15 Mei merupakan Hari Nakba, hari peringatan tahunan yang membawa makna lebih mendalam pada tahun ini dimana rakyat Palestin terus berdepan perpindahan secara besar-besaran, pendudukan dan krisis kelaparan yang semakin membimbangkan. Berikut adalah sejarah dan kepentingan Hari Nakba kepada rakyat Palestin.

Apakah Hari Nakba?

Hari Nakba diperingati pada 15 Mei setiap tahun. Ia menandakan bermulanya kemusnahan tanah air Palestin serta perpindahan secara besar-besaran yang memaksa  majoriti penduduk Palestin meninggalkan kediaman mereka pada tahun 1948.

Perkataan Nakba bermaksud ‘malapetaka’ dalam bahasa Arab dan digunakan oleh rakyat Palestin serta masyarakat lain untuk merujuk kepada peristiwa bersejarah tersebut. Bagi sesetengah pihak, istilah ini turut digunakan untuk menggambarkan penindasan berterusan terhadap rakyat Palestin serta kehilangan wilayah mereka selepas peristiwa tersebut.

Pada 1998, Hari Nakba telah dirasmikan oleh pemimpin Palestin, Yasser Arafat, walaupun tarikh tersebut telah diperingati sejak 1949. Sejak 2023, Hari Nakba turut diperingati secara rasmi dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Apakah yang berlaku pada Mei 1948?

Mei 1948 menyaksikan bermulanya perpindahan besar-besaran yang menyebabkan lebih 700,000 rakyat Palestin diusir dari kediaman mereka.

Sepanjang Perang Palestin 1948 yang berlanjutan sehingga Januari 1949, tentera Israel memusnahkan lebih 530 perkampungan Palestin dan melakukan beberapa  siri pembunuhan beramai-ramai sehingga mengorbankan 15,000 orang, menurut penyelidik Salman Abu Sitta.

Sebanyak 78 peratus daripada wilayah bersejarah Palestin telah ditawan dan digunakan untuk menubuhkan wilayah yang kini dikenali sebagai Israel. Baki tanah Palestin dibahagikan kepada kawasan yang kini dikenali sebagai Wilayah Palestin yang Diduduki, iaitu Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis Timur, dan Semenanjung Gaza.

Selepas kemenangan Israel dalam perang tersebut, kediaman yang ditinggalkan telah diberikan kepada peneroka baharu. Kebanyakan keturunan rakyat Palestin yang melarikan diri pada 1948 masih kehilangan tempat tinggal sehingga hari ini, sama ada di dalam Palestin mahupun di seluruh dunia.

Menurut PBB, kini terdapat lebih 6 juta pelarian Palestin di seluruh dunia.

Apakah yang membawa kepada Peristiwa Nakba?

Dari 1920 hingga Mei 1948, United Kingdom mentadbir wilayah yang dikenali sebagai Mandat Palestin berdasarkan perjanjian di bawah Liga Bangsa-Bangsa, organisasi yang menjadi pendahulu kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua dan tragedi Holocaust, British mengumumkan hasrat untuk menamatkan mandat tersebut. PBB yang baru ditubuhkan kemudiannya mula berusaha untuk menetapkan semula sempadan Palestin bagi membolehkan penubuhan sebuah negara Yahudi.

Tiada satu pun daripada pelbagai rancangan pembahagian wilayah yang dicadangkan mendapat sokongan daripada rakyat Palestin atau Liga Arab (sebuah organisasi yang ditubuhkan selepas Perang Dunia Kedua bagi mengukuhkan hubungan politik, ekonomi dan sosial antara negara-negara Arab di Timur Tengah dan Afrika Utara).

Namun, apabila mandat tersebut berakhir, penubuhan negara Israel telah diisytiharkan. Peristiwa itu mencetuskan Perang Palestin 1948, yang turut dikenali sebagai Perang Arab-Israel 1948.

Apakah yang berlaku selepas Nakba?

Sepanjang 78 tahun sejak Nakba, Israel terus memperluaskan penguasaannya  ke wilayah Palestin sehingga menyebabkan keluarga kehilangan tempat tinggal dan  berlakunya pelanggaran undang-undang antarabangsa.

Antara peristiwa utama ialah Perang Enam Hari pada 1967, apabila tentera Israel  menduduki seluruh wilayah bersejarah Palestin, termasuk Gaza dan Tebing Barat, serta mengusir kira-kira 300,000 penduduk dari kediaman mereka.

