta memaksa kira-kira 500,000 orang berpindah.

Lebih 2,200 kampung telah ditenggelami air, manakala pemindahan besar-besaran serta penubuhan lebih 500 pusat perlindungan giat dijalankan.

Sejak awal bencana, Islamic Relief Pakistan telah berada di lapangan dengan menggerakkan pasukan tindak balas kecemasan ke wilayah-wilayah yang paling teruk terjejas.

Di Punjab, Islamic Relief aktif melaksanakan aktiviti bantuan di Naroval, Jhang, Muzaffargarh, Multan dan Rajanpur, termasuk menguruskan sebuah kem di Muzaffargarh untuk 200 isi rumah, di mana keluarga menerima makanan panas dan bekalan air bersih setiap hari.

Di Khyber Pakhtunkhwa yang mencatatkan jumlah korban paling tinggi iaitu 484 kematian, pasukan Islamic Relief terus menyalurkan bantuan makanan dan barangan bukan makanan ke daerah pergunungan yang terjejas seperti Buner, Shangla dan Swat meskipun berdepan jalan yang rosak serta akses yang sukar.

Sementara itu di Sindh, pasukan Islamic Relief berada dalam keadaan berjaga-jaga apabila air banjir mula memasuki wilayah tersebut, dengan bekerjasama rapat bersama pihak berkuasa tempatan bagi membuat persediaan tindak balas segera.

Sehingga kini, Islamic Relief telah membantu lebih 22,000 orang dengan bantuan kecemasan bagi menyelamatkan nyawa. Penilaian awal menunjukkan tahap kemusnahan yang luar biasa, dan Islamic Relief merancang untuk memperluas tindak balasnya bagi mencapai satu juta keluarga (sekitar 7 juta orang) dalam beberapa bulan akan datang.

Dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang, Islamic Relief akan terus menyokong komuniti yang terkesan bukan sahaja melalui bantuan segera, tetapi juga melalui usaha pemulihan jangka Panjang termasuk memulihkan sumber pendapatan, membaiki kediaman, serta memperkukuh daya ketahanan mereka.