Layari laman ini dan buat sumbangan sekarang !
Lubnan kini berdepan krisis kemanusiaan terburuk dalam tempoh lebih 30 tahun apabila Israel meningkatkan pencerobohannya.
Orang awam di seluruh negara sedang melalui mimpi ngeri apabila jumlah penduduk yang kehilangan tempat tinggal serta angka korban meningkat dengan pantas.
Antara penduduk terjejas termasuk anak tajaan Islamic Relief iaitu seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang mengalami kecederaan parah dalam serangan udara. Lebih 1,800 orang kini telah terbunuh manakala lebih 8,500 lagi cedera.
Pihak berkuasa tempatan melaporkan bahawa lebih 1 juta penduduk, bersamaan 1 daripada setiap 6 penduduk Lubnan, kini terpaksa meninggalkan kediaman mereka, jumlah yang sudah melebihi angka perpindahan semasa perang pada 2006.
Petugas Islamic Relief melaporkan keadaan yang semakin terdesak di pusat-pusat perlindungan komuniti yang sesak, dimana sesetengah pusat terpaksa menolak keluarga yang sangat memerlukan kerana sudah tidak mempunyai ruang.
Hari ini, Israel mengeluarkan arahan baharu yang digelar sebagai ‘arahan pemindahan’, memaksa lebih ramai orang awam meninggalkan kediaman mereka. Situasi ini mengingatkan kembali kepada apa yang berlaku di Gaza sepanjang tahun lalu, apabila arahan serupa oleh Israel memaksa hampir keseluruhan penduduk Gaza berpindah ke kawasan tanah yang sangat kecil, di mana penyakit dan kelaparan merebak dengan pantas.
Arahan pemindahan ini tidak berperikemanusiaan serta menyebabkan penderitaan dan tekanan yang besar kepada orang awam. Arahan tersebut juga tidak menggugurkan tanggungjawab Israel untuk melindungi orang awam yang tidak dapat atau memilih untuk tidak meninggalkan kediaman mereka.
Ketika Israel meningkatkan pencerobohannya ke atas Lubnan, terus mengebom dan menyekat Gaza, melanggar hak asasi manusia di Tebing Barat serta mula mengebom Yaman, kerajaan antarabangsa mesti menghentikan penjualan senjata dan meningkatkan segala tekanan diplomatik untuk menuntut gencatan senjata dengan segera serta menghentikan pelanggaran undang-undang antarabangsa di seluruh rantau tersebut.
Orang awam, termasuk kanak-kanak, menanggung kesan paling buruk daripada peningkatan konflik ini. Islamic Relief dengan penuh dukacita melaporkan bahawa seorang kanak-kanak lelaki dan ibunya yang merupakan sebahagian daripada Program Tajaan Anak Yatim Islamic Relief di Lubnan telah mengalami kecederaan parah dalam serangan udara baru-baru ini.
Marwan*, 12 tahun, sedang berada di rumah dan bersiap untuk bersarapan bersama ibu serta kakaknya apabila sebuah bom membedil apartmen mereka di selatan Lubnan. Marwan dan ibunya mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke hospital, yang kebanyakannya kini
terlalu sesak dengan pesakit. Marwan kini sedang menjalani proses pemulihan selepas pembedahan untuk mengeluarkan serpihan letupan dari bahagian perut dan pahanya, manakala ibunya mengalami beberapa keretakan tulang dan masih dirawat di unit rawatan rapi selepas menjalani pembedahan pada usus besar dan hati. Syukur, kakak Marwan tidak mengalami kecederaan fizikal, namun masih terkesan secara psikologi.
Marwan telah menjadi sebahagian daripada program tajaan kami selama beberapa tahun. Beliau hanya mempunyai satu buah pinggang yang berfungsi dan sejak lahir telah mengalami kegagalan buah pinggang serta jangkitan darah dan saluran kencing yang berulang.
Seorang kakitangan Islamic Relief menggambarkannya sebagai “seorang kanak-kanak lelaki yang baik hati dan prihatin, yang hari-harinya dipenuhi dengan rawatan dan kesakitan, bukannya gelak tawa dan bermain seperti kanak-kanak lain”.
Bapanya meninggal dunia ketika Marwan masih kecil dan keluarganya bergantung pada bantuan kewangan daripada program tajaan untuk membeli barangan keperluan harian serta membayar kos lawatan berkala ke doktor dan ubat-ubatan Marwan, terutama ketika krisis ekonomi Lubnan semakin buruk sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Doa kami bersama keluarga ini dalam menghadapi waktu yang amat sukar dan kami berharap mereka segera pulih.
Krisis kemanusiaan semakin buruk dari hari ke hari dan hari ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersama komuniti kemanusiaan yang lebih luas di Lubnan telah melancarkan rayuan dana sebanyak AS$425 juta bagi meningkatkan tindak balas dan membantu lebih 1 juta penduduk yang terjejas. Walaupun kebanyakan penduduk yang kehilangan tempat tinggal masih berada di dalam Lubnann, sekurang-kurangnya 100,000 orang turut melarikan diri merentasi sempadan ke negara jiran, Syria.
Kakitangan Islamic Relief yang menjalankan agihan bantuan setiap hari di puluhan pusat perlindungan untuk penduduk yang kehilangan tempat tinggal melaporkan keadaan yang amat buruk, dengan keluarga terpaksa tidur di kawasan terbuka dan ratusan orang berkongsi hanya sebuah tandas.
Sejak krisis semakin memuncak, Islamic Relief telah mengagihkan lebih 6,434 pek makanan sedia dimakan, 500 pek daging, 2,273 kit kebersihan, 1,035 helai selimut, 1,035 buah tilam dan 16,459 barangan perubatan di Mount Lebanon, Chouf, Sida, Nabatieh, Tyre, Bekaa dan Baalbek.
Islamic Relief Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan rasmi dengan mana-mana laman web pihak luar dan tidak bertanggungjawab terhadap kandungan atau pautan pada laman web yang bukan milik atau dikendalikan oleh Islamic Relief Malaysia. Islamic Relief Malaysia mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa untuk menjalankan kutipan sumbangan. Setiap sumbangan dalam talian melalui Perbankan Internet akan dikenakan caj transaksi sebanyak RM0.55, tertakluk kepada terma dan caj yang ditetapkan oleh penyedia perkhidmatan pembayaran. Sumbangan yang dibuat melalui saluran ini tidak layak menerima resit Pengecualian Cukai, melainkan dinyatakan sebaliknya. Kami menghargai sokongan dan kepercayaan berterusan anda terhadap Islamic Relief Malaysia.