Dalam beberapa dekad selepas itu, ketegangan di rantau tersebut terus tinggi dengan konflik yang sering tercetus. Namun, skala peningkatan konflik yang bermula pada Oktober 2023 tidak pernah berlaku sebelum ini.

Di Gaza, lebih 72,700 orang telah terbunuh dan ramai lagi terpaksa meninggalkan kediaman mereka, malah ada yang terpaksa berpindah berulang kali. Mereka yang kehilangan tempat tinggal termasuk rakyat Palestin dan keturunan mereka yang berpindah ke Gaza dari kawasan lain di Palestin selepas peristiwa Nakba.

Apakah kesan jangka panjang Nakba?

Nakba telah menyebabkan krisis pelarian berpanjangan yang masih belum diselesaikan dan merupakan yang paling lama di dunia, dengan lebih 6 juta pelarian Palestin kini berada di seluruh dunia.

Kebanyakan mereka tinggal di negara-negara jiran termasuk Jordan, Lubnan dan Syria. Dalam sesetengah keadaan, pelarian Palestin di Timur Tengah turut berdepan peperangan dan terpaksa berpindah sekali lagi di negara yang menjadi tempat perlindungan mereka.

Kehilangan wilayah secara besar-besaran yang bermula sejak Nakba terus memberi kesan kepada kehidupan seharian rakyat Palestin. Banyak sumber bernilai kini berada di kawasan yang dituntut oleh Israel, sekali gus menghalang rakyat Palestin daripada mengakses sumber tersebut dan mengehadkan potensi pembangunan ekonomi mereka.

Pendudukan Israel, yang telah diputuskan sebagai tidak sah di bawah undang-undang antarabangsa, memberi kesan kepada setiap aspek kehidupan rakyat Palestin. Ia menafikan hak asasi mereka, menjejaskan maruah serta memburukkan krisis kemiskinan.

Pendudukan turut menyekat pergerakan, perdagangan serta akses kepada air, perkhidmatan asas, tanah pertanian, pasaran dan tempat keagamaan. Ia juga memisahkan rakyat Palestin di Gaza, Baitulmaqdis Timur dan Tebing Barat antara satu sama lain, termasuk memisahkan keluarga serta sahabat.

Gaza berada di bawah sekatan Israel sejak 2007. Sekatan tersebut mengehadkan pergerakan barangan dan penduduk keluar masuk dari Semenanjung Gaza, sekali gus memberi kesan buruk terhadap ekonomi, masa depan penduduk serta usaha bantuan kemanusiaan.

Selama bertahun-tahun, ribuan barangan penting telah disekat daripada memasuki Gaza kerana Israel menganggapnya mempunyai ‘dwifungsi’, iaitu barangan yang berpotensi digunakan untuk tujuan awam dan ketenteraan. Dalam praktiknya, perkara ini boleh merangkumi hampir semua barangan yang diperlukan oleh penduduk. Antara barangan yang pernah ditolak kemasukannya termasuk bahan api, penapis air, pam solar dan gunting pembedahan.

Sejak Oktober 2023, Israel mengetatkan lagi sekatan tersebut dengan mengehadkan kemasukan makanan, ubat-ubatan, bahan api dan barangan penting lain.

Selepas perjanjian gencatan senjata pada November 2025, sebahagian bantuan dan bekalan komersial dibenarkan masuk. Namun, jumlah tersebut masih jauh daripada mencukupi untuk memenuhi keperluan penduduk yang sangat besar.

Bagaimanakah Hari Nakba diperingati?

Bagi ramai pihak, Hari Nakba merupakan peluang untuk meningkatkan kesedaran mengenai sejarah penindasan terhadap rakyat Palestin serta pengusiran mereka dari tanah sendiri. Ia juga menjadi peringatan bahawa keadaan tersebut masih berterusan sehingga hari ini, khususnya ketika krisis kemanusiaan berada pada tahap yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Hari Nakba juga menjadi waktu untuk meraikan kekayaan budaya dan sejarah Palestin di luar naratif penderitaan yang sering dikaitkan dengan wilayah serta rakyatnya.

Rakyat Palestin bukan sahaja terkenal dengan ketabahan mereka, malah mereka juga terdiri daripada penulis dan penari berbakat, penggiat seni sulaman yang mahir, ahli akademik dan saintis terkemuka serta masyarakat yang terkenal dengan kemurahan hati dalam menyambut tetamu.

