Layari laman ini dan buat sumbangan sekarang !
Sebanyak RM300,000 menjadi sasaran awal pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islamic Relief Malaysia bagi membantu penduduk Lubnan yang terjejas ekoran insiden letupan sebuah gudang di Pelabuhan Beirut Selasa lalu.
Dana tersebut bakal dikumpulkan dalam tempoh sebulan menerusi kempen Dariku Untukmu…Selamatkan Mereka! LEBANON yang dilancarkan baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia, Zairulshahfuddin Zainal Abidin berkata Islamic Relief kini berada dalam keadaan siap siaga dan berusaha keras melakukan yang terbaik demi membantu penduduk Lubnan.
“Beberapa jam selepas kejadian letupan, pihak Islamic Relief Lebanon telah berada di tapak kejadian untuk membuat tinjauan dan mengenalpasti bantuan utama yang diperlukan.
“Sehingga kini, kerja-kerja mencari dan menyelamat masih diteruskan oleh pelbagai pihak. Lebih 154 orang dilaporkan maut manakala lebih 5000 orang tercedera dan ratusan lagi masih belum ditemui.
“Lubnan sebelum ini berdepan krisis daripada pelbagai penjuru. Peningkatan kes Covid-19 saban hari semakin membimbangkan dan kini, Lubnan sekali lagi diuji dengan kejadian letupan dengan kekuatan 4.5 skala ritcher. Hospital tidak lagi dapat menampung jumlah pesakit yang ramai,” ulas Zairulshahfuddin.
Justeru, Zairulshahfuddin menjemput orang ramai untuk menyahut seruan bagi membantu mereka yang sangat memerlukan di Lubnan ketika ini dengan membuat sumbangan kepada Islamic Relief Malaysia.
Sementara itu, Pengarah Negara Islamic Relief Lebanon, Nidal Ali, berkata pihaknya masih lagi terkejut dengan insiden yang tidak dijangka itu.
“Kami semua di Beirut masih terkejut dengan kejadian letupan baru-baru ini. Saya berada di rumah ketika itu sebelum pintu kaca balkoni rumah kami hancur. Pada mulanya kami menyangka bahawa itu adalah gempa bumi.
“Ini merupakan satu lagi tragedi bagi negara ini yang sudahpun berada dalam keadaan krisis yang teruk. Dalam beberapa dekad ini, krisis ekonomi mencapai tahap terburuk di mana hampir separuh penduduk hidup di bawah garis kemiskinan manakala 35% lagi menganggur. Sebilangan besar penduduk Lubnan adalah pelarian yang telah menderita sejak sekian lama. Kini, mereka semakin sukar untuk meneruskan kelangsungan hidup walaupun untuk menyediakan bekalan makanan.
“Pada Oktober tahun lalu, kami terpaksa menghentikan semua program jangka masa panjang dan mengutamakan program agihan pek makanan memandangkan krisis ekonomi yang berlaku menyebabkan isu kemanusiaan semakin kritikal.
“Ini semua terjadi sebelum pandemik koronavirus merebak ke serata dunia dan Lubnan mengalami lonjakan kes dalam beberapa minggu kebelakangan ini sehingga memenuhi pusat-pusat kesihatan dan hospital.
“Islamic Relief telah memberi respon awal dengan menyediakan minuman dan makanan kepada mereka yang kehilangan tempat tinggal akibat letupan. Kami juga membantu melakukan kerja-kerja pembersihan dan mengupah orang-orang yang kehilangan pekerjaan untuk membantu. Manakala untuk bantuan jangka panjang, kami akan terus menyediakan pek makanan kerana industri import makanan terjejas teruk selepas pelabuhan Beirut musnah,” terang Nidal.
Orang ramai yang ingin membantu boleh membuat sumbangan menerusi kempen Dariku Untukmu…Selamatkan Mereka! LEBANON. Layari laman web Islamic Relief Malaysia, www.islamic-relief.org.my atau hubungi talian tetap, +603-8926 3434 untuk maklumat lanjut.
Untuk Pertanyaan MediaSebarang pertanyaan media atau permintaan maklumat lanjut berkaitan siaran ini, sila hubungi:
Unit Komunikasi Strategik Islamic Relief MalaysiaE-mel: Malaysia.Media@islamic-relief.org.myTelefon: +6019-220 1788 atau +603-8926 3434
Islamic Relief Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan rasmi dengan mana-mana laman web pihak luar dan tidak bertanggungjawab terhadap kandungan atau pautan pada laman web yang bukan milik atau dikendalikan oleh Islamic Relief Malaysia. Islamic Relief Malaysia mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa untuk menjalankan kutipan sumbangan. Setiap sumbangan dalam talian melalui Perbankan Internet akan dikenakan caj transaksi sebanyak RM0.55, tertakluk kepada terma dan caj yang ditetapkan oleh penyedia perkhidmatan pembayaran. Sumbangan yang dibuat melalui saluran ini tidak layak menerima resit Pengecualian Cukai, melainkan dinyatakan sebaliknya. Kami menghargai sokongan dan kepercayaan berterusan anda terhadap Islamic Relief Malaysia.