Layari laman ini dan buat sumbangan sekarang !
Islamic Relief telah membantu rakyat Gaza selama beberapa dekad dan terus bersama mereka sepanjang tiga tahun penuh penderitaan ini.
Setahun selepas gencatan senjata mula berkuat kuasa, jelas bahawa ia masih gagal memberikan tahap keselamatan, perlindungan dan bantuan kemanusiaan seperti yang dijanjikan kepada rakyat Palestin.
Rakyat Palestin terus berdepan serangan setiap hari, sekatan yang menyalahi undang-undang serta krisis kemanusiaan yang masih berterusan.
Statistik utama
Sebahagian besar penduduk Gaza kini dipaksa tinggal di kawasan yang hanya merangkumi kira-kira satu pertiga daripada keseluruhan wilayah itu ketika Israel memperketat pendudukannya.
Khemah sementara yang didiami mereka semakin rosak akibat terdedah kepada cuaca dalam tempoh yang panjang. Khemah-khemah tersebut sememangnya tidak direka untuk digunakan selama bertahun-tahun. Kawasan penempatan pula kini dipenuhi tikus, cerpelai dan haiwan perosak lain yang boleh menyebarkan penyakit.
Keluarga-keluarga ini tidak dapat kembali ke rumah atau berpindah ke tempat perlindungan yang lebih kekal.
Serangan Israel telah merosakkan atau memusnahkan lebih 76 peratus kediaman di Gaza. Rumah yang masih berdiri pula terus berdepan risiko runtuh atau dimusnahkan menggunakan jentolak.
Ramai keluarga yang terpaksa berpindah kini bakal melalui musim sejuk keempat dengan hanya kepingan plastik sebagai perlindungan daripada cuaca dan kesejukan.
Walaupun harga sesetengah barangan asas telah menurun sejak beberapa bulan kebelakangan ini, kadar inflasi masih tinggi dan keadaan pasaran terus tidak menentu.
Kehidupan seharian rakyat Palestin di Gaza kini banyak tertumpu kepada usaha yang sukar untuk mendapatkan air, roti dan kayu api bagi memasak.
Lebih separuh daripada kanak-kanak usia sekolah tidak mempunyai akses tetap kepada pendidikan. Mereka yang dapat menghadiri pusat pembelajaran sementara pula berdepan kekurangan bekalan dan tenaga pengajar.
Sektor kesihatan juga hampir lumpuh sepenuhnya. Setakat 9 September, sebanyak 39 hospital dilaporkan beroperasi sepenuhnya, peningkatan besar berbanding tiada hospital yang berfungsi sepenuhnya pada bulan sebelumnya. Namun, banyak kemudahan kesihatan masih terpaksa menolak pesakit akibat kekurangan ubat-ubatan dan bekalan penting.
Kekurangan bahan api turut menjejaskan perkhidmatan kesihatan, bekalan air dan perkhidmatan asas lain.
Islamic Relief bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan tempatan dan antarabangsa bagi membantu penduduk Gaza yang amat memerlukan.
Salah satu projek utama memberi tumpuan kepada penjagaan kesihatan untuk wanita hamil, ibu yang baru melahirkan anak serta bayi mereka.
Ramai wanita yang menerima bantuan ini turut terpaksa berpindah dari kediaman masing-masing. Mereka diberikan perkhidmatan penjagaan antenatal, vitamin dan ubat-ubatan.
Islamic Relief turut menyokong lapan pusat pembelajaran sementara untuk kanak-kanak yang terpaksa berpindah dan telah kehilangan peluang bersekolah selama bertahun-tahun.
Kami membantu membaik pulih dan melengkapkan pusat-pusat tersebut, melatih guru serta menyediakan sokongan psikososial kepada kanak-kanak yang mengalami trauma. Ratusan kanak-kanak di peringkat sekolah rendah dan tadika kini mengikuti pembelajaran dalam pelbagai mata pelajaran.
Sumbangan anda turut membantu keluarga menghadapi krisis makanan yang sangat serius. Dengan bantuan tersebut, kami dapat menyediakan hidangan panas kepada penduduk yang terpaksa berpindah serta mengagihkan daging korban dalam tin.
Kami juga membantu lebih 25,000 anak yatim dan penjaga mereka melalui bayaran tajaan secara berkala. Bantuan ini membolehkan mereka memenuhi keperluan asas seperti makanan, bahan untuk tempat perlindungan dan penjagaan kesihatan.