Pada 2023, buat pertama kali dalam sejarah, PBB memperingati Hari Nakba. Badan antarabangsa tersebut menganjurkan acara sebagai ‘peringatan terhadap ketidakadilan bersejarah yang dialami oleh rakyat Palestin’, di samping mengetengahkan krisis pelarian yang masih berterusan.

Acara tersebut merangkumi ucapan, persembahan muzik, pameran gambar dan perkongsian pengalaman peribadi.

Mengapakah Islamic Relief membicarakan tentang Hari Nakba?

Islamic Relief telah beroperasi di Wilayah Palestin yang Diduduki sejak 1997 dengan membantu rakyat Palestin yang memerlukan menerusi usaha tindak balas kecemasan dan program pembangunan.

Walaupun berdepan cabaran yang sangat besar, Islamic Relief terus menyalurkan bantuan yang menyelamatkan nyawa, termasuk bekalan air, kit kebersihan, sokongan psikososial untuk kanak-kanak serta jutaan hidangan makanan  panas.

Kami turut menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada ibu mengandung dan bayi yang baru lahir, menjalankan aktiviti pendidikan untuk kanak-kanak yang tinggal di kem perpindahan serta memperluaskan program tajaan anak yatim.

Sokongan ini menjadi talian hayat kepada ribuan keluarga ketika mereka berada dalam keadaan yang amat memerlukan.

Ramai kakitangan dan rakan kerjasama tempatan kami turut kehilangan tempat tinggal sejak Oktober 2023 dan berdepan cabaran yang sama seperti komuniti yang kami bantu. Pejabat Islamic Relief di Gaza juga merupakan antara hampir 900,000 bangunan yang  musnah atau rosak akibat kempen pengeboman Israel.

Pada Hari Nakba, kami memperingati penderitaan dan ketidakadilan yang masih dihadapi rakyat Palestin serta pengusiran mereka yang berterusan dari tanah sendiri.

Penderitaan mereka bukan hanya kisah yang tercatat dalam sejarah. Ia merupakan krisis kemanusiaan yang semakin buruk dan dahsyat, yang sedang berlaku di hadapan mata dunia.

Lebih enam bulan selepas pengumuman gencatan senjata, Israel terus menyekat bantuan kemanusiaan, manakala rakyat Palestin terus berdepan serangan setiap hari, kekurangan keperluan kemanusiaan yang serius serta perpindahan secara besar besaran.

Islamic Relief menyeru kerajaan-kerajaan di seluruh dunia untuk melindungi hak rakyat Palestin agar dapat terus tinggal di tanah mereka serta menjalani kehidupan dengan selamat dan bermaruah.

Pemimpin dunia perlu menuntut pematuhan sepenuhnya terhadap perjanjian gencatan senjata, menamatkan pendudukan Israel, memastikan perlindungan terhadap orang awam serta menjamin akses bantuan kemanusiaan sepenuhnya tanpa sebarang halangan.

Inilah realiti yang sedang dihadapi oleh semua penduduk Gaza pada hari ini. Namun, sama ada keadaan ini turut menjadi masa depan mereka bergantung kepada keputusan yang dibuat oleh pemimpin dunia dan badan antarabangsa hari ini.

Bantulah Islamic Relief untuk terus menyokong keluarga di Gaza yang amat memerlukan bantuan. Sumbang kepada Rayuan Palestin sekarang.

Islamic Relief Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan rasmi dengan mana-mana laman web pihak luar dan tidak bertanggungjawab terhadap kandungan atau pautan pada laman web yang bukan milik atau dikendalikan oleh Islamic Relief Malaysia. Islamic Relief Malaysia mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa untuk menjalankan kutipan sumbangan. Setiap sumbangan dalam talian melalui Perbankan Internet akan dikenakan caj transaksi sebanyak RM0.55, tertakluk kepada terma dan caj yang ditetapkan oleh penyedia perkhidmatan pembayaran. Sumbangan yang dibuat melalui saluran ini tidak layak menerima resit Pengecualian Cukai, melainkan dinyatakan sebaliknya. Kami menghargai sokongan dan kepercayaan berterusan anda terhadap Islamic Relief Malaysia.

© Copyright 2026 Islamic Relief Malaysia. All rights reserved | Company Reg No: 200401018851 (657354-W)

JOM MENYUMBANG