Banjir Afghanistan: Islamic Relief Gerakkan Usaha Bantuan

AFGHANISTAN, 13 Mei – Islamic Relief memulakan langkah tindak balas segera susulan banjir besar yang melanda Afghanistan, sehingga meragut lebih 300 nyawa dengan ramai lagi individu yang masih belum ditemui.

Antara wilayah yang terjejas teruk ialah Baghlan, Takhar dan Badakhsan. Pihak berkuasa tempatan telah mengisytiharkan darurat terhadap bencana yang berlaku.

Umai Hasan, Pengarah Negara Islamic Relief Afghanistan, menyatakan kebimbangan yang mendalam terhadap tragedi yang berlaku.

“Air sungai dan lumpur mengalir deras secara tiba-tiba dan menenggelamkan kampung-kampung, memusnahkan ladang pertanian dan menghanyutkan rumah-rumah penduduk.

“Bilangan penduduk yang terjejas dijangka meningkat dari masa ke masa memandangkan ramai yang dilaporkan masih hilang,” katanya.

Hasan menekankan keperluan mendesak ketika ini ialah tempat perlindungan, makanan, dan kit kebersihan. Islamic Relief merangka pelan bantuan untuk mengedarkan makanan, bekalan penting, dan bantuan tunai bagi memenuhi keperluan golongan rentan, termasuk individu kurang upaya dan anak yatim.

Penduduk yang dipindahkan juga menghadapi ancaman penyakit bawaan air yang semakin meningkat.

Tragedi yang berlaku ini menggariskan serangan berterusan bencana alam dan cabaran sosio-ekonomi yang dihadapi oleh rakyat Afghanistan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Intervensi Islamic Relief berfungsi sebagai peringatan yang tegas tentang keperluan mendesak bagi meringankan penderitaan komuniti yang bergelut dengan pelbagai kesan krisis.