Islamic Relief dengan penuh dukacita mengesahkan bahawa Mohammad Bhar, seorang pemuda di Gaza yang menghidap sindrom Down dan autisme yang juga penerima manfaat Program Tajaan Anak Yatim Islamic Relief maut selepas diserang oleh anjing tentera Israel.

Kami amat terkejut dan kesal dengan cara Mohammad dibunuh dengan begitu mengerikan.

Islamic Relief menyeru agar siasatan antarabangsa yang bebas dijalankan terhadap kematiannya dan semua pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan.

Mohammad, 24 tahun, terbunuh ketika serangan Israel baru-baru ini di kejiranan Shujaiya, Bandar Gaza, tempat beliau tinggal bersama keluarganya.

Ibu Mohammad, Nabila, memberitahu Islamic Relief bahawa tentera Israel memaksa masuk ke rumah keluarga mereka sebelum seekor anjing tentera menyerang Mohammad yang berada dalam ketakutan. Anjing tersebut menggigit dan mencederakan tubuhnya ketika beliau menjerit kesakitan dan merayu agar serangan itu dihentikan.

Ketika Mohammad mengalami pendarahan yang teruk, tentera Israel memindahkannya bersendirian ke sebuah bilik lain.

Dalam keadaan seperti itu, kebiasaannya keluarga Mohammad akan berada berdekatan untuk memberikan sokongan.

Namun, tentera tersebut tidak membenarkan ibu atau kakaknya memasuki bilik berkenaan untuk menenangkan Mohammad atau membawakan air kepadanya.

Tidak lama kemudian, mereka memaksa ahli keluarga wanita meninggalkan rumah dengan ancaman senjata ketika Mohammad masih hidup. Mohammad ditinggalkan bersendirian di dalam bilik yang gelap dalam keadaan cedera parah, ketakutan dan kehausan sehingga beliau akhirnya meninggal dunia.

Jasad Mohammad hanya ditemukan seminggu kemudian selepas tentera Israel berundur dan keluarga serta jiran-jirannya dapat kembali ke rumah tersebut untuk menemukan jenazahnya.

Waseem Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Worldwide, berkata:

“Selepas berbulan-bulan menyaksikan kekejaman di Gaza, kita mungkin menyangka tiada lagi berita yang mampu mengejutkan kita. Namun, pembunuhan Mohammad sekali lagi memperlihatkan betapa mengerikannya keadaan yang sedang berlaku. Seluruh warga Islamic Relief amat berdukacita atas kehilangan ini.

“Pembunuhan ini benar-benar mengerikan dan tahap kekejaman serta penderitaan yang berlaku telah mengejutkan jutaan orang di seluruh dunia. Kami hanya mampu membayangkan ketakutan dan kepanikan yang dirasai Mohammad ketika beliau meninggal dunia bersendirian dalam keadaan cedera, tanpa keluarganya di sisi.

“Doa kami bersama keluarga dan sahabat Mohammad. Pihak yang bertanggungjawab terhadap tindakan seperti ini mesti dipertanggungjawabkan, dan gencatan senjata perlu dilaksanakan dengan segera bagi menghentikan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.”

Mohammad dan ibunya telah menerima sokongan melalui Program Tajaan Anak Yatim Islamic Relief selama lebih 20 tahun, iaitu sejak bapanya meninggal dunia ketika Mohammad baru berusia dua tahun.

Sepanjang serangan Israel dalam tempoh sembilan bulan lalu, keluarga tersebut telah dipaksa meninggalkan kediaman mereka beberapa kali, seperti yang turut dialami oleh kebanyakan keluarga di Gaza.

Program Tajaan Anak Yatim menyediakan bantuan kewangan secara berkala bagi membantu keluarga yang terdedah menampung kos penjagaan kesihatan, pendidikan, tempat tinggal dan keperluan asas lain. Islamic Relief kini menaja seramai 15,700 kanak kanak yatim dan golongan muda di Gaza.

Tajaan bermula ketika kanak-kanak berusia bawah 18 tahun, namun boleh diteruskan selepas usia tersebut sekiranya mereka masih bersekolah atau berada dalam keadaan yang sangat susah dan memerlukan bantuan.

Sekurang-kurangnya 117 kanak-kanak dan golongan muda yang menerima sokongan melalui Program Tajaan Anak Yatim kami diketahui telah terbunuh sepanjang serangan Israel ke atas Gaza dalam tempoh sembilan bulan lalu. Al-Fatihah buat kesemuanya.

Islamic Relief Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan rasmi dengan mana-mana laman web pihak luar dan tidak bertanggungjawab terhadap kandungan atau pautan pada laman web yang bukan milik atau dikendalikan oleh Islamic Relief Malaysia. Islamic Relief Malaysia mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa untuk menjalankan kutipan sumbangan. Setiap sumbangan dalam talian melalui Perbankan Internet akan dikenakan caj transaksi sebanyak RM0.55, tertakluk kepada terma dan caj yang ditetapkan oleh penyedia perkhidmatan pembayaran. Sumbangan yang dibuat melalui saluran ini tidak layak menerima resit Pengecualian Cukai, melainkan dinyatakan sebaliknya. Kami menghargai sokongan dan kepercayaan berterusan anda terhadap Islamic Relief Malaysia.

© Copyright 2026 Islamic Relief Malaysia. All rights reserved | Company Reg No: 200401018851 (657354-W)

JOM MENYUMBANG