Layari laman ini dan buat sumbangan sekarang !
Di Kampung Edilpur, Madhupur yang terletak di daerah Tangail, Bangladesh, Shaheb Ali berusia 49 tahun telah melalui liku-liku kehidupan yang penuh dengan cabaran dan kesusahan.
Sebagai seorang buruh harian yang berdepan masalah kesihatan, usaha mencari rezeki setiap hari merupakan satu perjuangan yang amat perit, menyebabkan keluarganya terus terperangkap dalam lingkaran kemiskinan.
Beban yang ditanggung Shaheb amat berat. Beberapa tahun lalu, beliau kehilangan isteri pertamanya kerana tidak mampu membiayai rawatan perubatan penyakit kanser yang dideritai isterinya.
Kini, Shaheb tinggal di sebuah rumah kecil berbumbungkan zink bersama isteri kedua dan tiga anak mereka yang masih kecil. Walaupun Shaheb berusaha gigih untuk meraih pendapatan, namun upah tidak seberapa yang diterimanya sukar untuk menampung keperluan harian mereka.
Namun, ujian mereka tidak terhenti di situ. Selain berdepan dengan kemiskinan, mereka juga terpaksa berdepan dengan kesukaran mendapatkan air yang bersih dan selamat.
Tanpa sumber air bersih berdekatan, keluarga Shaheb berdepan kesukaran saban hari. Mengambil air bermakna mereka perlu berjalan jauh dan keletihan, satu bebanan yang amat berat buat tubuh Shaheb yang semakin lemah, serta buat isteri dan anak-anaknya yang masih kecil.
“Telaga air yang terdekat terlalu jauh… Berjalan jauh setiap hari untuk mengambil air adalah beban yang amat berat buat keluarga saya.”
Akses kepada air yang bersih dan selamat bukan sekadar kemudahan, ia adalah hak asas kemanusiaan. Namun bagi Shaheb dan ribuan lagi yang nasibnya serupa, ia merupakan perjuangan harian demi kelangsungan hidup.
Menyedari keperluan mendesak ini, Islamic Relief Bangladesh telah mengadakan sesi konsultasi komuniti bagi mengenalpasti isi rumah yang paling memerlukan. Hasil sokongan penduduk setempat dan ketua-ketua masyarakat, keluarga Shaheb telah dipilih bersama sembilan keluarga lain untuk menerima bantuan yang mengubah hidup mereka.
Susulan penilaian keperluan yang terperinci, Islamic Relief Bangladesh telah memasang sebuah pam telaga tiub berhampiran rumah Shaheb. Kini, 10 buah keluarga mempunyai akses terus kepada air yang bersih, selamat, dan bebas arsenik.
“Penderitaan berjalan jauh untuk mendapatkan air kini telah berakhir,” kata Shaheb dengan penuh rasa lega.
“Hati saya terasa lebih lapang sekarang. Ia mungkin kelihatan seperti perkara kecil, tetapi bagi kami, air ini membawa keselesaan dan maruah dalam hidup kami. Saya amat berterima kasih kepada Islamic Relief. Semoga Allah membalas kebaikan mereka.”
Kisah Shaheb adalah sebahagian daripada misi yang lebih besar. Menerusi projek “Facilitating Water Access in Northern Bangladesh (FWAB-V) Phase V” yang ditaja oleh Islamic Relief Malaysia, infrastruktur air yang kritikal telah dibekalkan ke dua kawasan yang paling terjejas bekalan air (Aushnara dan Beribaid) di Madhupur Upazila.
Bagi memastikan kelestarian jangka panjang, projek ini telah menyediakan:
Kisah Shaheb Ali hanyalah satu daripada jutaan kisah di luar sana. Di pelbagai pelosok dunia, tidak terhitung bilangan keluarga, wanita, dan kanak-kanak yang masih perlu berjalan beribu langkah setiap hari hanya untuk mendapatkan sebaldi air yang kerap kali kotor dan tercemar.
Melalui Dana Wakaf Sistem Air (DWAS), anda boleh membantu membina penyelesaian air yang mampan dan berpanjangan seperti telaga tiub dalam, sistem air berkuasa solar, dan unit penapisan air buat komuniti yang amat memerlukan.
Rasulullah SAW pernah ditanya:
“Apakah sedekah yang paling utama?” Baginda menjawab: “MEMBERI AIR.”
(HR Abu Daud)
Hulurkan wakaf anda dan ubah kehidupan mereka hari ini.
Islamic Relief Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan rasmi dengan mana-mana laman web pihak luar dan tidak bertanggungjawab terhadap kandungan atau pautan pada laman web yang bukan milik atau dikendalikan oleh Islamic Relief Malaysia. Islamic Relief Malaysia mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa untuk menjalankan kutipan sumbangan. Setiap sumbangan dalam talian melalui Perbankan Internet akan dikenakan caj transaksi sebanyak RM0.55, tertakluk kepada terma dan caj yang ditetapkan oleh penyedia perkhidmatan pembayaran. Sumbangan yang dibuat melalui saluran ini tidak layak menerima resit Pengecualian Cukai, melainkan dinyatakan sebaliknya. Kami menghargai sokongan dan kepercayaan berterusan anda terhadap Islamic Relief Malaysia.