BANGI, 4 Mei 2024 – Seramai kira-kira 400 orang menghadiri majlis MySinggah Raya anjuran Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) yang diadakan di perkarangan pejabat IR Malaysia di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi.

Majlis jamuan hari raya itu bertujuan untuk merai dan menyantuni semua pihak yang telah bekerjasama dengan IR Malaysia selain untuk merapatkan ukhuwah dalam kalangan penerima manfaat, penaja korporat, para penyumbang, ikon kemanusiaan, rakan-rakan media, rakan-rakan kemanusiaan dan jiran tetangga.

Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah IR Malaysia, Prof. Dr. Azni Idris dalam ucapannya berkata, MySinggah Raya merupakan program tahunan IR Malaysia yang diadakan bagi mengikat silaturrahim, mengucapkan terima kasih dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mereka yang telah bersama dengan IR Malaysia dalam menjalankan gerak kerja kemanusiaan baik di dalam negara mahupun luar negara.

“Terima kasih kepada penyokong, penyumbang, ahli-ahli korporat, penerima manfaat dan semua yang telah menyumbang khidmat bakti kepada usaha-usaha Islamic Relief dalam memperdanakan kerja-kerja kebajikan dan kemanusiaan.

“MySinggah Raya akan dianjurkan lagi sebagai satu jambatan untuk kita semua berkenalan dan usaha kemanusiaan ini tidak terhenti di sini. Setiap hari, setiap masa, Islamic Relief akan memastikan gerak kerja dilakukan sebaiknya bagi memastikan lebih ramai golongan memerlukan dapat dibantu. Sebagai contoh, IR Malaysia kini sedang giat menjalankan kempen Rezeki Qurban bagi membantu penduduk di enam negara; Mali, Malawi, Somalia, Yaman, Syria dan Gaza, Palestin melalui agihan pek daging korban.

“Saya ucapkan tahniah kepada semua dan semoga Allah limpahkan rezeki kepada usaha-usaha semua pihak, insya-Allah,” katanya.

Turut diraikan dalam majlis tersebut, 30 pelajar pusat bimbingan alternatif Refugee Intellectual Skills & Excellence (RISE) dan 18 usahawan Growth Entrepreneuship Assistance Programme (GRAP) di bawah bimbingan IR Malaysia.

Antara aktiviti yang dijalankan dalam majlis tersebut ialah agihan duit raya kepada pelajar-pelajar RISE dan anak-anak asnaf serta sesi ramah mesra bersama warga IR Malaysia.

IR Malaysia turut berterima kasih kepada para penaja yang telah bermurah hati untuk menyumbang pelbagai jenis makanan iaitu Chef Lyn’s Pastry and Cafe, Mek Buyong Kitchen, Gabrielle Mille Crepe, Luxirra Food, Han’s Cookies, BeliKek.Com Bakery, Lemang Asli Pak Din, Gerobok Teacher, Laksa Redup Rimba, dan penaja-penaja individu serta penaja duit raya, Mat Telawi Trading.

Terdahulu, 25 orang sukarelawan daripada Persatuan Mahasiswa Anak Johor (PERMAJ) UKM, Kelab Sahabat Aqsa UKM, Kelab Penyayang USIM, Politeknik Shah Alam, UNIKL MFI dan sukarelawan Ramadan Troopers turut diraikan oleh IR Malaysia pada 27 April dalam majlis ‘Volunteers Raya Get Together’ bagi memberi penghargaan kepada sukarelawan yang menyertai pelbagai aktiviti sepanjang bulan Ramadan di samping memperkenalkan program Charity Week yang akan berlangsung pada bulan Oktober 2024.

Islamic Relief Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan rasmi dengan mana-mana laman web pihak luar dan tidak bertanggungjawab terhadap kandungan atau pautan pada laman web yang bukan milik atau dikendalikan oleh Islamic Relief Malaysia. Islamic Relief Malaysia mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa untuk menjalankan kutipan sumbangan. Setiap sumbangan dalam talian melalui Perbankan Internet akan dikenakan caj transaksi sebanyak RM0.55, tertakluk kepada terma dan caj yang ditetapkan oleh penyedia perkhidmatan pembayaran. Sumbangan yang dibuat melalui saluran ini tidak layak menerima resit Pengecualian Cukai, melainkan dinyatakan sebaliknya. Kami menghargai sokongan dan kepercayaan berterusan anda terhadap Islamic Relief Malaysia.

© Copyright 2026 Islamic Relief Malaysia. All rights reserved | Company Reg No: 200401018851 (657354-W)

JOM MENYUMBANG