Bagi keluarga yang berdepan ujian kemiskinan, penyakit serius, kehilangan pencari nafkah atau keadaan tempat tinggal yang tidak selamat, memenuhi keperluan harian seperti makanan, penjagaan kesihatan, pendidikan dan tempat tinggal menjadi satu perjuangan yang amat berat.

Ada keluarga yang perlu memilih antara membayar sewa atau menyediakan keperluan harian. Ada ibu yang tidak dapat bekerja kerana perlu menjaga anak yang sakit. Ada juga anak yang terpaksa melupakan sekolah dan mula bekerja untuk membantu keluarga.

Bagi mereka, cabaran hidup datang bertimpa-timpa, umpama jatuh ditimpa tangga.

Penyakit datang bersama kos rawatan yang tinggi. Kehilangan pencari nafkah menyebabkan sumber pendapatan keluarga terjejas. Rumah yang tidak lagi selamat, masih menjadi satu-satunya tempat untuk berlindung walaupun kadar sewa terus meningkat.

Dalam keadaan seperti ini, bantuan bukan sekadar memenuhi satu keperluan. Ia memberi ruang kepada keluarga untuk terus menjalani kehidupan ketika pilihan yang mereka ada semakin terbatas.

Melalui program tajaan keluarga MyYateem yang dilaksanakan dari 2025 hingga 2026, Islamic Relief membantu lapan keluarga di Bangladesh, Somalia dan Turkiye dalam memenuhi keperluan asas mereka dan membina kehidupan yang lebih stabil.

Program ini bertujuan meningkatkan kesejahteraan dan daya tahan keluarga melalui bantuan makanan, pendidikan, penjagaan kesihatan, tempat tinggal dan perbelanjaan harian.

Melalui bantuan ini, anak-anak dapat meneruskan pendidikan dan keluarga dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik dan selamat.

Kaltuun: Apabila tajaan membuka peluang pendidikan

Di Hargeisa, Somalia, Kaltuun perlu membesarkan enam orang anaknya selepas kehilangan suami dalam kemalangan jalan raya ketika bekerja sebagai buruh binaan dan sejak itu, Kaltuun berdepan kesukaran untuk memenuhi keperluan harian keluarganya.

Kisah mereka mendapat perhatian Islamic Relief Somalia ketika proses pendaftaran individu yang kehilangan tempat tinggal di dalam negara (IDP), sebelum keluarga itu didaftarkan di bawah program tajaan keluarga.

Melalui bantuan kewangan yang diterima, Kaltuun dapat membeli makanan, pakaian dan kelengkapan persekolahan untuk anak-anaknya selain dapat membeli tangki air, tilam, bantal dan peralatan memasak untuk kegunaan harian.

Anak-anak Kaltuun juga didaftarkan di sekolah kecuali anak bongsunya, Hoodo yang belum mencapai usia persekolahan.

Bantuan tersebut telah membawa perubahan yang ketara dalam kehidupan anak-anaknya. Mereka kini hadir ke sekolah secara konsisten dengan pakaian seragam dan bahan pembelajaran yang mencukupi, manakala kehadiran serta penglibatan mereka dalam pembelajaran turut menunjukkan peningkatan.

Keadaan tempat tinggal keluarga itu juga menjadi semakin baik. Komuniti setempat membantu membina dua buah bilik dan sebuah beranda berbumbungkan zink, sekali gus menyediakan tempat perlindungan yang lebih selamat buat keluarga Kaltuun.

Daripada makanan di rumah kepada pendidikan anak-anak, setiap keperluan yang dapat dipenuhi membantu Kaltuun dan keluarganya membina kehidupan yang lebih stabil.

Dalam lawatan terakhir, Islamic Relief mendapati Kaltuun dan anak-anaknya berada dalam keadaan sihat serta bersyukur atas bantuan yang telah mereka terima.

Fatme: Menyambung tugas seorang ibu demi menjaga adik-adik

Di Turkiye, sebuah keluarga yang menerima sokongan melalui program ini sedang meneruskan kehidupan selepas kehilangan insan tersayang.

Zeynep, seorang ibu tunggal kepada lima orang anak, meninggal dunia selepas berjuang melawan kanser otak.

Pada minggu-minggu terakhir hayatnya, Zeynep mengalami lumpuh dan dirawat selama 20 hari di unit rawatan rapi (ICU).

Selepas pemergiannya, tanggungjawab menjaga keluarga beralih kepada anak sulungnya, Fatme, yang kini menjaga adik-adiknya.

