Pokok zaitun dan buahnya memainkan peranan penting bukan sahaja dalam kehidupan seharian rakyat Palestin, malah menjadi simbol perjuangan dan ketabahan mereka.

Berikut adalah kepentingan pokok zaitun kepada rakyat Palestin.

Sejarah yang berakar kukuh

Pokok zaitun merupakan antara pokok tanaman tertua di dunia. Dengan jangka hayat purata sekitar 300 hingga 600 tahun, pokok ini mampu menjadi sumber kehidupan kepada keluarga dan komuniti selama beberapa generasi.

Sesetengah pokok zaitun dilaporkan mampu hidup selama ribuan tahun, manakala pokok zaitun tertua di dunia dipercayai berusia antara 2,000 hingga 4,000 tahun.

Jangka hayat pokok zaitun yang panjang mencerminkan sejarah komuniti Palestin di tanah mereka. Pokok-pokok ini terus kekal berdiri di tengah-tengah perubahan politik dan pergolakan yang berlaku selama ratusan tahun.

Kewujudan pokok-pokok ini turut mencabar dakwaan bahawa Palestin merupakan ‘tanah tanpa penduduk’, seperti yang pernah dikemukakan oleh gerakan peneroka pada abad ke-19 dan ke-20.

Sumber ekonomi utama

Buah zaitun merupakan sumber pendapatan utama atau sampingan bagi kira-kira 80,000 hingga 100,000 keluarga Palestin.

Sebelum Oktober 2023, zaitun menyumbang sebanyak 70 peratus daripada pengeluaran buah-buahan di Wilayah Palestin yang Diduduki (OPT). Sebahagian besar hasil tuaian zaitun tahunan, iaitu 93 peratus, digunakan untuk menghasilkan minyak zaitun, manakala selebihnya digunakan untuk menghasilkan sabun, buah zaitun untuk dimakan serta zaitun jeruk.

Kebanyakan produk zaitun yang dihasilkan di Wilayah Palestin yang Diduduki digunakan untuk kegunaan tempatan. Namun, eksport ke negara-negara serantau dan pasaran antarabangsa semakin berkembang.

Lambang budaya

Musim menuai zaitun yang secara tradisinya berlangsung antara Oktober hingga November telah lama menjadi waktu untuk keluarga berkumpul dan memetik buah  zaitun daripada pokok mereka. Ketika bekerja, mereka sering menyanyi dan berkongsi cerita bersama.

Universiti dan sekolah juga memberikan cuti kepada pelajar bagi membolehkan mereka mengambil bahagian dalam musim menuai.

Sebahagian besar buah zaitun diperah untuk menghasilkan minyak yang digunakan dalam masakan, daripada penyediaan zaatar hinggalah hidangan berkuah dan pastri.  Zaitun juga digunakan dalam sesetengah ubat-ubatan, produk kosmetik dan sabun.

Minyak zaitun turut mempunyai kepentingan dalam aspek keagamaan. Umat Islam dan Kristian menganggapnya sebagai sesuatu yang diberkati atau mempunyai nilai simbolik serta menggunakannya dalam amalan keagamaan masing-masing.

Bagi kebanyakan rakyat Palestin, pokok zaitun bukan sekadar sumber pendapatan, bahkan mereka mempunyai hubungan emosi yang sangat kuat dengan pokok-pokok tersebut dan menjaganya selama bertahun-tahun, malah berdekad-dekad, hampir seperti menjaga ahli keluarga sendiri.

Pokok dan buah zaitun turut menjadi elemen penting dalam karya seni dari Wilayah Palestin yang Diduduki. Ramai pelukis dan penyair, termasuk Mahmoud Darwish dan Tawfiq Zayyad, menggunakan simbolisme pokok zaitun yang kuat dalam karya mereka.

Pokok Zaitun dan Gaza

Pokok zaitun turut menjadi antara mangsa kemusnahan akibat pengeboman dahsyat Israel di Gaza. Apabila kawasan pertanian musnah akibat serangan ketenteraan, banyak keluarga terpaksa menebang pokok zaitun milik mereka sendiri untuk dijadikan kayu api akibat kekurangan bahan api yang kritikal.

Dalam sebuah catatan blog pada November 2024 sempena Hari Solidariti Antarabangsa Bersama Rakyat Palestin, seorang petugas bantuan Islamic Relief berkongsi pengalamannya:

“Saya tidak dapat melupakan bagaimana pokok zaitun memberikan kami kayu dan daun untuk dibakar bagi mendapatkan kehangatan dan memasak ketika tiada bahan  api. Kami terus mengambil dan pokok-pokok itu terus memberi. Malah, ranting rantingnya yang terbentang menjadi tempat kami berlindung ketika tiada tempat perlindungan.”

Petugas tersebut terpaksa melarikan diri ke negara berhampiran dan kini berada dalam keadaan selamat bersama keluarganya. Namun, kerinduan terhadap tanah air dan keamanan masih kuat. Beliau menulis:

“Saya berharap saya sempat memeluk pokok-pokok saya sendiri sebagai tanda perpisahan. Perasaan ini dikongsi oleh begitu ramai antara kami. Kami mempunyai ikatan yang sangat mendalam dengan pokok-pokok ini dan tanah tempat ia tumbuh. Ia merupakan sebahagian penting daripada warisan, makanan dan juga peribahasa kami sebuah warisan yang terbentuk daripada hubungan selama berabad-abad.

