Layari laman ini dan buat sumbangan sekarang !
Islamic Relief amat terkejut dan dukacita dengan pembunuhan beramai-ramai yang meragut nyawa puluhan orang awam di salah sebuah sekolah yang dijadikan pusat perlindungan, tempat kami mengagihkan hidangan panas setiap hari kepada keluarga yang kehilangan tempat tinggal.
Serangan hari ini di Sekolah al-Tabeen di Bandar Gaza merupakan serangan paling dahsyat setakat ini terhadap sebuah sekolah yang dijadikan pusat perlindungan.
Menurut laporan, antara 80 hingga 100 orang terbunuh dan ramai lagi cedera apabila peluru berpandu Israel membedil bilik darjah serta ruang solat ketika solat Subuh sedang berlangsung.
Kira-kira 2,000 kanak-kanak, wanita dan lelaki berlindung di sekolah tersebut selepas tentera Israel mengarahkan mereka meninggalkan kediaman masing-masing.
Hospital terdekat kini dibanjiri mangsa, dimana ramai mengalami luka terbakar yang serius atau pendarahan teruk akibat serpihan letupan. Walau bagaimanapun, hospital tersebut tidak mempunyai bekalan perubatan yang mencukupi untuk merawat kesemua mangsa.
Israel terus mengebom tempat perlindungan penduduk hampir setiap hari tanpa dikenakan sebarang tindakan dan tanpa menghiraukan undang-undang antarabangsa. Kini, sebanyak 85 peratus daripada keseluruhan sekolah di Gaza, iaitu 477 daripada 564 buah sekolah, telah rosak akibat pengeboman.
Tufail Hussain, Pengarah Islamic Relief UK, berkata:
“Amat menyedihkan apabila sebuah lagi sekolah yang menjadi tempat keluarga diarahkan untuk berlindung, dengan harapan mereka dapat memperoleh makanan dan tempat perlindungan, telah dibom.
“Kakitangan dan rakan kerjasama tempatan kami telah bekerja tanpa mengenal penat lelah untuk menyediakan makanan kepada mereka yang berlindung di sekolah ini dan amat berdukacita dengan kehilangan nyawa serta kemusnahan yang berlaku pagi ini.
“Penduduk Gaza kini seolah-olah menjadi sasaran yang sentiasa bergerak. Dasar Israel yang berterusan memaksa orang awam berpindah dari satu tempat ke tempat lain, kemudian menyekat bantuan kepada mereka serta menyerang sekolah dan kem yang diarahkan untuk mereka tuju adalah tindakan yang sama sekali tidak berperikemanusiaan.”
Sekolah tersebut merupakan salah satu daripada banyak sekolah di seluruh Gaza yang menjadi lokasi Islamic Relief dan agensi rakan kerjasama menyediakan hidangan panas setiap hari kepada penduduk. Bagi kebanyakan mereka, makanan tersebut sering menjadi satu-satunya hidangan yang dapat dinikmati dalam sehari ketika keadaan kebuluran dan kekurangan makanan semakin meluas.
Islamic Relief turut menjalankan aktiviti sokongan psikososial seperti permainan dan hiburan untuk kanak-kanak yang kehilangan tempat tinggal di sekolah tersebut.
Kami bersyukur tiada kakitangan atau rakan kerjasama Islamic Relief berada di lokasi ketika pengeboman berlaku.
Pembunuhan beramai-ramai terbaharu ini menjadikan jumlah kematian di Gaza menghampiri 40,000 orang, manakala kira-kira 92,000 lagi cedera. Dalam tempoh hanya lebih 10 bulan, 1 daripada setiap 17 penduduk Gaza kini telah terbunuh atau cedera, dan setiap penduduk telah terkesan akibat krisis ini.
Puluhan ribu lagi penduduk telah diarahkan untuk berpindah sekali lagi sejak beberapa hari lalu apabila tentera Israel memaksa mereka menuju ke kawasan-kawasan kecil yang kini terlalu sesak serta berdepan masalah kebuluran dan penularan penyakit.
Ramai keluarga telah terpaksa berpindah sebanyak sembilan atau 10 kali sepanjang 10 bulan lalu, manakala jumlah bantuan yang dibenarkan memasuki Gaza semakin berkurangan.
Masyarakat antarabangsa telah gagal melindungi rakyat Gaza. Pemimpin dunia mesti menggunakan segala tekanan yang ada untuk menuntut gencatan senjata dengan segera, menghentikan perpindahan paksa yang berterusan serta serangan terhadap orang awam yang sedang melarikan diri, dan memastikan pihak yang melakukan tindakan tersebut dipertanggungjawabkan.
Bantulah kami meneruskan usaha penting dalam menyokong mereka yang amat memerlukan di Gaza. Sumbang sekarang.
Islamic Relief Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan rasmi dengan mana-mana laman web pihak luar dan tidak bertanggungjawab terhadap kandungan atau pautan pada laman web yang bukan milik atau dikendalikan oleh Islamic Relief Malaysia. Islamic Relief Malaysia mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa untuk menjalankan kutipan sumbangan. Setiap sumbangan dalam talian melalui Perbankan Internet akan dikenakan caj transaksi sebanyak RM0.55, tertakluk kepada terma dan caj yang ditetapkan oleh penyedia perkhidmatan pembayaran. Sumbangan yang dibuat melalui saluran ini tidak layak menerima resit Pengecualian Cukai, melainkan dinyatakan sebaliknya. Kami menghargai sokongan dan kepercayaan berterusan anda terhadap Islamic Relief Malaysia.