Namun, hanya seminggu selepas kehilangan ibu mereka, Fatme dan adik-adiknya terpaksa berpindah selepas diminta mengosongkan rumah oleh pemilik kediaman.

Keadaan itu menambahkan lagi tekanan emosi dan kewangan yang sedang mereka hadapi.

Satu-satunya adik lelaki Fatme, Ahmad, bekerja dan memperoleh pendapatan kira-kira 10,000 TRY (RM940) sebulan, namun jumlah tersebut tidak mencukupi untuk menampung kadar sewa yang tinggi serta keseluruhan perbelanjaan keluarga.

Bantuan Islamic Relief telah membantu adik-beradik ini melalui fasa-fasa sukar menyesuaikan diri dengan kehidupan tanpa ibu dan memenuhi keperluan asas mereka.

Fatme dan adiknya, Zamzam, kini dapat meneruskan pengajian melalui pembelajaran terbuka selepas memikul tanggungjawab besar menjaga ibu mereka ketika sakit.

Pengalaman mereka menunjukkan bahawa kesan penyakit dan kesulitan kewangan bukan sahaja dirasai oleh seorang individu, malah boleh memberi tekanan kepada seluruh keluarga sehingga anak-anak dan golongan muda terpaksa memikul tanggungjawab yang besar pada usia muda.

Salhi: Diuji masalah kesihatan dan tempat tinggal tidak selamat

Bagi seorang ibu tunggal, Salhi, menjaga lima orang anak dan ibunya yang lanjut usia menjadi semakin mencabar apabila masalah kesihatan berlaku serentak dengan keadaan kediaman yang tidak selamat.

Mereka tinggal di sebuah apartmen tiga bilik di Turkiye yang mengalami kerosakan akibat gempa bumi.

Apabila hujan, rumah tersebut bocor dan masih tidak selamat walaupun beberapa pengubahsuaian kecil telah dilakukan. Kadar sewa yang semakin meningkat pula menyebabkan keluarga itu tidak mampu berpindah ke kediaman lain.

Dalam masa yang sama, Salhi mengalami keretakan pelvis dan memerlukan pembedahan penggantian pinggul dengan anggaran kos sekitar 35,000 TRY (RM3,290), jumlah yang berada di luar kemampuannya.

Salhi turut mempunyai masalah pergerakan dan kecacatan pada kaki kiri akibat kecederaan lama. Ibunya pula mengalami kekurangan oksigen dan memerlukan mesin oksigen.

Dua orang anak Salhi, Ekrem dan Tehni pula mengalami batu karang dalam pundi kencing.

Keadaan kesihatan yang semakin merosot dan tanggungjawab menjaga ahli keluarga menyebabkan Salhi tidak dapat bekerja, sekali gus menjadikan keluarganya bergantung kepada bantuan orang ramai.

Alhamdulillah, Islamic Relief hadir dan memberi bantuan termasuk menampung kos sewa rumah, utiliti dan keperluan harian mereka.

Rasa: Rawatan anak menjadi sebahagian daripada kehidupan harian

Keperluan rawatan perubatan turut menjadi cabaran besar buat sebuah keluarga di Turkiye iaitu Rasa dan empat orang anaknya.

Mereka tinggal di sebuah rumah lama dengan lima bilik yang tidak mempunyai sistem pemanasan. Sebaliknya, keluarga tersebut menggunakan dapur sebagai sumber haba.

Sewa semasa ialah 5,000 TRY (RM470) dan dijangka meningkat pada bulan berikutnya.

Bagi Rasa, kehidupan sehariannya banyak tertumpu kepada keperluan rawatan anak-anak.

Hamza, anak lelaki Rasa menghidap leukemia dan talasemia major, dan telah menjalani kemoterapi serta pemindahan sumsum tulang di Malatya.

Hamza bertuah apabila adiknya sendiri, Resul menjadi penderma sumsum tulang dalam usaha membantu abangnya mendapatkan rawatan. Namun, selepas menjalani prosedur tersebut, Resul menjadi lemah dan memerlukan tempoh pemulihan.

Seorang lagi anak Rasa, Rahme, menghidap talasemia minor dan memerlukan pemindahan darah sebanyak dua kali sebulan, yang menyebabkannya keletihan selepas menjalani rawatan.

