Layari laman ini dan buat sumbangan sekarang !
Sana Basim, Ketua Program Islamic Relief Lebanon, mengimbas kembali peristiwa ‘Black Wednesday’ yang melanda negara itu — hari pengeboman paling dahsyat dalam tempoh bertahun-tahun.
Lubnan menyimpan banyak tarikh duka yang terpahat dalam ingatan, hari-hari yang penuh dengan kehilangan, kesakitan dan perjuangan untuk terus bertahan. Namun, 8 April akan kekal sebagai salah satu luka paling dalam, tarikh yang dicemari dengan kekejaman, ketidakadilan dan keganasan yang tidak berperikemanusiaan serta tidak mungkin dilupakan.
Walaupun gencatan senjata telah dipersetujui pada 2024, pelanggaran oleh Israel tidak pernah benar-benar terhenti. Serangan di selatan Lubnan terus berlaku tanpa henti sehingga seolah olah menjadi kebiasaan. Kemudian tercetus peningkatan konflik susulan perang antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran yang menyebabkan perpindahan penduduk secara besar-besaran di seluruh negara. Hampir 20 peratus penduduk Lubnan terpaksa meninggalkan kediaman mereka. Sekali lagi, orang awam menjadi golongan yang menerima kesan paling buruk.
Islamic Relief Lubnan merupakan antara organisasi yang berada di barisan hadapan dalam memberikan bantuan dan terus bekerja tanpa mengenal penat lelah bagi membantu komuniti yang terjejas akibat konflik. Beberapa hari selepas detik paling berdarah itu, saya berpeluang bercakap dengan beberapa penduduk yang kehilangan tempat tinggal.
Apa yang paling menyentuh hati saya bukanlah kata-kata mereka, tetapi kesunyian mereka. Mereka sendiri tidak tahu apa yang harus dikatakan. Namun, ada satu ketakutan yang tidak diluahkan tetapi jelas terpancar pada wajah mereka:
Adakah kami akan menjadi seperti Gaza?
Adakah dunia akan membiarkan perkara yang sama berlaku kepada kami, seperti mana ia membiarkan perkara itu berlaku kepada rakyat Palestin di Gaza?
Kesunyian mereka begitu menyakitkan. Begitu juga persoalan yang jelas terpancar daripada pandangan mata mereka.
Sebagai seorang pekerja kemanusiaan yang sering berbicara mengenai prinsip kemanusiaan, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan keadilan, saya sendiri kehilangan kata-kata. Dalam keadaan seperti ini, semua konsep tersebut terasa kosong. Bagi rakyat Lubnan, semuanya seakan-akan hanya menjadi kata-kata di atas kertas yang telah kehilangan makna, nilai dan perlindungannya.
8 April bermula seperti hari-hari lain sepanjang krisis ini. Pasukan saya sedang mengagihkan bekalan air di salah sebuah pusat perlindungan di Beirut, sementara saya menyediakan laporan situasi dan merangka pelan tindak balas kecemasan.
Sejak perang bermula, Islamic Relief Lubnan telah beroperasi secara hibrid. Kakitangan yang tinggal di luar Beirut bekerja dari jarak jauh atau hadir apabila diperlukan, manakala kakitangan yang berpangkalan di Beirut terus hadir ke pejabat. Rabu itu juga bermula seperti biasa.
Kemudian, saya terdengar satu bunyi yang sangat kuat.
Pada mulanya, saya menyangka ia adalah bunyi jet Israel yang memecahkan benteng bunyi, sesuatu yang sering berlaku dan mencetuskan ketakutan dalam kalangan penduduk. Namun, selepas itu kedengaran satu lagi letupan. Kemudian satu lagi.
Kami berkumpul di dalam sebuah bilik dan dari situ kami dapat melihat asap kelabu tebal menjulang ke langit. Suasana panik mula tercetus. Telefon mula berdering tanpa henti dengan panggilan, mesej dan amaran yang masuk bertalu-talu. Ruang itu dipenuhi rasa terkejut, takut dan sukar mempercayai apa yang sedang berlaku.
