
ALBANIA, 18 Ogos – Albania dilanda kebakaran hutan yang teruk dan meluas, melibatkan beberapa kawasan termasuk Gramsh, Delvinë, Elbasan, Berat, dan Vlora sepanjang dua bulan lalu.
Kebakaran ini telah menyebabkan ramai keluarga kehilangan tempat tinggal, kawasan pertanian musnah, dan keseluruhan komuniti terjejas. Sekurang-kurangnya 200 orang telah dipindahkan manakala lebih 2,000 individu terpaksa meninggalkan kediaman mereka.
Penilaian awal menunjukkan kira-kira 34,000 hektar tanah telah hangus terbakar, termasuk kawasan hutan, ladang pertanian, kebun zaitun, ladang anggur serta ternakan.
Para petani antara yang paling terkesan, apabila kehilangan sepenuhnya hasil tanaman dan ternakan. Bukan sahaja sumber pendapatan mereka lenyap, malah masa depan serta kelangsungan hidup turut terancam.
Kerosakan turut melangkaui sektor pertanian apabila infrastruktur juga terjejas. Jalan raya, laluan kampung serta talian elektrik rosak, mengakibatkan gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan.
Kemudahan awam turut rosak, sementara risiko kesihatan semakin meningkat ekoran sejumlah besar haiwan yang terbakar. Kelewatan dalam pelupusan bangkai haiwan menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan penularan penyakit.
Akses ke beberapa kawasan telah dihadkan disebabkan keadaan yang tidak selamat, antaranya di Delvinë yang masih berdepan kebakaran aktif.
Islamic Relief Albania kini berada di Gramsh dan kawasan lain yang selamat untuk melakukan penilaian dan memberi bantuan kecemasan.
Bantuan kecemasan ini menyasarkan 1,000 isi rumah yang terkesan, dengan bantuan utama termasuk penyediaan tiga hidangan panas setiap hari kepada mangsa yang ditempatkan di asrama Gramsh, bekalan air minuman selamat, serta kit kebersihan bagi menjaga kesihatan dan maruah mereka di pusat penempatan sementara.
Bantuan kecemasan ini menyasarkan 1,000 isi rumah terkesan, dengan tumpuan utama kepada penyediaan hidangan panas, bekalan air bersih, serta kit kebersihan di pusat penempatan sementara.
Islamic Relief terus teguh bersama rakyat Albania dalam menghadapi krisis ini, dengan komitmen untuk memperluas bantuan seiring dengan keperluan yang dikenal pasti melalui penilaian lanjut.