Di sebalik keindahan putih salju yang diimpikan oleh kebanyakan orang, tersingkap penderitaan buat mereka yang perlu berhadapan dengan ancaman cuaca sejuk melampau.
Rasulullah SAW ditanya, "Amal mana yang terbaik?"
Baginda menjawab, "(Menyediakan) air".
[Abu Dawud]
Dana Wakaf Sistem Air (DWAS)
#SetitisHarapan
Air merupakan keperluan asas yang sangat penting bagi manusia, haiwan dan tumbuhan. Kajian menunjukkan bahawa manusia boleh hidup tanpa makanan lebih dari seminggu namun sistem badan manusia hanya mampu bertahan tanpa air kira-kira tiga atau empat hari sahaja. Dalam sesetengah keadaan, dehidrasi boleh berlaku jauh lebih cepat dari tempoh jangkaan tadi.
Selain itu, air juga menjadi salah satu sumber penting dalam menjana pelbagai bidang ekonomi seperti pertanian, perindustrian, perikanan dan penjanaan sumber tenaga elektrik.
Disebabkan itu, penting untuk kita menghargai setiap titis nikmat air yang diperolehi serta memelihara sumber air agar sentiasa bersih dan selamat untuk digunakan.
Tahukah Anda?
• Menurut UNICEF, 2.2 bilion penduduk di seluruh dunia kurang mendapat akses air bersih untuk diminum khususnya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar, setinggan, kawasan bencana dan negara yang berpendapatan rendah.
• Menurut WHO, 3.4 juta orang maut setiap tahun disebabkan penyakit bawaan air.
• Dianggarkan kira-kira 4,000 kanak-kanak maut setiap hari disebabkan penyakit bawaan air.
• Lebih 800 kanak-kanak di bawah umur lima tahun maut setiap hari kerana cirit-birit yang berpunca daripada kekurangan akses air bersih dan sanitasi.
• Setiap hari, kira-kira 800 juta wanita dan kanak-kanak perempuan yang sedang haid berdepan masalah untuk menguruskan haid dengan bersih disebabkan kekurangan akses kepada sumber air.
• 132 juta kanak-kanak perempuan terpaksa berhenti sekolah kerana kekurangan akses kepada sumber air, sanitasi dan kebersihan (WASH) termasuk tiada tandas berasingan di antara pelajar lelaki dan perempuan serta tiada sumber air.
• Dianggarkan, wanita dan kanak-kanak perempuan terpaksa memperuntukkan kira-kira 200 jam setiap hari untuk mengangkut air bagi kegunaan harian. Keadaan ini banyak berlaku di kawasan Afrika yang kering dan tandus.
Berat Mata Memandang, Berat Lagi Bahu Yang Memikul.
Menyedari akan impak besar yang berlaku sekiranya isu ketiadaan sumber air bersih terus berlarutan, Islamic Relief Malaysia mengambil langkah proaktif dengan melancarkan kempen Dana Wakaf Sistem Air (DWAS) sempena Hari Air Sedunia 2021 yang disambut pada 22 Mac bagi mewujudkan system bekalan sumber air bersih di tiga buah negara iaitu Somalia, Bangladesh dan Indonesia menerusi sektor air, sanitasi dan kebersihan (WASH).
Projek ini menyasarkan kutipan dana sebanyak RM1.4 juta bagi menjayakan lima projek sistem air.
Islamic Relief turut memberikan latihan pengurusan dan mewujudkan jawatankuasa bagi menyelaras dan menjaga kemudahan yang telah disediakan.
Usaha mengumpul dana bagi merealisasikan projek ini bermula pada 22 Mac 2021 hingga 31 Disember 2021.
SOMALIA
Somalia merupakan salah sebuah negara di benua Afrika yang terkenal dengan tanah yang kering dan tandus. Menurut UNICEF, Lebih 50 peratus populasi penduduk di Somalia tidak mendapat akses kepada sumber air. Keadaan mereka sangat kritikal kerana turut dihimpit dengan isu kebuluran dan konflik peperangan.
Secara purata, wanita yang tinggal di kawasan luar bandar di Afrika terpaksa berjalan 6 kilometer sehari untuk mengangkut 18 liter air bagi kegunaan harian. Hal ini juga menyebabkan kanak-kanak terpaksa mengorbankan tuntutan pendidikan kerana masa yang ada dihabiskan untuk mengangkut air.
Sejak tiga tahun lalu, dilaporkan lebih 900 penduduk Somalia yang kebanyakannya kanak-kanak berusia bawah lima tahun maut akibat jangkitan kolera. Penyakit bawaan air di Somalia turut menyebabkan kanak-kanak mengalami penyakit cirit-birit dan masalah kekurangan nutrisi.
BANGLADESH
Akses kepada sumber air bersih dan selamat di Bangladesh masih lagi berada di tahap yang rendah. 4.9 juta penduduknya masih lagi tidak mempunyai mempunyai kemudahan sumber air bersih berdekatan dengan kediaman mereka manakala 85.6 juta orang tidak mempunyai tandas sendiri di rumah.
Apa yang menyedihkan lagi, kawasan sumber air yang ada mempunyai kandungan arsenik dan batu-batuan yang keras. Ancaman arsenik boleh mengakibatkan penyakit kanser hati, buah pinggang, masalah pundi kencing dan kulit serta penyakit jantung.
Selain itu, lebih 40 peratus sumber air ini turut tercemar dengan virus e.coli yang boleh mengakibatkan masalah cirit-birit, jangkitan kolera dan penyakit usus (dysentry).
Kemiskinan dan desakan hidup memaksa 73 juta penduduk Bangladesh menggunakan air tercemar untuk kegunaan harian meskipun mereka sudah tahu akan kesan dan impaknya kerana tiada pilihan lain.
INDONESIA
Menurut Bank Dunia, Indonesia masih lagi jauh ketinggalan dari sudut kemudahan air, sanitasi dan kebersihan berbanding Filipina dan Vietnam meskipun pendapatan per kapita kedua-dua negara itu jauh lebih rendah daripada Indonesia.
Kualiti air yang ada di negara itu juga sangat rendah. Hanya 7 peratus air sisa sahaja yang dirawat.
Selain itu, hampir 25 juta rakyat Indonesia tidak menggunakan tandas dan masih mengamalkan pembuangan najis secara terbuka. Hal ini mengakibatkan sumber air mula tercemar dan membawa kepada penularan penyakit cirit-birit.
Semoga dengan adanya inisiatif projek Dana Wakas Sistem Air (DWAS) di tiga buah negara ini dapat membantu meringankan beban penduduknya selain dapat menyelamatkan nyawa dan memberi keselesaan hidup buat para penerima manfaat.
Dengan air, kita menghidupkan segalanya.