BANGI, 25 November 2026 – Mengangkat realiti kehidupan rakyat Palestin di sebalik krisis kemanusiaan yang berterusan, Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) menganjurkan pameran GAZA: 1097 – Derita, Doa & Harapan di pejabatnya hari ini sebagai usaha meningkatkan kesedaran dan menyemarakkan solidariti masyarakat terhadap rakyat Palestin.

Pameran ini mengetengahkan pengalaman visual yang mengajak pengunjung untuk berhenti sejenak, melihat dengan lebih dekat dan memahami cabaran kehidupan yang dihadapi masyarakat Gaza akibat krisis berpanjangan.

Menerusi pendekatan penceritaan visual, pengunjung dibawa menghayati kisah di sebalik krisis kemanusiaan di Gaza, di samping memahami kepentingan sokongan berterusan terhadap usaha bantuan dan pemulihan bagi rakyat Palestin yang memerlukan.

Galeri GAZA: 1097 dibahagikan kepada lima zon utama yang membawa pengunjung menelusuri perjalanan penceritaan kemanusiaan di Gaza. Bermula dengan Zon 1: Remembering, diikuti Zon 2: Embracing, Zon 3: Intervention, Zon 4: Unsung Heroes dan Zon 5: Impact, setiap zon mengetengahkan kisah dan perspektif tersendiri berkaitan kehidupan masyarakat Palestin, usaha bantuan kemanusiaan serta impak bantuan yang disalurkan.

Melalui perjalanan dari satu zon ke zon yang lain, pengunjung bukan sahaja didedahkan kepada penderitaan dan cabaran yang dihadapi masyarakat Gaza, malah turut mengenali usaha organisasi serta petugas kemanusiaan yang terus komited menyampaikan bantuan, membina harapan dan membawa perubahan kepada kehidupan komuniti yang terjejas.

Ketua Pegawai Eksekutif IR Malaysia, Siti Fadilah Mohd Hood berkata, penganjuran pameran ini bukan sahaja bertujuan menyampaikan maklumat mengenai krisis kemanusiaan, malah menjadi ruang untuk membina kefahaman dan menggerakkan keprihatinan masyarakat.

“Kami berharap pameran ini dapat membuka ruang kepada masyarakat untuk memahami bahawa di sebalik setiap angka dan laporan mengenai Gaza, terdapat jutaan insan, keluarga dan anak-anak yang sedang berjuang untuk meneruskan kehidupan.

“Kesedaran perlu diterjemahkan kepada tindakan, sama ada melalui sokongan, sumbangan mahupun usaha menyuarakan nasib mereka,” katanya.

Antara pengisian program termasuk lawatan ke galeri GAZA: 1097, sesi perkongsian dan ceramah, tayangan video, perkongsian mengenai projek-projek Islamic Relief di Gaza, jualan amal Gaza serta sesi interaksi bersama tetamu dan rakan strategik.

Majlis turut menyaksikan penyerahan sumbangan keseluruhan berjumlah RM18,128 daripada beberapa organisasi, kumpulan masyarakat dan individu sebagai tanda solidariti serta sokongan terhadap usaha bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin.

Sumbangan tersebut diterima daripada Pesara Lembaga Getah Malaysia, Kumpulan Mengaji Tahriri 15 dan Program Munajat Menjelang Fajar, Persatuan Islam Lembaga Getah Malaysia, Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Putrajaya, Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM) Putrajaya serta penyumbang individu.

Penganjuran pameran ini turut menjadi sebahagian daripada usaha IR Malaysia memperkukuh pelaksanaan Kempen Rayuan Palestin bagi tempoh Oktober hingga Disember 2026, dengan menggalakkan lebih ramai pihak memainkan peranan dalam menyokong bantuan kemanusiaan dan usaha pemulihan untuk rakyat Palestin.

Majlis tersebut turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah IR Malaysia, Datuk Nur Iskandar A. Samad; Pengerusi Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM) Putrajaya, Puan Seri Datuk Norsiah Haji Musa; wakil Persatuan Islam Lembaga Getah Malaysia, Puan Doyah Long, serta wakil-wakil organisasi dan rakan strategik yang terlibat.

Turut hadir ialah Ikon Kemanusiaan IR Malaysia, Ustaz Shahrizan Daud at-Turabi yang menyampaikan ceramah, Diana Amir, Chef Imelda Harris, dan Kumpulan Saujana yang bersama-sama menyokong usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap krisis kemanusiaan di Palestin.

Menerusi pameran GAZA: 1097, IR Malaysia berharap pengalaman yang dibawa melalui inisiatif ini dapat menjadi pencetus kepada keprihatinan yang lebih mendalam, sekali gus menggalakkan sokongan berterusan daripada masyarakat dalam memastikan rakyat Palestin tidak dilupakan.

Sejak tahun 1997, Islamic Relief telah komited menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin melalui pelbagai inisiatif yang merangkumi bantuan makanan, penjagaan kesihatan, sokongan pendidikan, penyediaan air bersih, bantuan tempat perlindungan serta sokongan kepada golongan yang paling terkesan akibat konflik dan krisis kemanusiaan. Komitmen ini diteruskan bagi memastikan keperluan asas dan kebajikan masyarakat Palestin terus mendapat perhatian.

Orang ramai dijemput hadir ke Pameran GAZA: 1097 yang akan dibuka bermula 26 November sehingga 4 Disember 2026 dengan yuran penyertaan sebanyak RM3 bagi kanak-kanak berumur 5–17 tahun dan RM5 untuk dewasa 18 tahun ke atas.

Bagi yang ingin menghulurkan sumbangan dan menyokong usaha bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin boleh berbuat demikian melalui laman web rasmi Islamic Relief Malaysia di www.islamic-relief.org.my atau menghubungi talian 03-8926 3434 untuk maklumat lanjut.

Islamic Relief Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan rasmi dengan mana-mana laman web pihak luar dan tidak bertanggungjawab terhadap kandungan atau pautan pada laman web yang bukan milik atau dikendalikan oleh Islamic Relief Malaysia. Islamic Relief Malaysia mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa untuk menjalankan kutipan sumbangan. Setiap sumbangan dalam talian melalui Perbankan Internet akan dikenakan caj transaksi sebanyak RM0.55, tertakluk kepada terma dan caj yang ditetapkan oleh penyedia perkhidmatan pembayaran. Sumbangan yang dibuat melalui saluran ini tidak layak menerima resit Pengecualian Cukai, melainkan dinyatakan sebaliknya. Kami menghargai sokongan dan kepercayaan berterusan anda terhadap Islamic Relief Malaysia.

© Copyright 2026 Islamic Relief Malaysia. All rights reserved | Company Reg No: 200401018851 (657354-W)

JOM MENYUMBANG