Islamic Relief terus menyalurkan bantuan di Gaza sepanjang krisis ini dan telah membantu rakyat Palestin yang memerlukan sejak 1997.
Kami juga terus memperjuangkan masa depan yang adil untuk rakyat Palestin serta menyeru agar pendudukan Israel yang menyalahi undang-undang ditamatkan kerana keadaan itu terus mendorong kemiskinan, ketidakadilan serta merampas maruah dan hak asasi manusia.
Walaupun penderitaan yang berlaku amat besar, sekatan Israel masih berterusan dan terus mengehadkan kemasukan serta pergerakan bantuan, penduduk dan barangan keluar masuk dari Gaza.
Sekatan itu turut melibatkan barangan asas seperti sesetengah ubat-ubatan dan bahan untuk tempat perlindungan. Pesakit yang sakit juga terhalang daripada meninggalkan Gaza untuk mendapatkan rawatan penting.
Senarai barangan “dual-use” Israel membolehkan hampir apa sahaja dinafikan kemasukannya. Dalam sesetengah keadaan, ia termasuk kertas dan pensel yang diperlukan oleh murid sekolah serta barangan yang penting untuk usaha pemulihan dan pembinaan semula secara besar-besaran.
Sekatan ketat turut dikenakan terhadap kemasukan wang tunai ke Gaza sehingga mencetuskan krisis kecairan. Keadaan ini, bersama keruntuhan sektor pembuatan roti di Gaza, terus menjejaskan usaha penyampaian bantuan kemanusiaan.
Tentera Israel turut memperluaskan kawalan penuh ke atas wilayah di dalam Gaza, sekali gus mengehadkan pelaksanaan kerja kemanusiaan di banyak kawasan.
Pelanggaran gencatan senjata yang berterusan turut menjejaskan usaha bantuan apabila serangan terhadap orang awam masih berlaku, manakala petugas kemanusiaan berdepan risiko setiap hari dalam keadaan keselamatan yang tidak menentu.
Hampir 600 petugas bantuan telah terbunuh akibat serangan Israel ke atas Gaza sejak Oktober 2023, menjadikan Gaza tempat paling berbahaya di dunia untuk menyalurkan bantuan.
Undang-undang Israel yang diperkenalkan baru-baru ini turut mengehadkan pendaftaran pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa dan mewajibkan mereka menyerahkan maklumat peribadi yang boleh mengenal pasti kakitangan Palestin.
Keadaan ini turut memberi kesan besar terhadap pelaksanaan tindak balas kemanusiaan.
Kakitangan dan rakan kemanusiaan Islamic Relief di Gaza terus melakukan segala yang termampu untuk menyalurkan bantuan dalam keadaan yang amat sukar dan berbahaya.
Mereka juga berdepan cabaran yang sama seperti komuniti yang dibantu. Mereka turut terpaksa berpindah, kehilangan insan tersayang dan berusaha mendapatkan makanan untuk keluarga masing-masing.
Setiap hari, pasukan kami perlu menyesuaikan rancangan dan aktiviti berdasarkan perkembangan keselamatan terkini serta bekalan yang masih tersedia di pasaran.
Walaupun berdepan cabaran yang begitu besar, sepanjang krisis ini mereka tetap mencari jalan untuk memastikan bantuan penting terus sampai kepada mereka yang memerlukannya.
Kemurahan hati anda menjadi talian hayat kepada mereka yang sedang berjuang untuk terus hidup dalam keadaan yang sangat buruk di Gaza. Teruskan membantu Islamic Relief menyokong mereka. Hulurkan sumbangan kepada Rayuan Palestin kami hari ini.
Islamic Relief Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan rasmi dengan mana-mana laman web pihak luar dan tidak bertanggungjawab terhadap kandungan atau pautan pada laman web yang bukan milik atau dikendalikan oleh Islamic Relief Malaysia. Islamic Relief Malaysia mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa untuk menjalankan kutipan sumbangan. Setiap sumbangan dalam talian melalui Perbankan Internet akan dikenakan caj transaksi sebanyak RM0.55, tertakluk kepada terma dan caj yang ditetapkan oleh penyedia perkhidmatan pembayaran. Sumbangan yang dibuat melalui saluran ini tidak layak menerima resit Pengecualian Cukai, melainkan dinyatakan sebaliknya. Kami menghargai sokongan dan kepercayaan berterusan anda terhadap Islamic Relief Malaysia.