Pemindahan pelarian berikutan konflik di Ethiopia

TIGRAY, 19 November 2020 – Lebih 5,000 pelarian Ethiopia didaftarkan di Sudan dalam tempoh sehari dengan jumlah seramai 28,286 pelarian yang terdiri dalam kalangan lelaki dan perempuan daripada pelbagai peringkat usia.

Daripada jumlah itu, terdapat 17,488 pelarian di Hamdayet, 9,911 di Lugdi, 209 di sempadan Abdrafi, dan 678 di Blue Nile.

Penduduk Tigray melarikan diri ke wilayah Sudan ekoran kebimbangan terhadap keselamatan mereka yang kini diancam konflik.

Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), dan Program Makanan Dunia (WFP) memberikan bantuan kepada pelarian di pusat transit Hamdayet seperti bekalan air bersih, khemah, makanan, dan barangan keperluan lain.

UNHCR dan Pesuruhjaya bagi Pelarian (COR) telah memindahkan seramai 2,493 pelarian dari pusat transit Hamdayet ke penempatan baru di Um Raquba yang mampu memuatkan kapasiti seramai 6,500 orang.

Penilaian terhadap lokasi penempatan baru dilakukan untuk menempatkan lebih ramai pelarian yang dijangka tiba dalam masa terdekat dan membantu pusat transit memenuhi keperluan mereka yang terjejas.

Pelarian yang baru tiba ditempatkan di perkampungan Almedinah di daerah Alfashaga yang juga beroperasi sebagai pusat penerimaan untuk penempatan sementara selama 72 jam.

Kira-kira 6,000 pelarian yang memasuki Kassala melalui Ahumara bersetuju untuk dipindahkan ke kem pelarian lama Um Raquba di Galabat Timur, Gadaref.

Keperluan mendesak pada ketika ini adalah makanan seperti gula, tepung, minyak masak, kacang, makanan sedia dimakan, tangki air kecemasan berserta sambungan paip, kit kebersihan, tandas, dan racun serangga.

Pasukan perubatan yang terdiri daripada Kementerian Kesihatan Gadaref dan Bulan Sabit Merah Sudan (SRC) memberikan bantuan ubat-ubatan, helaian plastik, penyembur, dan klorin pembasmi kuman air di samping meneliti rawatan bagi kes sakit ringan.

UNHCR melaporkan pengangkutan bas turut disediakan bagi memindahkan pelarian yang baru tiba ke lokasi yang telah dikenal pasti.

Islamic Relief kini sedang meneliti dan merangka gerak kerja serta bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dan rakan kemanusiaan lain untuk memberikan bantuan kepada mereka yang terjejas selain merangka Pelan Tindakan Kecemasan yang merangkumi sektor air, sanitasi dan kebersihan (WASH), makanan, dan barangan bukan makanan sebagai persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan.