Angka Korban dan Cedera di Beirut Terus Meningkat

BEIRUT, 10 Ogos 2020 – Lebih 200 terkorban manakala 6,000 lagi dianggarkan cedera dalam insiden letupan di Beirut.

Sebanyak 12 pusat rawatan kesihatan musnah, tiga hospital tidak dapat beroperasi dan 120 buah sekolah yang menempatkan 55,000 kanak-kanak Lubnan serta pelarian juga mengalami pelbagai kerosakan.

Selain itu, jumlah catatan kes positif koronavirus (COVID-19) turut dilaporkan meningkat kepada 295 kes baharu dalam tempoh sehari. Angka ini dikatakan paling tinggi sejak pandemik mula menular di Lubnan.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Lubnan bakal berdepan masalah kekurangan bekalan makanan selama lebih dua minggu berikutan 120,000 tan metrik stok makanan telah musnah dalam tragedi lalu.

Insiden letupan dan kemusnahan yang berlaku mengakibatkan ribuan penunjuk perasaan membanjiri jalan raya di Beirut selama tiga hari berturut-turut bermula Sabtu lalu.

Keadaan ini memaksa pasukan keselamatan menembak gas pemedih mata untuk meleraikan perhimpunan serta mengelakkan sebarang kecedaran berlaku.

Perdana Menteri Lubnan, Hassan Diab terpaksa mengundur diri dan mengumumkan perletakan jawatannya. Beberapa hari lalu, Menteri Informasi dan Menteri Alam Sekitar Lubnan turut melepaskan jawatan mereka atas desakan rakyat.

Islamic Relief Lubnan giat menyalurkan bantuan makanan dan melaksanakan kerja-kerja pembersihan di kawasan terjejas.