Gempa Bumi Terkini Cetus Perasaan Cemas Dan Panik Menyebabkan Lebih Ramai Orang Kehilangan Tempat Tinggal Dan Berada Dalam Kesejukan

Kakitangan Islamic Relief yang berada di selatan Turkiye dan barat laut Syria melaporkan gempa bumi baharu berukuran 6.4 dan 5.8 magnitud yang melanda wilayah Hatay pada Isnin, 20 Februari 2023 telah mencetuskan suasana panik dan mengakibatkan beberapa bangunan mengalami kerosakan teruk. Tragedi terbaharu itu berlaku hanya dua minggu selepas kejadian gempa bumi besar yang telah mengorbankan sekurang-kurangnya 47,000 orang setakat ini.

Ahmed Mahmoud, Ketua Misi Islamic Relief di Turkiye dan Syria, berkata:

 “Pasukan kami di lapangan turut melalui detik getir apabila berlaku gempa bumi ketika mereka sedang melakukan kerja-kerja bantuan petang ini. Kejadian itu menyebabkan orang ramai menjadi panik sehingga mereka memenuhi ruangan jalan kerana berasa tidak selamat berada di kediaman masing-masing. Ada yang melaporkan bahawa terdapat penduduk yang cedera ketika berusaha menyelamatkan diri dengan melompat dari bangunan yang sedang bergegar. Ramai yang terpaksa bermalam di luar dalam keadaan sejuk dengan suhu di bawah sifar.

“Di Syria, pusat penempatan sementara yang dibuka sejak awal gempa bumi berlaku telah sesak dan dilimpahi dengan bilangan penduduk yang ramai. Dalam satu khemah, terdapat dua, tiga atau empat keluarga berkongsi ruang tanpa sebarang kelengkapan mencukupi untuk memanaskan badan dalam cuaca sejuk. Saya nampak, ada satu khemah yang menempatkan sehingga 32 orang termasuk 17 orang kanak-kanak. Mereka terpaksa berkongsi kerana tiada khemah yang mencukupi untuk semua orang. Kami memerlukan lebih banyak bantuan kecemasan di lapangan secepat mungkin.

“Kami terima maklumat terkini yang menyebut lebih banyak bangunan dilaporkan runtuh dan rosak malam ini. Islamic Relief segera membantu beberapa hospital dan pusat kesihatan dengan membekalkan barangan perubatan. Penduduk di sini telah melalui pelbagai episod ngeri yang tidak dapat digambarkan dan malam ini, sekali lagi mereka berdepan dengan trauma yang sama.”

Setakat ini, Islamic Relief telah mengagihkan bantuan kecemasan termasuk tempat tinggal, bekalan perubatan, makanan dan air untuk membantu lebih 637,000 orang di Turkiye dan Syria sejak gempa bumi pertama melanda pada 6 Februari.

Di utara Syria, Islamic Relief telah membersihkan kesan runtuhan di jalan raya sejak beberapa hari lalu supaya lebih banyak jalan dapat dilalui dan memudahkan akses bantuan seperti agihan bekalan ubat dan katil untuk hospital, sokongan terhadap klinik bergerak yang disasarkan untuk membantu golongan wanita dan kanak-kanak perempuan dan sokongan psikososial asas untuk kanak-kanak yang telah menyaksikan peristiwa yang sangat traumatik. Di Turkiye, Islamic Relief mengedarkan pek makanan dan alatan kebersihan serta menyediakan baucar belian barangan di kedai dan pasar raya yang ditetapkan.

Sejak melancarkan tabung rayuan kecemasan sebanyak RM103 juta pada 6 Februari, Islamic Relief setakat ini telah mengumpulkan lebih daripada RM48 juta hasil sumbangan orang ramai di seluruh dunia.

Untuk Pertanyaan Media
Sebarang pertanyaan media atau permintaan maklumat lanjut berkaitan siaran ini, sila hubungi:

Unit Komunikasi Strategik Islamic Relief Malaysia
E-mel: Malaysia.Media@islamic-relief.org.my
Telefon: +6019-220 1788 atau +603-8926 3434

Islamic Relief Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan rasmi dengan mana-mana laman web pihak luar dan tidak bertanggungjawab terhadap kandungan atau pautan pada laman web yang bukan milik atau dikendalikan oleh Islamic Relief Malaysia. Islamic Relief Malaysia mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa untuk menjalankan kutipan sumbangan. Setiap sumbangan dalam talian melalui Perbankan Internet akan dikenakan caj transaksi sebanyak RM0.55, tertakluk kepada terma dan caj yang ditetapkan oleh penyedia perkhidmatan pembayaran. Sumbangan yang dibuat melalui saluran ini tidak layak menerima resit Pengecualian Cukai, melainkan dinyatakan sebaliknya. Kami menghargai sokongan dan kepercayaan berterusan anda terhadap Islamic Relief Malaysia.

© Copyright 2026 Islamic Relief Malaysia. All rights reserved | Company Reg No: 200401018851 (657354-W)

JOM MENYUMBANG