IR Malaysia Sertai Forum Ekonomi Wanita ASEAN 2025, Perkukuh Peranan Wanita Serantau

KUALA LUMPUR, 23 Jun – Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) telah menyertai Forum Ekonomi Wanita (WEF) ASEAN yang diadakan di Dewan Perdana, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI), Kuala Lumpur pada 19 hingga 21 Jun 2025.

Forum in merupakan anjuran Women Economic Forum (WEF), Yayasan Bina Kesejahteraan (YBCare), Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), G100 dan Women’s Indian Chamber of Commerce & Industry (WICCI).

Forum bertaraf antarabangsa yang bertemakan ‘Women Leaders Beyond Borders: Shaping the Future of the ASEAN Sheconomy’ itu buat julung kalinya diadakan di Malaysia dan berjaya menghimpunkan tokoh-tokoh wanita dari serata dunia bagi memperkasakan suara dan peranan wanita dalam pelbagai bidang selain turut bertujuan bagi menyokong Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

Dalam forum tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif IR Malaysia, Siti Fadilah Mohd Hood menerima anugerah ‘Iconic Women Creating a Better World for All’ yang disampaikan oleh isteri Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang turut merasmikan majlis pembukaan WEF ASEAN 2025.

Sepanjang forum, IR Malaysia berkesempatan membina jaringan bersama rakan-rakan peserta dari FGV Holdings Berhad, Kenanga Investor Berhad, National Council of Women’s Organisations, Malaysia (NCWO), CSQ International Consulting Sdn Bhd, International Women’s Federation of Commerce and Industry (IWFCI) Malaysia, International Federation of Sports & Aquatic Tourism Industrialist (IFSAT), Scubatex Holding Berhad, HAPA Group Sdn Bhd, FGNC Events Group, ISRA Institute dan lain-lain.

Seramai 614 peserta telah menyertai forum ini, mengambil bahagian dalam pelbagai sesi perkongsian dan perbincangan yang penuh inspirasi. Antara topik utama yang menjadi tumpuan ialah kelestarian, keterangkuman, pendidikan, kepimpinan, inovasi, digitalisasi serta kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Dalam majlis penutup, Presiden WEF ASEAN 2025, Datin Dr Hartini Osman mengumumkan 27 resolusi komprehensif yang bertujuan mempercepat kepimpinan Wanita dan pertumbuhan ekonomi inklusif di Rantau ASEAN.

Resolusi tersebut digubal berdasarkan empat dimensi utama:

  • Memperkasa dalaman wanita melalui kepimpinan, pendidikan dan inovasi
  • Pembangunan ekonomi yang inklusif dan mampan
  • Integrasi budaya, digital dan dasar untuk pertumbuhan Sheconomy
  • Keterhubungan, keterlihatan dan kebolehcapaian global Sheconomy dalam era Pasca-Normal

WEF ASEAN 2025 berakhir dengan ucapan perasmian penutup oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan penyerahan rasmi resolusi WEF ASEAN 2025 kepada Dr Harbeen Arora Rai, Pengasas WEF serta penyerahan baton kepada Filipina yang akan menjadi tuan rumah WEF pada Oktober 2026.