Gempa bumi Afghanistan, Islamic Relief hantar pasukan kecemasan

Islamic Relief telah menghantar pasukan kecemasan kesihatan bagi menyediakan perkhidmatan penting kepada penduduk yang terselamat daripada gempa bumi yang berlaku di timur Afghanistan sehingga meragut lebih 600 nyawa dan memusnahkan keseluruhan kampung. Angka korban terus meningkat apabila pasukan penyelamat berjaya menjejak masuk ke lebih banyak kawasan.

Gempa bumi bermagnitud 6.0 menggegarkan wilayah Kunar sekitar tengah malam waktu tempatan, ketika kebanyakan keluarga sedang lena diulit tidur. Kanak-kanak menceritakan detik cemas apabila mereka terjaga dalam ketakutan, sementara rumah-rumah runtuh di sekeliling mereka. Dalam suasana panik, penduduk bergegas melarikan diri untuk menyelamatkan nyawa. Keadaan bertambah genting dengan beberapa gegaran susulan yang berlaku sepanjang malam.

Di beberapa daerah, lebih 600 nyawa terkorban manakala lebih 2,500 lagi cedera. Angka ini dijangka terus meningkat apabila maklumat baharu diperoleh. Antara kawasan paling teruk terjejas adalah di pedalaman dan pergunungan, di mana jalan raya banyak terhalang akibat tanah runtuh. Keadaan ini memaksa pasukan penyelamat meredah perjalanan jauh dengan berjalan kaki atau menggunakan helikopter untuk memindahkan mangsa.

Ketua Program Islamic Relief di Afghanistan, Ibrahim Ahmed Alhomadi, berkata: “Keseluruhan kampung di Kunar telah runtuh dan menjadi lumpur. Jumlah korban meningkat setiap jam. Alhamdulillah pasukan Islamic Relief di kawasan terjejas berada dalam keadaan selamat dan kami kini telah menghantar pasukan kecemasan kesihatan untuk menyalurkan bantuan segera kepada penduduk terjejas. Mereka telah kehilangan segalanya dan amat memerlukan rawatan kesihatan, makanan, air dan tempat perlindungan. Lokasi kejadian adalah di kawasan pedalaman, luar bandar serta bergunung-ganang. Jadi, tanah runtuh dan banjir menyukarkan lagi usaha untuk sampai ke sana. Kebanyakan rumah di kampung ini dibina daripada lumpur atau bahan rapuh yang runtuh sepenuhnya.”

Pasukan Islamic Relief di lapangan kini memberi tumpuan di wilayah Kunar dengan menyediakan perkhidmatan kesihatan penting termasuk penjagaan ibu dan anak, rawatan kecederaan, sokongan nutrisi serta bantuan menangani trauma.

Kesan gempa bumi ini lebih parah kerana ia berlaku sangat cetek hanya lima batu (8km) di bawah permukaan bumi. Usaha tindak balas turut terjejas akibat banjir besar yang melanda wilayah Kunar dan Nangarhar dua hari sebelum gempa.

Bencana ini berlaku ketika rakyat Afghanistan sedang bergelut dengan masalah kemarau yang meluas, ditambah dengan kesan daripada pengurangan bantuan kemanusiaan global yang menyebabkan penutupan perkhidmatan penting seperti fasiliti kesihatan dan pusat pemakanan.

Perkhidmatan di negara itu juga terbeban dengan kemasukan besar-besaran rakyat Afghanistan yang dipaksa pulang dari Iran dan Pakistan. Lebih 2.4 juta orang telah kembali tahun ini, kebanyakannya dalam keadaan kesihatan yang lemah dan tanpa tempat tinggal. Islamic Relief turut memberi sokongan kepada mereka sebaik sahaja tiba di Afghanistan.

Islamic Relief telah beroperasi di Afghanistan selama lebih 20 tahun. Tahun lalu, Islamic Relief telah membantu lebih 636,000 orang di 20 daripada 34 wilayah negara tersebut, dengan menyediakan bantuan termasuk makanan, nutrisi, kesihatan, pendidikan dan kehidupan mampan.

Di wilayah Kunar dan Nangarhar yang terjejas akibat gempa, Islamic Relief membantu petani meningkatkan hasil pertanian dan menyokong perniagaan kecil untuk berkembang maju. Islamic Relief juga telah menyalurkan bantuan kecemasan akibat gempa bumi di Paktika dan Herat.