Gempa bumi kuat gegarkan Istanbul: Kakitangan Islamic Relief disahkan selamat

ISTANBUL, 24 Apr — Gempa bumi kuat berukuran 6.2 pada skala Richter melanda pesisir Silivri di Laut Marmara, kira-kira 40 kilometer barat daya Istanbul, pada petang Selasa.

Gegaran tersebut dirasai di seluruh Istanbul serta wilayah-wilayah berdekatan seperti Tekirdağ, Yalova, Bursa, Sakarya dan Balıkesir.

Gegaran yang beraku selama 13 saat itu mencetuskan panik dalam kalangan orang ramai. Sebanyak 266 gegaran susulan direkodkan, termasuk satu gegaran besar bermagnitud 5.9 dan sembilan lagi melebihi magnitud 4.

Walaupun tiada kematian dilaporkan, seramai 236 individu mengalami kecederaan, kebanyakannya akibat tindakan panik seperti terjun dari tempat tinggi untuk menyelamatkan diri.

Setakat ini, tiada laporan kerosakan struktur utama, namun kerja-kerja penilaian masih dijalankan. Hospital dan perkhidmatan kecemasan terus beroperasi seperti biasa. Sebagai langkah berjaga-jaga, sekolah-sekolah di Istanbul ditutup sehingga Isnin, 28 April 2025.

Beberapa institusi pendidikan dan bangunan kerajaan telah diaktifkan sebagai pusat perlindungan sementara, lengkap dengan kemudahan asas termasuk WASH (Air, Sanitasi dan Kebersihan), bagi menyokong mereka yang masih trauma dan berasa takut untuk kembali ke kediaman masing-masing akibat gegaran susulan yang berterusan.

Islamic Relief mengesahkan bahawa semua kakitangannya di Istanbul berada dalam keadaan selamat dan sihat, Alhamdulillah. Pasukan kami sedang memantau situasi di lapangan dengan teliti dan bersedia untuk menggerakkan bantuan kemanusiaan sekiranya diperlukan.

Sejurus selepas kejadian, protokol tindak balas kecemasan negara Türkiye diaktifkan dengan segera. Agensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan Türkiye (AFAD) dan Bulan Sabit Merah Turki (Türk Kızılayı) mengetuai usaha penyelarasan.

Perkhidmatan kecemasan telah digerakkan bagi menyediakan tempat perlindungan, keperluan asas, sokongan psikososial serta bantuan WASH kepada komuniti yang terjejas.

Islamic Relief terus mendoakan keselamatan, kekuatan dan ketabahan rakyat Türkiye dalam menghadapi bencana ini.