Layari laman ini dan buat sumbangan sekarang !
Setahun selepas gencatan senjata diumumkan, dua petugas Islamic Relief di Gaza berkongsi tentang cabaran berterusan yang dihadapi oleh masyarakat dan petugas kemanusiaan, serta rasa takut yang masih menyelubungi kehidupan seharian ketika serangan Israel terus berlaku.
Layla*: “Keadaan di Gaza ketika ini, dengan pengeboman dan serangan udara yang masih berterusan, jelas menunjukkan bahawa gencatan senjata belum benar-benar membawa keamanan kepada penduduk. Serangan masih berlaku, termasuk di kem penempatan dan kawasan padat penduduk, menyebabkan kami terus hidup dalam ketakutan dan terdedah kepada ancaman keselamatan setiap hari.
“Kami tidak boleh mengatakan bahawa kami benar-benar selamat. Kami takut untuk keluar ke jalan raya, sama ada dengan kereta mahupun berjalan kaki. Bunyi dron yang berlegar di atas kepala juga membuatkan kami sentiasa cemas. Malah, rumah kami sendiri tidak lagi selamat. Sukar untuk tidak terfikir bahawa kita mungkin menjadi mangsa seterusnya.
“Inilah kesukaran yang kami hadapi setiap hari iaitu perpindahan dan ketakutan. Pembunuhan masih berterusan dan kami tidak dapat menjalani kehidupan seperti biasa.”
Kebanyakan bangunan dan rumah di Gaza runtuh dan musnah sepanjang krisis tiga tahun.
Sameer*: “Apabila kami mendengar berita tentang gencatan senjata, kami berasa sedikit lega kerana masih hidup selepas melalui segala yang berlaku sepanjang dua tahun sebelumnya. Namun selepas itu, kami menyedari bahawa dari pihak Israel, ia bukanlah gencatan senjata sebenar.
“Baru beberapa hari lalu, berlaku serangan berhampiran kami. Serangan itu berlaku di kawasan khemah yang sesak, dengan ramai wanita dan kanak-kanak berada di situ.
“Kebanyakan penduduk kini tinggal di khemah yang sesak atau bangunan yang telah rosak. Beberapa minggu lalu, sebuah bangunan yang rosak runtuh menimpa kanak-kanak dan keluarga yang sedang tidur di dalamnya.
“Akibat serangan yang berterusan, hampir tiada bangunan yang benar-benar sesuai untuk didiami. Kebanyakan kami tinggal di khemah, dan mendapatkan air minuman menjadi satu masalah yang sangat besar. Kini, amat sukar untuk mendapatkan sumber air minuman yang baik, malah bekalan elektrik juga hampir mustahil untuk diperoleh.
“Apabila saya keluar berjalan bersama anak-anak, setiap kali sebuah kereta menghampiri kami, saya takut jika berlaku serangan. Walaupun berada di rumah, rasa takut itu tetap ada pada setiap saat.
“Malah untuk keluar bekerja pun menakutkan. Sukar untuk menjelaskan perasaan itu kerana ketakutan tersebut sudah menjadi sebahagian daripada fikiran, kehidupan dan setiap langkah yang kami ambil.”
Layla: “Saya takut kehilangan salah seorang rakan sekerja, kehilangan nyawa sendiri atau kehilangan keluarga. Tetapi inilah keadaan yang kami hadapi di sini.
“Ada berita mengatakan beberapa barangan sudah mula memasuki Gaza, tetapi jumlahnya masih jauh daripada mencukupi. Di media sosial, mungkin orang ramai melihat restoran, kedai kopi dan sebagainya kembali beroperasi. Penduduk mahu meneruskan kehidupan dan cuba bangkit semula.
“Namun, setiap kali kami cuba membina semula kehidupan, saya sentiasa terfikir bahawa akan ada sesuatu yang berlaku dan mematahkan harapan itu atau menghentikan segala kemajuan yang telah dicapai.”
Sejak gencatan senjata berkuat kuasa, bunyi pengeboman masih kedengaran. Rakyat Palestin juga telah diusir dari hampir 70 peratus kawasan Gaza, menyebabkan lebih dua juta penduduk terpaksa tinggal di kawasan yang hanya merangkumi sedikit lebih 30 peratus daripada keseluruhan wilayah itu.
Layla: “Perasaan kami masih sama seperti sebelum gencatan senjata. Kami tidak boleh terus hidup dalam hanya 30 peratus kawasan Gaza sambil menunggu mereka mara dan menguasai kawasan lain.
“Gencatan senjata tidak boleh dianggap benar-benar wujud apabila kami masih terpaksa tinggal dalam kawasan yang begitu sempit, masih diserang dan masih dinafikan bantuan. Ia hanya kelihatan seolah-olah standard minimum kemanusiaan sedang dipatuhi.
“Penduduk di sini masih kelaparan. Bekalan perubatan juga tidak mencukupi. Ubat untuk pesakit diabetes semakin berkurangan, manakala mereka yang menghidap penyakit kronik sukar mendapatkan ubat yang diperlukan.
“Sekatan yang dikenakan amat sukar dan mencabar. Kami masih cuba menyesuaikan diri dengan keadaan ini dan berharap, insya-Allah, keadaan akan menjadi lebih baik.”
