Sempena memperingati ulang tahun ke-78 Hari Nakba, empat petugas kemanusiaan Islamic Relief Palestine berkongsi tentang makna ‘rumah’ bagi mereka.

Kenangan yang tergantung antara apa yang pernah ada dan apa yang kini tiada

Bagi saya, ‘rumah’ bukan lagi sekadar dinding dan bumbung. Ia telah menjadi sebuah kenangan yang tergantung antara sesuatu yang pernah ada, tetapi kini sudah tiada. Setiap kali saya mendengar perkataan itu, perkara-perkara kecil yang pernah membentuk kehidupan saya kembali menerpa fikiran.

Saya teringat apartmen yang saya siapkan dengan penuh perhatian dan kasih sayang setahun sebelum perang bermula. Ia dilengkapi dengan perabot yang paling indah dan setiap sudutnya dipenuhi kehangatan. Ada bilik anak perempuan saya yang dihiasi lukisan Cinderella, tempat dia ketawa dan menyimpan impiannya. Ada juga bilik anak lelaki saya dengan hiasan Spider-Man yang menggambarkan sifat polos dan minatnya.

Saya tidak sempat menikmati semua itu untuk tempoh yang lama. Seolah-olah masa sendiri sedang membawa saya dengan pantas menuju sebuah kehilangan.

Ketika kali terakhir saya mengunjungi rumah selepas perpindahan kami yang ke-10, saya mendapati rumah itu telah rosak. Dindingnya retak, pintunya senget dan tingkapnya tidak lagi berkaca. Namun, masih ada sesuatu yang tidak dapat dilihat dengan mata; kehangatan yang tersembunyi, kenangan dan harapan.

Ketika itulah saya sedar bahawa rumah bukanlah tentang apa yang terkandung di sebalik dinding sebuah bangunan, tetapi tentang apa yang ditinggalkan oleh tempat itu dalam diri kita.

Saya cuba mencipta semula perasaan tersebut di setiap tempat yang menjadi lokasi perpindahan kami, namun sentiasa ada sesuatu yang hilang. Tiada apa yang dapat menggantikan bau rumah sendiri, gelak tawa anak-anak saya di setiap sudutnya atau sapaan jiran-jiran yang pernah menjadi permulaan hari saya.

Berita mengenai kemusnahan sepenuhnya rumah kami sampai kepada saya pada pagi Aidiladha 2025, tepat jam 9 pagi. “Semoga Allah menggantikan kehilanganmu dengan kebaikan. Rumahmu sudah tiada.”

Berita itu menyambar seperti kilat, namun pada ketika itu saya tidak terus merasakan kesakitannya. Saya hanya berkata, “Alhamdulillah.” Saya seperti seorang pemain bola sepak yang tidak menyedari kesakitan akibat kecederaan sehinggalah luka itu mula terasa.

Kesakitan sebenar bermula apabila saya kembali kepada keluarga. Mereka juga telah menerima berita tersebut dan saya melihat air mata di mata isteri dan anak-anak saya.

Ketika itulah saya sedar bahawa saya bukan sekadar kehilangan empat dinding. Saya telah kehilangan sebahagian daripada jiwa saya. Kerinduan terhadap setiap perkara kecil semakin kuat, bahkan terhadap bunyi suara jiran-jiran. Bagi saya, pulang ke rumah bukan lagi tentang kembali ke suatu tempat, tetapi kembali kepada sebuah kehidupan yang lengkap, kehidupan yang masih saya cari di mana-mana.

Rumah adalah perasaan apabila diri kita difahami

Apabila saya memikirkan tentang rumah, saya sebenarnya tidak membayangkan sebuah tempat atau bangunan. Ia lebih kepada suatu perasaan, sesuatu yang terasa menetap dalam diri saya.

Rumah hadir dalam perkara-perkara kecil, seperti cahaya matahari yang menyinari sudut sama di dalam bilik setiap petang, bunyi pintu yang berkeriut dan sudah begitu dikenali, atau aroma makanan yang dapat dihidu sebelum saya sempat melangkah masuk ke dapur. Saya akan mencuri sedikit makanan di belakang ibu hanya untuk merasainya sebelum dia menegur saya, “Makan tengah hari dah siap, jangan kenyangkan perut dulu!” Rumah bukan sekadar tempat saya berada. Ia adalah tempat di mana saya tidak perlu memikirkan tentang siapa diri saya.