Seperti kata penyair Palestin Mahmoud Darwish, “Di sini kami tetap bertahan, selagi taim dan zaitun masih ada.”

Pokok-pokok zaitun dan masyarakat yang mempunyai ikatan dengannya hanya dapat hidup dan berkembang di tanah ini, sebagaimana jenis pokok lain turut berkembang subur di tempat asalnya.

Simbol perjuangan

Pokok zaitun tahan terhadap kemarau dan mampu tumbuh walaupun dalam keadaan tanah yang kurang subur. Ciri-ciri ini menjadikan pokok zaitun sebagai simbol keterikatan rakyat Palestin terhadap tanah mereka.

Selain nilai simboliknya, pokok zaitun turut memainkan peranan nyata dalam perjuangan rakyat Palestin menghadapi pendudukan haram dan perampasan tanah. Menanam dan mengusahakan pokok-pokok ini menjadi satu bentuk keteguhan dalam menghadapi pendudukan, manakala kewujudan pokok tersebut turut menyukarkan dakwaan bahawa sesuatu kawasan tanah tidak berpenghuni atau tidak digunakan.

Namun, ramai petani terputus akses kepada pokok mereka apabila pergerakan ke kawasan pertanian sangat terhad akibat kawalan Israel.

Sistem permit yang tidak dilaksanakan secara konsisten turut menyukarkan petani untuk mengusahakan pokok mereka. Permit diberikan kepada individu, menyebabkan ahli keluarga sering tidak dapat bekerja bersama-sama untuk menjaga pokok zaitun dan akhirnya mengakibatkan hasil tuaian yang lebih sedikit.

Petani juga sering perlu melalui pusat pemeriksaan untuk sampai ke tanah mereka. Pusat pemeriksaan ini hanya dibuka pada waktu-waktu tertentu, sekali gus mengehadkan tempoh yang boleh digunakan oleh petani untuk mengusahakan tanah dan seterusnya menjejaskan hasil tuaian.

Walaupun pokok zaitun mampu bertahan tanpa penjagaan berterusan dan masih boleh menjadi sumber pendapatan penting kepada keluarga meskipun berdepan kesukaran akses, kesan daripada pemisahan petani dengan tanah serta pokok mereka tetap sangat besar.

Pokok zaitun turut menjadi sasaran

Malangnya, pokok zaitun dan para petani yang mengusahakannya turut menjadi sasaran serangan, khususnya menjelang dan sepanjang musim menuai.

Situasi ini amat ketara di Tebing Barat apabila pokok-pokok zaitun dicabut, dibakar dan ditebang oleh peneroka.

Pada 2025, Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) melaporkan tahap kerosakan tertinggi akibat serangan peneroka sejak 2020. Lebih 4,000 pokok menjadi sasaran dalam 126 insiden yang direkodkan di 70 bandar dan kampung.

Serangan seperti ini telah dikecam oleh pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa serta beberapa kumpulan Yahudi yang menegaskan bahawa Taurat melarang pemusnahan pokok, termasuk ketika peperangan.

Pemusnahan pokok ketika konflik turut melanggar Konvensyen Geneva, khususnya Artikel 54 dan 55.

Komuniti tempatan dan kumpulan masyarakat sivil telah mengambil langkah untuk  melindungi pokok serta petani sepanjang musim menuai, selain menggantikan pokok pokok yang telah dimusnahkan. Namun, angka yang dilaporkan OCHA menunjukkan bahawa masalah tersebut semakin memburuk.

Islamic Relief bantu rakyat Palestin melalui penyediaan pokok zaitun

Sepanjang tahun-tahun lalu, Islamic Relief telah menyediakan pokok zaitun kepada keluarga Palestin bagi membantu mereka meningkatkan pendapatan serta memperbaiki pemakanan.

Usaha ini membantu memastikan rakyat Palestin mempunyai bekalan makanan yang mencukupi pada masa hadapan, meningkatkan keupayaan komuniti menghadapi cabaran, melindungi alam sekitar serta memastikan tradisi budaya terus dipelihara.

Penyediaan pokok zaitun hanyalah salah satu daripada pelbagai usaha Islamic Relief dalam menyokong rakyat Palestin yang amat memerlukan bantuan.

Teruskan membantu dan hulurkan sumbangan kepada Rayuan Palestin.

Islamic Relief Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan rasmi dengan mana-mana laman web pihak luar dan tidak bertanggungjawab terhadap kandungan atau pautan pada laman web yang bukan milik atau dikendalikan oleh Islamic Relief Malaysia. Islamic Relief Malaysia mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa untuk menjalankan kutipan sumbangan. Setiap sumbangan dalam talian melalui Perbankan Internet akan dikenakan caj transaksi sebanyak RM0.55, tertakluk kepada terma dan caj yang ditetapkan oleh penyedia perkhidmatan pembayaran. Sumbangan yang dibuat melalui saluran ini tidak layak menerima resit Pengecualian Cukai, melainkan dinyatakan sebaliknya. Kami menghargai sokongan dan kepercayaan berterusan anda terhadap Islamic Relief Malaysia.

© Copyright 2026 Islamic Relief Malaysia. All rights reserved | Company Reg No: 200401018851 (657354-W)

JOM MENYUMBANG