Dalam usaha untuk membina negara bangsa dalam kalangan belia berkepimpinan, Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) sekali lagi diberi kepercayaan untuk bekerjasama dengan Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Pejabat Perdana Menteri bagi mengendalikan modul latihan Volunteer Aspiration & Social Thinking (VAST) buat kali ketiga di dalam program Malaysian Future Leaders School (MFLS) Tier 3 yang dijalankan pada Mei 2024.
Menurut Pengurus di Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif IR Malaysia, Muhammad Haris Sharim yang juga Pengarah Projek dan Ketua Fasilitator Modul VAST, seramai 150 orang peserta MFLS Tier 3 yang terdiri daripada golongan belia dari seluruh Malaysia telah menyertai modul latihan tersebut.
“Alhamdulillah, tahun ini sekali lagi IR Malaysia terpilih untuk menyampaikan modul VAST yang menekankan aspek kesukarelawanan dalam membangun kepimpinan belia.
“Tujuan program ini diadakan adalah untuk membuka spektrum minda peserta berkenaan sektor kemanusiaan sebagai karier profesional, advokasi dan aktivisme, perkongsian situasi dan pengalaman kemanusiaan serta kesukarelawanan, memahami isu dan permasalahan yang berlaku di persekitaran dan di dalam masyarakat Malaysia serta mengajak peserta untuk berfikir tentang solusi dan usaha kolektif bagi menyelesaikan isu masyarakat.
“Peserta-peserta yang terlibat dalam program ini adalah mereka yang telah melepasi beberapa sesi saringan dan pemilihan,” katanya.
Dalam program tersebut, IR Malaysia bekerjasama rapat dengan AKM, Pejabat Perdana Menteri dan rakan-rakan NGO lain seperti Persatuan Haiwan Malaysia, Generasi Peduli Sampah (GPS) Malaysia, Hara Makers dan Toy Library Malaysia dalam membangun modul pembangunan terhadap para peserta.
“Modul ini memberi pengalaman praktikal kepada para peserta MFLS Tier 3 berkenaan komponen kemanusiaan dan kebajikan dengan membawa pelbagai spektrum isu-isu yang berlaku di sekeliling yang mampu membawa kepada krisis kemanusiaan.
“Para peserta dibimbing untuk memikirkan kaedah ataupun solusi jangka masa panjang supaya isu-isu yang berlaku dapat dikurangkan risikonya. Pemimpin muda perlu diberi pendedahan berkenaan isu yang berkaitan dengan krisis kemanusiaan dalam membangun negara dengan penuh tanggungjawab,” tambah Muhammad Haris.
Pelbagai aktiviti didedahkan kepada setiap peserta seperti program pendidikan kesedaran dan kebajikan haiwan, aktiviti pembersihan pantai dan kaedah mengaudit sampah yang diadakan di Pantai Kelanang, pemahaman terhadap teknologi dan ilmu pengurusan sisa plastik yang efektif di PJ Eco Recycling Centre dan pendedahan menjadi toy inspectors dan toy doctors yang membaiki alat permainan serta memahami falsafah hak bermain sebagai hak asasi kanak-kanak bersama Play Unlimited.
Rata-rata peserta sangat gembira dan menghargai slot kesukarelawanan yang memberi pengalaman baharu serta memberi banyak manfaat kepada mereka.
Muhammad Haris berharap semoga program sebegini dapat diteruskan pada tahun seterusnya dan pengisian yang disampaikan meninggalkan impak berpanjangan dalam usaha untuk memberi kesan positif Lestari kepada sektor kemanusiaan dan alam sekitar melalui advokasi dan aktivisme.