Kebanyakan kenangan yang masih saya pegang bukanlah peristiwa besar atau dramatik. Semuanya hanyalah detik-detik kecil. Saya teringat duduk mengelilingi sebuah meja, di mana tiada siapa kisah walaupun semua orang bercakap pada masa yang sama. Saya teringat bunyi gelak tawa yang kedengaran dari satu bilik ke bilik yang lain. Malah, kesunyian di rumah juga terasa berbeza. Ia menenangkan, bukannya kosong. Saya teringat malam-malam yang terasa begitu panjang sehingga cerita yang sama dapat dikongsikan berulang kali, namun masih terasa berbaloi untuk didengari. Jika dilihat satu persatu, mungkin detik-detik itu kelihatan biasa. Namun apabila semuanya digabungkan, ia membentuk sesuatu yang begitu bermakna.

Saya juga sedar bahawa rumah tidak semestinya terikat kepada sesuatu tempat. Kadangkala, rumah adalah manusia. Rumah dapat dirasakan melalui cara seseorang menyebut nama saya atau bagaimana mereka memahami kebiasaan, perkara yang saya suka dan tidak suka tanpa perlu bertanya. Rumah juga hadir melalui makanan. Tidak perlu sesuatu yang mewah, cukup sekadar hidangan yang biasa dinikmati. Satu suapan makanan yang telah saya makan ratusan kali mampu mengembalikan begitu banyak kenangan.

Malah, tradisi kecil turut mempunyai makna. Ia tidak perlu berupa sambutan besar yang dirancang  berminggu-minggu. Cukup sekadar perkara kecil yang secara diam-diam mengingatkan saya bahawa inilah kami dan inilah rumah saya.

Kali terakhir saya benar-benar berasa seperti berada di rumah, tiada apa-apa perkara besar yang berlaku. Tiada pertemuan semula yang penuh emosi atau detik luar biasa. Semuanya terasa mudah dan semula jadi. Saya kembali kepada rutin tanpa perlu berfikir.

Saya tidak berasa seperti seorang tetamu dan tidak merasakan bahawa saya perlu menjelaskan tentang diri sendiri. Saya berasa difahami. Bagi saya, itulah sebenarnya makna rumah; perasaan apabila diri kita benar-benar difahami.

Akhirnya, rumah bukanlah tentang dinding atau lokasi tertentu. Rumah adalah tentang hubungan. Ia adalah keluarga dan insan-insan yang saya sayangi. Rumah adalah di mana sahaja saya boleh menjadi diri sendiri dan bersama sesiapa sahaja yang membolehkan saya menjadi diri sendiri tanpa perlu memberikan penjelasan. Rumah adalah tempat yang saya kembali, sama ada secara fizikal atau hanya dalam fikiran, apabila saya mahu kembali merasakan diri saya sendiri, kembali berasa selamat,  dengan seluruh keluarga dan insan tersayang berkumpul bersama.Itulah rumah saya.

Rumah adalah tempat yang menjaga kita sebagaimana kita menjaganya

Apabila saya mendengar perkataan ‘rumah’, perkara pertama yang terlintas dalam fikiran ialah  keselamatan, ketenangan dan kehangatan. Saya membayangkan rumah yang kami usahakan bersungguh-sungguh sehingga menjadi seperti yang pernah kami impikan.

Rumah itu sederhana, tetapi dipenuhi dengan kehidupan kami. Ia hanya mempunyai tiga bilik; satu bilik untuk saya dan isteri, satu untuk anak perempuan tunggal kami dan sebuah bilik besar yang dipenuhi gelak tawa serta impian empat anak lelaki kami.

Malah, dapur kami mempunyai keistimewaannya tersendiri. Ia direka dengan teliti oleh isteri saya dan setiap sudut mempunyai sentuhan peribadinya.

Ketika rumah itu masih dalam pembinaan, kami akan datang melawat setiap hari Jumaat. Kami mengikuti setiap perkembangan kecil langkah demi langkah sambil menunggu dengan penuh teruja  sehingga rumah itu siap.

