Benarkan bantuan masuk ke Gaza, akhiri kepungan Israel

Pembunuhan beramai-ramai terhadap orang awam yang cuba mendapatkan bantuan makanan tidak boleh dibiarkan tanpa tindakan atau pertanggungjawaban.

Sudah tiga bulan sejak Israel mengetatkan kepungan total ke atas Gaza. Puluhan kanak-kanak, bayi, dan warga emas Palestin telah mati kebuluran, dan ibu bapa yang terdesak, dibunuh ketika cuba mendapatkan bantuan makanan di lokasi pengagihan yang kini dikawal secara ketenteraan.

Tapak-tapak baharu agihan bantuan ini telah menjadi perangkap maut.  Rakyat Palestin yang datang untuk mendapatkan roti, akhirnya ditembak, ditahan atau dihina.

Lebih ramai penduduk Gaza akan terkorban akibat kelaparan dan penyakit melainkan kerajaan-kerajaan antarabangsa segera mengenakan tekanan ke atas Israel untuk menamatkan kepungan sepenuhnya, membuka semua pintu masuk, dan membenarkan akses kemanusiaan secara besar-besaran, selamat dan tanpa halangan.

Serangan maut terbaru ke atas mereka yang cuba mendapatkan bantuan makanan tidak boleh dibiarkan berlalu tanpa akibat dan tanpa pertanggungjawaban. Pasukan perubatan dan saksi mata melaporkan kejadian mengerikan di mana puluhan orang terbunuh dan ramai lagi cedera apabila kereta kebal dan tentera Israel melepaskan tembakan ke arah orang ramai yang cuba mendapatkan bantuan, berkali-kali sepanjang minggu lalu.

Mangsa yang cedera parah terpaksa dibawa menggunakan kereta keldai kerana ambulans dilarang masuk untuk menyelamatkan mereka.

Rakyat Palestin dan agensi kemanusiaan telah berkali-kali memberi amaran bahawa sistem baharu “Gaza Humanitarian Foundation (GHF)” bukan bertujuan menyelamatkan nyawa atau menyampaikan bantuan, tetapi digunakan sebagai senjata untuk mengawal dan mengukuhkan kuasa Israel. Ia melanggar semua prinsip asas kemanusiaan dan menambahkan risiko kepada lebih ramai nyawa.

Kebuluran dan penderitaan yang berlaku di Gaza bukan satu kebetulan, ia adalah keputusan yang disengajakan. Kerajaan-kerajaan antarabangsa mempunyai tanggungjawab moral dan undang-undang untuk bertindak menghalang jenayah genosid, sebagaimana yang dituntut oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Walaupun banyak negara mula menyuarakan kecaman, namun mereka gagal untuk mengambil tindakan sebenar. Kata-kata sahaja tidak akan menyelamatkan nyawa rakyat Palestin. Ia mesti disusuli dengan tindakan bermakna seperti menggantung penjualan senjata dan perjanjian perdagangan sehingga undang-undang antarabangsa dihormati.

Krisis kemanusiaan di Gaza semakin parah setiap jam. Jumlah bantuan yang dibenarkan masuk kini terlalu sedikit berbanding ratusan lori sehari yang sebenarnya diperlukan. Banyak lagi lori yang membawa makanan dan ubat-ubatan masih disekat daripada memasuki Gaza. Bantuan bukan makanan yang penting seperti khemah untuk keluarga pelarian, gas memasak, dan peralatan untuk membersihkan bekalan air yang tercemar juga masih dilarang sepenuhnya.

Israel terus mengebom tempat perlindungan awam dan hospital tanpa henti. Lebih 80% wilayah Gaza kini ditutup kepada rakyat Palestin, memaksa keluarga berpindah ke kawasan yang semakin sempit dan sesak, di mana penyakit pula semakin merebak.

Satu-satunya cara untuk menangani penderitaan sebesar ini dan memastikan bantuan sampai kepada golongan paling memerlukan ialah dengan menekan Israel agar membenarkan akses kemanusiaan sepenuhnya mengikut prinsip kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa.