Layari laman ini dan buat sumbangan sekarang !
Ekoran gempa bumi berskala 7.5 magnitud yang membadai Sulawesi, Indonesia pada 28 September lalu, rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat dan latarbelakang diseru untuk menyokong usaha Islamic Relief Malaysia (IRM) dan menyumbang kepada tabung Rayuan Kecemasan Indonesia yang dilancarkan pada 1 Oktober 2018.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif IRM, Zairulshahfuddin Zainal Abidin, IRM menyasarkan jumlah kutipan dana sebanyak RM500,000 bertujuan untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk terjejas khususnya di Palu dan Donggala.
“Islamic Relief Indonesia (IR Indonesia) kini berada di lapangan bersama rakan kerjasama NGO tempatan, Rumah Zakat (RZ) dan Pos Keadilan Peduli Ummat (PKPU) bagi membantu kerja-kerja menyelamat.
“Melalui penilaian dan tinjauan yang dilakukan, dana terkumpul bakal digunakan untuk membeli barangan keperluan kecemasan seperti makanan, minuman, barangan keperluan harian serta membaik pulih sistem bekalan air,” jelas Zairulshahfuddin.
Sehingga kini, bencana yang turut menyebabkan tsunami di Palu dan Donggala itu telah mengorbankan lebih 850 nyawa, mencederakan ribuan lain, memusnahkan 350,000 tempat tinggal dan menjejaskan lebih 750,000 penduduk.
Pengarah Negara IR Indonesia, Nanang Dirja berkata, kerja-kerja menyelamat ketika ini amat sukar kerana akses yang menghubungkan jalan-jalan utama telah musnah sama sekali.
“Ini keadaan yang sangat dahsyat, mayat bergelimpangan di mana-mana, termasuk di pantai dan di bawah runtuhan. Dalam satu kawasan di Kota Palu, 500 buah rumah telah runtuh namun misi mencari dan menyelamat masih belum dimulakan.
“Kemusnahkan infrastruktur telah menghalang serta memperlahankan usaha-usaha membantu mereka yang memerlukan. Ada antara mereka yang mengalami kecederaan parah di kepala, tulang patah dan pelbagai lagi,” tambah Nanang.
Sulawesi ketika ini terputus bekalan elektrik menyebabkan kakitangan perubatan serta petugas kemanusiaan terpaksa beroperasi di dalam gelap.
Ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal dan berlindung di mana sahaja tanpa bekalan makanan, air dan ubat yang mencukupi.
Islamic Relief mula beroperasi di Indonesia sejak tahun 2000 dan telah mewujudkan pejabat pertama di Jakarta pada 2003.
Sejak ditubuhkan, IR Indonesia telah memberi bantuan kepada rakyat Indonesia melalui pelbagai sektor seperti kecemasan, kehidupan mampan, pendidikan, penajaan Al-Yateem dan pelbagai lagi.
IR Indonesia juga merupakan antara NGO terawal yang menghantar pasukan bantuan ketika bencana tsunami 2004 di Aceh dan gempa bumi di Yogyakarta pada 2006.
Melalui Memorandum Persefahaman (MOU) antara IR Indonesia dan Kementerian Dalam Negeri, IR Indonesia diberi mandat untuk beroperasi di lima Wilayah: Nangroe Aceh Darusallam (NAD), Sumatera Barat, Jawa Barat, Nusa Tenggara Barat dan Banten.
Untuk Pertanyaan MediaSebarang pertanyaan media atau permintaan maklumat lanjut berkaitan siaran ini, sila hubungi:
Unit Komunikasi Strategik Islamic Relief MalaysiaE-mel: Malaysia.Media@islamic-relief.org.myTelefon: +6019-220 1788 atau +603-8926 3434
Islamic Relief Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan rasmi dengan mana-mana laman web pihak luar dan tidak bertanggungjawab terhadap kandungan atau pautan pada laman web yang bukan milik atau dikendalikan oleh Islamic Relief Malaysia. Islamic Relief Malaysia mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa untuk menjalankan kutipan sumbangan. Setiap sumbangan dalam talian melalui Perbankan Internet akan dikenakan caj transaksi sebanyak RM0.55, tertakluk kepada terma dan caj yang ditetapkan oleh penyedia perkhidmatan pembayaran. Sumbangan yang dibuat melalui saluran ini tidak layak menerima resit Pengecualian Cukai, melainkan dinyatakan sebaliknya. Kami menghargai sokongan dan kepercayaan berterusan anda terhadap Islamic Relief Malaysia.