Keperluan untuk menjaga kesihatan anak-anak mengehadkan kemampuan Rasa untuk memperoleh pendapatan tetap. Beliau hanya dapat melakukan kerja sambilan seperti bekerja di ladang atau melakukan kerja-kerja pembersihan apabila keadaan mengizinkan.

Melalui program tajaan ini, bantuan yang diberikan membantu menampung kos perubatan, makanan, sewa dan utiliti, sekali gus meringankan sebahagian beban yang ditanggung oleh keluarga tersebut.

Di sebalik setiap tajaan, ada keperluan yang berbeza

Kaltuun memerlukan sokongan untuk membesarkan anak-anak dan memastikan mereka dapat bersekolah. Fatme dan adik-adiknya pula perlu meneruskan kehidupan selepas kehilangan ibu. Salhi berdepan masalah kesihatan diri dan keluarga dan terpaksa hidup dalam keadaan rumah yang rosak.

Keluarga lain yang menerima sokongan melalui program ini turut menghadapi cabaran yang hampir sama. Hanse, seorang ibu kepada lima orang anak, menghidap beberapa penyakit kronik dalam masa yang sama perlu berdepan peningkatan perbelanjaan isi rumah. Sebahagian anaknya turut mengalami gangguan dalam pendidikan mereka.

Sementara itu, Shirin perlu menjaga anak-anaknya dalam keadaan beliau sendiri berdepan masalah kesihatan. Beliau mempunyai ketumbuhan berhampiran kelenjar tiroid dan telah menjalani biopsi, manakala dua orang anaknya memerlukan rawatan bagi penyakit asma dan masalah telinga.

Tanpa pencari nafkah dalam keluarga, bantuan daripada Islamic Relief memainkan peranan penting dalam membantu mereka menampung perbelanjaan harian.

Bantuan Islamic Relief mengubah kehidupan mereka

Walaupun setiap keluarga mempunyai kisah dan keadaan yang berbeza, kebanyakan mereka berdepan cabaran yang saling berkait.

Antara cabaran yang sering dihadapi oleh keluarga yang menerima bantuan termasuk penyakit kronik dan ketidakupayaan, kos rawatan perubatan yang tinggi, serta kekangan untuk bekerja yang boleh menjejaskan pendapatan keluarga.

Kemiskinan dan peningkatan kos sara hidup pula boleh menjejaskan pendidikan anak-anak, manakala peningkatan kos sewa dan utiliti, kediaman yang tidak selamat atau rosak akibat gempa bumi, serta kekurangan akses kepada gas, pemanasan dan kemudahan sanitasi turut memburukkan keadaan kehidupan keluarga.

Pada masa yang sama, tanggungjawab menjaga ahli keluarga yang sakit atau memerlukan perhatian khusus boleh menambah tekanan kepada ibu bapa dan anak-anak.

Program tajaan keluarga MyYateem berusaha menangani keperluan yang saling berkait ini dengan membantu keluarga memenuhi perbelanjaan asas di samping menyokong kesejahteraan mereka dalam jangka panjang.

Setiap keluarga melalui perjalanan yang berbeza, namun mereka berkongsi harapan yang sama untuk dapat menjaga anak-anak, hidup dalam keadaan yang lebih selamat dan melangkah ke arah masa depan yang lebih stabil.

Sokongan anda boleh membantu keluarga yang berdepan kemiskinan, penyakit dan keadaan hidup yang sukar untuk memenuhi keperluan asas seperti makanan, pendidikan, penjagaan kesihatan dan tempat tinggal yang selamat.

Jom menyumbang kepada kempen MyYateem hari ini dan bantu keluarga membina semula kehidupan mereka.

Islamic Relief Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan rasmi dengan mana-mana laman web pihak luar dan tidak bertanggungjawab terhadap kandungan atau pautan pada laman web yang bukan milik atau dikendalikan oleh Islamic Relief Malaysia. Islamic Relief Malaysia mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa untuk menjalankan kutipan sumbangan. Setiap sumbangan dalam talian melalui Perbankan Internet akan dikenakan caj transaksi sebanyak RM0.55, tertakluk kepada terma dan caj yang ditetapkan oleh penyedia perkhidmatan pembayaran. Sumbangan yang dibuat melalui saluran ini tidak layak menerima resit Pengecualian Cukai, melainkan dinyatakan sebaliknya. Kami menghargai sokongan dan kepercayaan berterusan anda terhadap Islamic Relief Malaysia.

© Copyright 2026 Islamic Relief Malaysia. All rights reserved | Company Reg No: 200401018851 (657354-W)

JOM MENYUMBANG