Setahun selepas kejadian gempa bumi paling kuat yang pernah direkodkan di Maghribi, ramai penduduk yang terselamat masih berusaha untuk membina semula kehidupan dan pulih daripada kesan bencana serta memerlukan sokongan berterusan.

Ribuan keluarga di komuniti luar bandar yang terpencil dan bergunung-ganang masih tidak mempunyai tempat perlindungan yang mencukupi serta akses kepada perkhidmatan asas. Infrastruktur yang rosak, termasuk kediaman dan sekolah, juga masih perlu dibina semula.

Dengan kerjasama rakan NGO dan pihak berkuasa tempatan, sepanjang tahun lalu Islamic Relief telah membantu lebih 120 kampung yang terjejas di wilayah Al Haouz dan Chichawa.

Lebih 65,000 penduduk telah menerima bantuan seperti makanan, kit kebersihan dan pakaian untuk menghadapi musim sejuk. Islamic Relief turut membina dua sekolah sementara serta menyediakan perkhidmatan kesihatan bergerak.

Perkhidmatan kesihatan bergerak ini menyediakan akses penjagaan kesihatan kepada komuniti yang paling terpencil, termasuk perubatan am, pediatrik, dermatologi, kardiologi  serta rawatan penting lain.

Gempa bumi berukuran 6.8 magnitud yang melanda tengah Maghribi pada 8 September 2023 telah menjejaskan 2.8 juta penduduk dan meragut hampir 3,000 nyawa.

Bencana itu memusnahkan hampir 19,000 kediaman, merosakkan 60,000 lagi serta memusnahkan sekurang-kurangnya 580 sekolah, selain hospital dan infrastruktur penting lain. Kemusnahan tersebut menyebabkan kira-kira 500,000 penduduk kehilangan tempat tinggal.

Setahun kemudian, sebahagian keluarga masih tinggal di tempat perlindungan sementara dan khemah serta kini bakal menghadapi musim sejuk kedua tanpa kediaman tetap. Khemah mereka terdedah kepada cuaca ekstrem di Pergunungan Atlas, di mana suhu sering turun di bawah paras beku.

Islamic Relief telah memulakan pembinaan 300 kediaman baharu bagi menyediakan tempat tinggal yang lebih terlindung dan privasi kepada keluarga yang terjejas.

Ramai penduduk bukan sahaja kehilangan kediaman, malah turut kehilangan pekerjaan. Oleh itu, komuniti yang terjejas memerlukan sokongan jangka panjang. Islamic Relief komited untuk membantu mereka membina semula sumber mata pencarian agar dapat memperoleh  pendapatan yang stabil dan menyara keluarga.

Fatima*, penduduk yang terselamat daripada gempa bumi, mengimbas kembali:

“Saya sedang tidur ketika gempa bumi berlaku. Anak perempuan saya mengejutkan saya dalam keadaan ketakutan dan panik. Dia sangat takut lalu berlari keluar. Kemudian saya

melihat siling bilik mula runtuh dan dinding di sebelah saya jatuh sehingga saya terperangkap di bawah runtuhan.

“Apabila saya kembali sedar, hanya jari anak perempuan saya yang kelihatan di bawah runtuhan. Syukur, kami berjaya diselamatkan dan kini berada dalam keadaan baik, Alhamdulillah, serta terima kasih kepada mereka yang bermurah hati membantu kami. Islamic Relief telah menyumbangkan makanan, minuman dan peralatan keperluan.”

Ghassen Alimi, Ketua Misi Islamic Relief di Maghribi, berkata:

“Keperluan kemanusiaan sangat besar selepas gempa bumi berlaku dan setahun kemudian, masih terdapat keperluan yang mendesak. Ribuan penduduk yang terjejas di Pergunungan Atlas masih menanggung kesan gempa bumi dan memerlukan sokongan berterusan daripada kami untuk membantu mereka membina semula kehidupan.

“Pada peringkat awal selepas bencana, kami berdepan cabaran besar kerana kemusnahan infrastruktur penting dan jalan raya menyukarkan usaha untuk sampai kepada komuniti di kawasan pergunungan. Namun, hasil kemurahan hati para penyumbang dari seluruh dunia, sepanjang tahun lalu kami telah mengagihkan bantuan penting seperti makanan, selimut, tilam dan barangan kebersihan, selain menyediakan perkhidmatan kesihatan bergerak supaya keluarga di kawasan luar bandar dapat mengakses penjagaan kesihatan.

“Kami komited untuk terus bersama komuniti ini sepanjang proses membina semula kehidupan dan pemulihan mereka.”

Setahun selepas bencana, rakyat Maghribi masih berusaha membina kembali kehidupan mereka. Program pembinaan semula memerlukan kos yang tinggi dan melibatkan proses yang kompleks. Memandangkan Maghribi amat terdedah kepada bencana alam, lebih banyak pelaburan diperlukan untuk meningkatkan daya tahan komuniti dalam menghadapi bencana pada masa hadapan.

Respons Islamic Relief di Maghribi dilaksanakan dengan kerjasama erat bersama organisasi tempatan Maghribi, iaitu Al Mobadara Association dan At Tawassol.

Islamic Relief Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan rasmi dengan mana-mana laman web pihak luar dan tidak bertanggungjawab terhadap kandungan atau pautan pada laman web yang bukan milik atau dikendalikan oleh Islamic Relief Malaysia. Islamic Relief Malaysia mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa untuk menjalankan kutipan sumbangan. Setiap sumbangan dalam talian melalui Perbankan Internet akan dikenakan caj transaksi sebanyak RM0.55, tertakluk kepada terma dan caj yang ditetapkan oleh penyedia perkhidmatan pembayaran. Sumbangan yang dibuat melalui saluran ini tidak layak menerima resit Pengecualian Cukai, melainkan dinyatakan sebaliknya. Kami menghargai sokongan dan kepercayaan berterusan anda terhadap Islamic Relief Malaysia.

© Copyright 2026 Islamic Relief Malaysia. All rights reserved | Company Reg No: 200401018851 (657354-W)

JOM MENYUMBANG