Islamic Relief amat terkejut dengan berita bahawa Israel telah mengarahkan lebih 100,000 rakyat Palestin supaya berpindah dari Rafah, suatu arahan yang akan meletakkan lebih banyak nyawa dalam bahaya. Penduduk tidak seharusnya dipaksa untuk berpindah sekali lagi.

Penduduk yang berlindung di bahagian timur Rafah menerima mesej pagi ini yang menyatakan bahawa tentera Israel “akan melancarkan operasi dengan kekuatan besar” di kawasan tersebut, serta mengarahkan mereka berpindah ke kawasan yang dipanggil sebagai zon kemanusiaan Al Mawasi “demi keselamatan anda sendiri”. Pengeboman hebat di Rafah pada malam sebelumnya dilaporkan telah mengorbankan ramai orang awam, termasuk beberapa orang kanak-kanak.

Seperti yang telah kita saksikan sepanjang tujuh bulan lalu, memaksa sebegitu ramai penduduk untuk berpindah adalah sesuatu yang mustahil dilakukan tanpa menanggung kos kemanusiaan yang besar. Penduduk tidak dapat tidak akan terkorban akibat pemindahan tersebut. Golongan sakit dan cedera, warga emas, bayi yang baru lahir serta orang kurang upaya amat terdedah kepada risiko dan sering kali tidak mampu berpindah tanpa bantuan.

Kawasan yang diarahkan untuk dituju oleh penduduk iaitu Al Mawasi telah ditetapkan sebagai apa yang dipanggil sebagai ‘zon kemanusiaan selamat’, tetapi kawasan tersebut sebenarnya tidak selamat.

Orang awam yang berlindung di sana mengatakan bahawa mereka masih berdepan serangan serta kekurangan makanan, air dan bantuan penting lain yang sangat serius. Memaksa lebih ramai penduduk berpindah ke kawasan tersebut hanya akan memburukkan lagi krisis kemanusiaan.

Islamic Relief menegaskan semula bahawa orang awam mesti dilindungi tanpa mengira sama ada mereka kekal atau meninggalkan Rafah. Arahan untuk berpindah tidak melepaskan Israel daripada kewajipannya di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa untuk tidak mencederakan orang awam yang tidak mampu, atau memilih untuk tidak meninggalkan kawasan tersebut.

Selama berminggu-minggu, Islamic Relief dan agensi kemanusiaan lain telah memberi amaran bahawa pencerobohan ke Rafah tidak boleh dibiarkan berlaku kerana ia akan membawa kesan kemanusiaan yang amat dahsyat.

Kini, lebih 1.2 juta orang berlindung dalam keadaan yang sangat teruk di Rafah, dan ramai daripada mereka telah dipaksa berpindah beberapa kali sepanjang tujuh bulan lalu.

Untuk Pertanyaan Media
Sebarang pertanyaan media atau permintaan maklumat lanjut berkaitan siaran ini, sila hubungi:

Unit Komunikasi Strategik Islamic Relief Malaysia
E-mel: Malaysia.Media@islamic-relief.org.my
Telefon: +6019-220 1788 atau +603-8926 3434

Islamic Relief Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan rasmi dengan mana-mana laman web pihak luar dan tidak bertanggungjawab terhadap kandungan atau pautan pada laman web yang bukan milik atau dikendalikan oleh Islamic Relief Malaysia. Islamic Relief Malaysia mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa untuk menjalankan kutipan sumbangan. Setiap sumbangan dalam talian melalui Perbankan Internet akan dikenakan caj transaksi sebanyak RM0.55, tertakluk kepada terma dan caj yang ditetapkan oleh penyedia perkhidmatan pembayaran. Sumbangan yang dibuat melalui saluran ini tidak layak menerima resit Pengecualian Cukai, melainkan dinyatakan sebaliknya. Kami menghargai sokongan dan kepercayaan berterusan anda terhadap Islamic Relief Malaysia.

© Copyright 2026 Islamic Relief Malaysia. All rights reserved | Company Reg No: 200401018851 (657354-W)

JOM MENYUMBANG