IRM Gembleng Tenaga di Somalia

Somalia, 6 Mac 2019 – Islamic Relief Malaysia (IRM) sekali lagi turun padang ke Somalia untuk melihat projek yang ditaja sekitar dua tahun lalu iaitu Projek Telaga Air hasil kutipan Dana Wakaf Air Somalia.

Ketua Pegawai Eksekutif IRM, Zairulshahfuddin Zainal Abidin berkata misi itu dilakukan untuk menilai proses pelaksanaan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Somalia oleh pejabat lapangan yang dibiayai oleh IRM selain membina hubungan dua hala dalam merancang bantuan kemanusiaan pada masa hadapan.

“Misi kemanusiaan ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab kami untuk memastikan bantuan kemanusiaan iaitu Projek Water Wells di Balcad, Shabelle Tengah kepada penduduk Somalia direalisasikan dengan sempurna sekaligus memberi mereka harapan baharu untuk meneruskan kelangsungan hidup.”

“Ia juga bertujuan untuk membina hubungan dua hala antara IRM dengan Islamic Relief (IR) Somalia bagi membentuk pelan dan perancangan bantuan kemanusiaan pada masa akan datang,” kata Zairulshahfuddin.

Menerusi misi kemanusiaan ini, Zairushahfuddin menjelaskan bahawa lawatan yang dilakukan ke Somalia merupakan salah satu inisiatif IRM dalam mengumpulkan maklumat-maklumat secara langsung berkenaan kemarau panjang melampau termasuklah maklumat lain melibatkan kempen Care4Hunger tahun ini.

Selain itu, IRM berjaya mengenalpasti bahawa negara Somalia mempunyai keperluan kritikal yang berbeza di kawasan-kawasan tertentu dan akan meletakkan kepercayaan kepada IR Somalia untuk memberikan cadangan projek-projek yang bakal dibiayai.

Ketibaan IRM di Somalia turut disambut baik oleh Kementerian Hal Ehwal Kemanusiaan dan Pengurusan Bencana Somalia.

Misi kemanusiaan itu mengumpulkan lapan orang delegasi IRM termasuklah seorang wakil media dan ikon kemanusiaannya, Elfaeza Ul Haq.