
Di tengah-tengah cabaran dunia yang semakin kompleks dan tidak menentu, krisis kemanusiaan terus menjadi cabaran besar yang memerlukan perhatian dan tindakan segera. Peperangan, konflik bersenjata, bencana alam, wabak penyakit dan pelbagai faktor lain telah menyebabkan kekacauan serta gangguan serius terhadap sistem masyarakat. Keadaan ini mengakibatkan kehilangan nyawa dan harta benda, perpindahan penduduk secara besar-besaran, serta kemusnahan infrastruktur.
Lebih membimbangkan, ia turut menjejaskan akses kepada sumber asas kehidupan seperti air bersih, makanan dan perkhidmatan kesihatan. Semua ini meninggalkan trauma serta kesan mendalam terhadap kelangsungan hidup, keselamatan dan hak asasi golongan yang terjejas.
Dalam menghadapi situasi kritikal ini, peranan negara-negara di seluruh dunia amat penting untuk memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan dengan efektif dan berkesan. Semua pihak harus mengakui bahawa krisis kemanusiaan yang berlaku di sesebuah negara itu tidak wajar untuk diabaikan. Sebaliknya, ia adalah situasi yang perlu dihadapi bersama oleh seluruh dunia demi membela dan menegakkan keadilan sosial bagi komuniti yang terpinggir.
Perlu diingat, krisis dan bencana bukan sekadar menguji ketahanan masyarakat setempat, tetapi turut menjadi kayu ukur terhadap komitmen global dalam membantu komuniti yang terkesan akibat konflik.
Negara-negara yang sedang bergolak seperti Gaza, Sudan dan Syria sering memaparkan wajah-wajah mereka yang mengalami penderitaan. Mereka memerlukan sokongan dan bantuan tanpa henti daripada negara luar agar semangat mereka untuk terus berjuang meneruskan kehidupan tidak terpadam.
Pada saat-saat genting seperti inilah, negara-negara antarabangsa perlu bijak memilih dalam memainkan peranan sama ada hendak mendiamkan diri dan mengabaikan saja atau sama-sama bangkit meniupkan semangat dan harapan perjuangan di kala krisis kemanusiaan berlaku.
Solidariti: Tali Penghubung Antarabangsa
Apabila konflik tercetus, sokongan rentas sempadan menjadi tali penghubung penting yang bukan sahaja mengukuhkan hubungan diplomatik, malah turut membantu memulihkan keamanan serta menyuntik harapan kepada komuniti yang terjejas.
Bantuan yang disalurkan meliputi keperluan asas seperti makanan, rawatan perubatan, tempat perlindungan sementara, dan juga sokongan psikososial demi memastikan kesejahteraan fizikal dan kesihatan mental mereka terus terpelihara.
Pada era globalisasi masa kini, bentuk solidariti tidak lagi terbatas kepada bantuan fizikal semata-mata. Kehadiran platform digital seperti media sosial telah membuka ruang yang luas untuk orang ramai menunjukkan sokongan mereka hanya di hujung jari.
Melalui perkongsian maklumat, kempen kesedaran, dan tanda pagar (hashtag) bersasar, masyarakat dunia dapat bersatu dalam menyuarakan keprihatinan terhadap isu-isu kemanusiaan secara pantas dan meluas.
Satu contoh yang berjaya untuk menunjukkan solidariti masyarakat secara global adalah kempen #FreePalestine dan #SaveGaza yang semakin tular di seluruh dunia sewaktu Israel rancak mengenakan serangan ke atas Palestin.
Melalui kempen inilah, lebih ramai pengguna media sosial dapat menunjukkan solidariti dan penentangan mereka terhadap tindakan yang tidak berperikemanusiaan dengan memuat naik gambar, video, infografik, dan laporan saksi di lapangan bagi mendedahkan keadaan sebenar rakyat Palestin.
Tindakan kolektif ini telah meningkatkan kesedaran global, memberi tekanan kepada pemimpin dunia, dan menguatkan sokongan awam untuk menuntut keadilan dan menghentikan keganasan.
Sempena Hari Kemanusiaan Sedunia, adalah wajar lebih banyak pendedahan mengenai isu-isu kemanusiaan diketengahkan secara meluas agar kekuatan suara jutaan insan dapat diperkukuh demi membela keadilan mereka yang teraniaya.
Usaha ini turut diterjemahkan melalui tindakan di lapangan, seperti yang dilaksanakan oleh Islamic Relief yang menyalurkan bantuan kecemasan berupa makanan, air, ubat-ubatan dan tempat perlindungan kepada komuniti yang terjejas di negara-negara dilanda krisis kemanusiaan.
Seperti yang ditegaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia), Siti Fadilah Mohd Hood, Hari Kemanusiaan Sedunia merupakan detik penting untuk merenung kembali komitmen bersama dalam memperjuangkan nilai-nilai kemanusiaan. Di sebalik pelbagai cabaran dan kesukaran, para petugas kemanusiaan terus berani melangkah ke hadapan, membawa harapan dan kelegaan kepada mereka yang paling memerlukan.
“Sebagai sebuah NGO, kami berazam untuk terus memikul mandat dan berperanan aktif dalam memastikan bantuan sampai tepat pada masanya dan memberi impak sebenar kepada kehidupan komuniti yang terpinggir.
“Kita semua mempunyai tanggungjawab bersama untuk menyemai nilai kasih sayang, perpaduan, dan solidariti tanpa sempadan. Oleh itu, saya menyeru kepada semua, marilah kita membina dunia yang lebih adil, aman, dan berperikemanusiaan,” katanya.
Hari Kemanusiaan Sedunia bukan sekadar hari memperingati, tetapi hari untuk bertindak, menyumbang dan menyuarakan. Dalam dunia yang sering berpecah belah oleh konflik, semangat kemanusiaanlah yang mampu menyatukan.
Peranan negara-negara dunia dan gabungan solidariti masyarakat dari seluruh pelosok dunia secara tidak langsung mampu memperkukuh semangat kemanusiaan sejagat dan menyemai harapan kepada mereka yang sedang diuji.
Selagi masih ada penderitaan, selagi itu kita harus terus melangkah. Semoga kesedaran ini terus menyemarakkan usaha kolektif ke arah dunia yang lebih aman dan penyayang.