Islamic Relief Malaysia (“IR Malaysia”) telah menjalinkan kerjasama dengan CIMB Islamic Bank Berhad (“CIMB Islamic”) menerusi program Harapan Ramadan 2023 sempena bulan Ramadan. Kedua-dua pihak berganding bahu dalam menjayakan usaha ini demi membantu keluarga yang terdiri daripada golongan asnaf fakir miskin untuk bersiap sedia pada bulan yang mulia itu.

Tahun ini, CIMB Islamic telah menyumbangkan dana sebanyak RM1 juta kepada IR Malaysia sempena Bulan Ramadan untuk diagihkan kepada seramai 4,000 keluarga atau bersamaan dengan kira-kira 20,000 penerima manfaat di seluruh Malaysia melalui bantuan kotak makanan atau baucar tunai.

Setiap kotak makanan yang diedarkan mengandungi makanan asas seperti beras, tepung, minyak masak, bihun, sos, biskut, sardin, kicap, garam, gula, teh, kopi, malt coklat, kurma, santan kotak, kari ayam atau ikan dalam tin, dan pelitup muka.

Majlis pelancaran Harapan Ramadan 2023 tersebut disempurnakan oleh Ahmad Shahriman Mohd Sharif, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, diiringi Mohd Shukor Tahir, Ketua Pegawai Eksekutif, IR Malaysia bersama Yayasan Belia Malaysia (“YBM”) yang diwakili oleh Dato’ Mustapa Haji Othman, Ketua Pegawai Eksekutif, YBM merangkap rakan pelaksana program yang kedua. Majlis penyerahan itu berlangsung di Masjid Al-Ikhwaniah, Cheras, Selangor pada hari ini yang menyaksikan sumbangan diberi kepada 120 buah keluarga sebagai titik permulaan program tersebut.

Menurut Mohd Shukor, IR Malaysia menyambut baik kerjasama yang terjalin atas dasar kemanusiaan ini bagi membantu golongan rentan dan memastikan mereka mempunyai bekalan makanan yang mencukupi bagi menyambut bulan Ramadan.

“IR Malaysia sangat mengalu-alukan kerjasama strategik daripada pelbagai pihak termasuk badan korporat dalam melaksanakan projek-projek kemanusiaan bagi memastikan capaian bantuan lebih meluas.”

“Kami juga amat berbesar hati kerana terpilih menjadi salah satu rakan pelaksana bagi program Harapan Ramadan 2023 pada tahun ini. Melalui kerjasama ini, penerima manfaat yang dibantu dapat menjalani ibadah puasa dengan sempurna tanpa perlu gusar akan penyediaan juadah berbuka dan bersahur. Ini memandangkan kebanyakan daripada golongan sasar ini adalah mereka yang amat terjejas dari segi pendapatan dan keadaan ekonomi semasa,” katanya.

Pemerkasaan ekonomi dan kesejahteraan komuniti yang memerlukan amat dititikberatkan oleh CIMB Islamic. Bersama-sama dengan rakan strategik yang aktif dalam menjalankan usaha murni ini, semoga bantuan yang diberikan dapat meringankan beban mereka yang memerlukan menjelang bulan Ramadan yang bakal tiba.

Untuk Pertanyaan Media
Sebarang pertanyaan media atau permintaan maklumat lanjut berkaitan siaran ini, sila hubungi:

Unit Komunikasi Strategik Islamic Relief Malaysia
E-mel: Malaysia.Media@islamic-relief.org.my
Telefon: +6019-220 1788 atau +603-8926 3434

Islamic Relief Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan rasmi dengan mana-mana laman web pihak luar dan tidak bertanggungjawab terhadap kandungan atau pautan pada laman web yang bukan milik atau dikendalikan oleh Islamic Relief Malaysia. Islamic Relief Malaysia mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa untuk menjalankan kutipan sumbangan. Setiap sumbangan dalam talian melalui Perbankan Internet akan dikenakan caj transaksi sebanyak RM0.55, tertakluk kepada terma dan caj yang ditetapkan oleh penyedia perkhidmatan pembayaran. Sumbangan yang dibuat melalui saluran ini tidak layak menerima resit Pengecualian Cukai, melainkan dinyatakan sebaliknya. Kami menghargai sokongan dan kepercayaan berterusan anda terhadap Islamic Relief Malaysia.

© Copyright 2026 Islamic Relief Malaysia. All rights reserved | Company Reg No: 200401018851 (657354-W)

JOM MENYUMBANG