Mali Utara Hadapi Kes Pelarian Dalam Negara

Mali, 1 Apr 2019 – Sekurang-kurangnya 24,414 pelarian dalam negara (IDP) kini memerlukan bantuan kemanusiaan segera. Antara golongan paling terkesan adalah kanak-kanak berumur sekitar enam hingga 59 bulan dan 450 kanak-kanak kini kekurangan gizi secara sederhana atau teruk.

Islamic Relief (IR) merupakan antara agensi yang berada di kawasan Bambara-Maoude dan Haribomo di mana lokasi IDP yang melarikan diri di wilayah Mopti bertungkus-lumus untuk meneruskan kehidupan.

Dua kawasan ini terus menerus menerima IDP dari wilayah Mopti yang cuba meloloskan diri daripada kesan negatif susulan konflik yang berlaku di petempatan mereka.

Ia juga dipercayai berlaku akibat aktiviti ketenteraan di sepanjang sempadan Burkina Faso, ditambah pula dengan serangan udara di kawasan itu sehingga menyebabkan penduduk terpaksa keluar mencari tempat yang lebih selamat.

Keperluan utama kini adalah makanan, kesihatan & nutrisi, pendidikan, perlindungan, dan barangan bukan makanan (NFI) serta bantuan air dan sanitasi.

Melihat situasi itu, IR Mali bakal mengemukakan respon kilat yang merangkumi bantuan kecemasan dalam bentuk makanan, air dan sanitasi, dan bantuan kehidupan mampan.

Tumpuan segera kini menekankan perolehan dana kecemasan untuk memulakan kerja-kerja kemanusiaan secepat mungkin.