Sameer: “Sehingga kini, organisasi kemanusiaan masih menghadapi kesukaran besar untuk membawa bantuan masuk ke Gaza. Hanya barangan komersial tertentu dibenarkan masuk, manakala banyak barangan asas masih disekat.
“Harga barangan pula sangat tinggi dan tidak mampu dibeli oleh kebanyakan penduduk. Peluang pekerjaan sangat terhad dan Gaza turut berdepan kekurangan wang tunai yang serius.
“Kami menyesuaikan pendekatan dengan menyediakan baucar makanan yang membolehkan penduduk memilih sendiri barangan yang diperlukan daripada kedai tempatan. Ini memberi lebih banyak pilihan kepada keluarga, membantu menjaga maruah mereka dan pada masa yang sama menyokong perniagaan tempatan.”
Sumbangan baucar tunai yang diberikan membolehkan penduduk membeli barangan harian mengikut keperluan keluarga masing-masing.
“Kami telah menyediakan baucar makanan kepada ramai penduduk, terutama golongan kurang upaya di Gaza yang sering terpinggir. Percayalah, mereka benar-benar telah dilupakan.
“Kami kini membantu lebih 25,000 anak yatim dan penjaga mereka. Kebanyakannya tinggal di dalam khemah dalam keadaan yang amat sukar.
“Namun, kami tidak sentiasa dapat melawat mereka kerana faktor keselamatan. Setiap kali mahu bergerak ke sesuatu kawasan, kami perlu menyemak sama ada terdapat arahan pemindahan, serangan bom atau serangan dron di lokasi tersebut.”
Layla: “Mungkin selepas tiga tahun, Gaza semakin dilupakan. Perhatian yang pernah kami lihat di media sosial dan berita tidak lagi sama seperti dahulu.
“Begitu banyak perkara sedang berlaku di seluruh dunia, jadi mungkin Gaza semakin hilang daripada perhatian walaupun cabaran dan kekurangan di sini masih sangat besar.
“Mungkin perhatian semakin berkurang kerana wujudnya gencatan senjata separa. Kadangkala berita hanya melaporkan satu atau dua orang terbunuh dalam serangan udara, kemudian semuanya berlalu begitu sahaja. Orang ramai beralih kepada berita seterusnya. Gaza mungkin dianggap sekadar satu isu besar yang pernah menjadi perhatian ramai.
“Tetapi walaupun perjalanan sukar dan bantuan susah disampaikan, sebagai petugas kemanusiaan kami tidak boleh hanya duduk dan melihat orang ramai menderita.
“Kami melihat penderitaan mereka dan tahu bahawa kami mampu membantu, jadi kami tetap mengambil risiko. Di Gaza, untuk terus hidup sahaja sudah merupakan satu risiko besar.
“Kami tidak mampu melihat kesukaran yang dihadapi masyarakat dan tidak melakukan apa-apa. Itu bukan sifat kami dan bukan sifat masyarakat Gaza.”
“Mungkin keadaan kami sedikit lebih baik berbanding mereka yang tinggal di khemah atau di jalanan tanpa tempat perlindungan.
“Rumah kami memang rosak sebahagiannya, tetapi sekurang-kurangnya kami masih mempunyai tempat tinggal. Masih ada dinding dan bumbung untuk berlindung. Kami tidak perlu tinggal di jalanan, kem atau khemah sambil berdepan tikus dan haiwan lain.
“Jadi kami tetap keluar untuk menjalankan tugas dan berdoa agar dapat pulang ke rumah dengan selamat.”
“Kerja kemanusiaan mesti diteruskan. Kami tidak boleh berhenti begitu sahaja.
“Walaupun bantuan yang kami salurkan tidak mampu menjangkau kesemua dua juta penduduk Gaza, kami masih boleh membawa perubahan kepada kehidupan seseorang. Itulah yang terus memberi semangat kepada para petugas kemanusiaan.
“Itulah yang mendorong kami untuk terus bergerak dan bertahan menghadapi segala kesukaran tekanan mental, keletihan fizikal, tekanan emosi dan keadaan yang sangat memenatkan tetapi kami tetap meneruskan tugas.”
Walaupun berdepan kesukaran yang amat besar, kakitangan dan rakan kerjasama Islamic Relief di Gaza terus bekerja bagi memastikan bantuan anda sampai kepada mereka yang paling memerlukannya. Bantulah mereka meneruskan usaha yang menyelamatkan nyawa ini. Hulurkan sumbangan kepada Rayuan Palestin kami hari ini.
Islamic Relief Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan rasmi dengan mana-mana laman web pihak luar dan tidak bertanggungjawab terhadap kandungan atau pautan pada laman web yang bukan milik atau dikendalikan oleh Islamic Relief Malaysia. Islamic Relief Malaysia mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa untuk menjalankan kutipan sumbangan. Setiap sumbangan dalam talian melalui Perbankan Internet akan dikenakan caj transaksi sebanyak RM0.55, tertakluk kepada terma dan caj yang ditetapkan oleh penyedia perkhidmatan pembayaran. Sumbangan yang dibuat melalui saluran ini tidak layak menerima resit Pengecualian Cukai, melainkan dinyatakan sebaliknya. Kami menghargai sokongan dan kepercayaan berterusan anda terhadap Islamic Relief Malaysia.