Walaupun rumah tersebut dibeli melalui pinjaman bank selama 85 bulan, apa yang kami rasakan bukanlah beban hutang, tetapi kegembiraan melihat sebuah impian perlahan-lahan menjadi kenyataan.

Hari-hari paling indah dalam kehidupan kami dilalui di rumah itu. Anak-anak kami membesar di sana, di kejiranan Tel Al-Hawa di selatan Gaza. Di situlah mereka mendapat rakan pertama serta mengenali tadika, sekolah dan taman permainan berhampiran.

Kami sering berjalan bersama-sama menuju ke laut. Malah, perjalanan ke sana terasa seperti sebahagian daripada kebahagiaan harian kami.

Kehidupan di sekeliling terasa sederhana dan begitu dekat. Jiran-jiran menjadi seperti keluarga  sendiri. Kami sering berkumpul di balkoni, memanggang daging dan ayam, ketawa dan berkongsi cerita kehidupan seolah-olah masa yang kami miliki tidak akan pernah berakhir.

Setiap sudut rumah itu menyimpan kenangan. Kami membinanya sedikit demi sedikit dan meninggalkan sebahagian daripada diri kami di setiap ruangnya.

Namun, kebahagiaan kami tidak bertahan lama.

Rumah kami musnah ketika konflik dan kami bukan sahaja kehilangan bangunan tersebut, tetapi segala yang berada di dalamnya perabot, pakaian, peralatan rumah, permainan anak-anak, buku serta buku sekolah mereka.

Begitu banyak kenangan hilang dalam sekelip mata. Seolah-olah sebahagian daripada kehidupan kami tiba-tiba terpadam.

Hari ini, kami tinggal di rumah sewa dan cuba mencipta semula perasaan sebuah ‘rumah’. Namun, sentiasa terasa seperti ada sesuatu yang hilang.

Saya kini memahami bahawa rumah yang sebenar bukan sekadar tempat untuk kita tinggal, tetapi  sesuatu yang menjaga dan membawa kita sebagaimana kita turut membawa kenangannya bersama.

Walaupun kesakitan masih ada, kenangan itu kekal hangat di dalam hati kami — bercampur antara kerinduan, kesedihan dan harapan.

Rumah itu mungkin tidak lagi wujud seperti dahulu, tetapi ia masih hidup dalam diri kami. Impian yang dilambangkannya juga masih hidup, seolah-olah kami sedang menunggu hari untuk membinanya Kembali, bukan hanya dengan batu, tetapi dengan segala yang pernah kami kehilangan.

Rumah bukan lagi sebuah tempat, tetapi luka yang hidup dalam diri kami

 Apabila perkataan ‘rumah’ disebut, saya tidak membayangkan sebuah pintu atau hamparan dinding.

Sebaliknya, apa yang muncul dalam fikiran ialah gambaran yang begitu hidup, terbentuk daripada perkara-perkara kecil yang mungkin terlepas daripada pandangan mata, tetapi sentiasa diingati oleh jiwa. Di situlah kenangan perlahan-lahan mencipta dirinya semula, berulang kali.

Dalam erti kata yang sebenar, rumah bukan sekadar ruang yang kita diami. Ia adalah sebuah tanah air kecil tempat impian kita bernaung dan kenangan terus hidup tanpa terhakis oleh perjalanan  waktu.

Ia adalah aroma pertama yang menyambut saya sebelum melangkah masuk, cahaya lembut yang menembusi tingkap yang begitu saya kenali dan suara yang biasa didengar, yang perlahan-lahan  menghilangkan rasa asing daripada hari-hari yang berlalu.

Rumah adalah satu-satunya tempat saya tidak perlu memberikan penjelasan atau mempertahankan  apa yang saya rasakan. Ia menjadi cerminan kehidupan saya, tempat saya boleh menjadi diri sendiri tanpa topeng atau benteng pertahanan.

Di situlah kenangan saya berkumpul dalam bentuk yang paling sederhana; gelak tawa yang singkat, perbualan panjang pada malam yang sunyi, malah kesunyian yang menenangkan dan bukannya  membebankan. Di situlah juga perjalanan saya sebagai seorang ibu mula terbentuk.

Keindahan rumah adalah ia tidak terbatas kepada sesuatu tempat. Sebaliknya, ia adalah perasaan yang sentiasa bergerak bersama kita.