Bahagian Sumber Manusia (HR) segera menjalankan semakan kehadiran menerusi WhatsApp kakitangan untuk memastikan semua berada dalam keadaan selamat. Pegawai yang bertanggungjawab terhadap keselamatan pula segera menghubungi pasukan yang sedang menjalankan agihan bantuan.
Salah satu serangan udara berlaku hanya kira-kira tiga kilometer dari lokasi agihan bantuan Islamic Relief. Alhamdulillah, semua kakitangan dilaporkan selamat.
Pasukan di lapangan melaporkan keadaan huru-hara di pusat perlindungan. Kanak-kanak menangis dan menjerit ketakutan. Bunyi serangan begitu kuat. Asap memenuhi udara, manakala bau bahan letupan terasa kuat dan menyesakkan. Ketakutan dapat dirasai di mana mana.
Tidak lama kemudian, video mula memenuhi telefon kami. Rakaman tersebut terasa tidak nyata, seolah-olah babak daripada sebuah filem, tetapi inilah realiti yang sedang berlaku.
Bom jatuh di merata-rata tempat. Orang ramai menangis dan berlari menyelamatkan diri. Bunyi siren ambulans bergema di udara. Pemandu membunyikan hon ketika suasana panik semakin merebak di jalan raya. Ramai meninggalkan kenderaan mereka di tengah jalan dan berlari dalam usaha untuk menyelamatkan diri.
Dalam masa beberapa minit, Beirut sebuah kota yang sinonim dengan kehidupan, kesibukan dan ketabahan berubah menjadi lokasi yang penuh dengan kengerian.
Media kemudiannya melaporkan bahawa lebih 100 serangan udara dilancarkan dalam tempoh hanya 10 minit tanpa sebarang amaran awal. Bangunan kediaman dan komersial turut menjadi sasaran. Ada penduduk yang dilaporkan hilang. Lebih 300 mangsa dilaporkan terkorban, manakala ratusan lagi mengalami kecederaan.
Detik itu mengubah segala-galanya.
Dan bagi ramai penduduk, meneruskan kehidupan itu sendiri menjadi satu bentuk perjuangan.
Malam tadi, gencatan senjata selama 10 hari telah diumumkan. Berita ini sememangnya dialu-alukan, namun ia turut disambut dengan rasa ragu-ragu dalam kalangan penduduk Lubnan.
Perjanjian tersebut hanya terpakai di kawasan negara yang terletak di utara Sungai Litani. Lebih membimbangkan, ia hanya melibatkan serangan udara dan tidak merangkumi pencerobohan darat Israel.
Penduduk masih bimbang pertempuran akan kembali tercetus selepas tempoh 10 hari tersebut berakhir, sekiranya gencatan senjata itu mampu bertahan selama tempoh tersebut.
Islamic Relief berharap agar gencatan senjata ini terus berkekalan dan menggesa kerajaan antarabangsa yang mempunyai pengaruh serta semua pihak yang terlibat untuk memastikan perjanjian tersebut dihormati sepenuhnya.
Islamic Relief terus berusaha menyokong komuniti yang terdedah dan terjejas di Lubnan sepanjang krisis ini.
Bantulah kami meneruskan usaha menyelamatkan nyawa ini. Sumbang kepada Rayuan Kecemasan Antarabangsa hari ini.
Islamic Relief Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan rasmi dengan mana-mana laman web pihak luar dan tidak bertanggungjawab terhadap kandungan atau pautan pada laman web yang bukan milik atau dikendalikan oleh Islamic Relief Malaysia. Islamic Relief Malaysia mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa untuk menjalankan kutipan sumbangan. Setiap sumbangan dalam talian melalui Perbankan Internet akan dikenakan caj transaksi sebanyak RM0.55, tertakluk kepada terma dan caj yang ditetapkan oleh penyedia perkhidmatan pembayaran. Sumbangan yang dibuat melalui saluran ini tidak layak menerima resit Pengecualian Cukai, melainkan dinyatakan sebaliknya. Kami menghargai sokongan dan kepercayaan berterusan anda terhadap Islamic Relief Malaysia.