Kadangkala, hanya rasa makanan yang dikenali sudah cukup untuk membawa saya kembali kepada zaman anak-anak masih kecil. Kadangkala, melodi lama membawa saya kembali ke zaman muda dan untuk seketika, saya kembali berada di rumah.

Namun, kerinduan itu tetap ada. Sesetengah perkara tidak mungkin dapat dicipta semula; kehangatan sebuah keluarga, susunan kehidupan seperti dahulu, malah kekecohan kecil yang pernah mewarnai kehidupan kami dan mempunyai maknanya tersendiri.

Pada 30 Oktober, saya meninggalkan rumah. Saya tidak membawa apa-apa selain al-Quran dan beberapa barangan peribadi, sementara seluruh kehidupan yang pernah saya bina ditinggalkan di sebalik dindingnya.

Sejak hari itu, rumah bukan lagi sebuah tempat. Ia telah menjadi luka yang hidup dalam diri kami, ke mana sahaja kami pergi.

Di tempat baharu yang terpaksa saya diami akibat perang, saya cuba mencipta serpihan-serpihan perasaan itu. Saya menyusun barangan dengan teliti. Saya berpegang erat kepada kenangan yang masih dapat disentuh dan mencipta rutin-rutin kecil supaya kehidupan kembali terasa biasa.

Namun, tetap ada sebahagian daripada rumah yang tidak boleh dibawa bersama. Ia hanya mampu dirindui.

Sekiranya suatu hari nanti impian kembali menjadi kenyataan, sekiranya saya dapat kembali kepada diri saya dan rumah yang pernah saya miliki, ia bukan sekadar perjalanan dari satu tempat ke tempat yang lain.

Ia akan menjadi perjalanan kembali kepada diri yang lebih ringan. Sebuah detik apabila saya benar benar merasakan bahawa saya kembali menjadi sebahagian daripada tempat itu, ketika segala yang ada dalam diri saya perlahan-lahan kembali menemukan keseimbangannya.

Rumah adalah tempat saya bermula dan tempat perlindungan yang saya kembali apabila jarak terasa terlalu berat. Kehadirannya tidak pernah hilang walaupun secara fizikal ia sudah tiada; sebuah  tempat yang hidup jauh di dalam diri saya, sebagaimana saya pernah hidup di dalamnya.

Kenangan terus melimpah, begitu juga hati.

Daripada kehidupan seharian kami, lahirlah keindahan sederhana di bumi Palestin. Ia tidak pernah sekadar hidangan, tetapi sentiasa menjadi sebuah kisah tentang rumah dan kehangatan.

Aroma roti, gema gelak tawa kami serta rasa minyak zaitun dan buah zaitun membawa kami kembali. Semuanya seolah-olah membuka semula pintu menuju rumah yang telah kami tinggalkan.

Asap daripada bawang dan sumac yang sedang dimasak terasa seperti petunjuk yang membawa kami kembali kepada detik-detik ketika kami pernah berasa selamat. Setiap suapan menjadi sebuah kenangan. Hidangan itu menjadi seperti pelukan kecil yang kami pegang erat sambil cuba menyembunyikan kesakitan akibat perpisahan.

Kami sering memberitahu diri bahawa rumah boleh dibina semula selagi rasa sebuah rumah masih hidup dalam diri kami.

Namun, hakikatnya tetap sama meninggalkan rumah adalah sesuatu yang amat menyakitkan. Ia memecahkan sesuatu jauh di dalam diri dan hati kami terus membawa luka tersebut.

Pada akhirnya, rumah melangkaui dinding dan sempadan geografi. Ia menjadi sebuah rasa kehangatan dan kepunyaan yang hidup dalam diri kita. Kita mungkin kehilangan kediaman dan peta mungkin dilukis semula, tetapi rumah kita yang sebenar tetap kekal seperti sebuah rahsia yang tersimpan jauh di dalam hati.

Dan mungkin, dalam satu detik penuh kejujuran, kita akhirnya sedar bahawa pulang ke rumah tidak pernah semata-mata bermaksud kembali ke sesuatu tempat.

Ia sebenarnya tentang mencari jalan untuk kembali kepada diri kita sendiri.

Kisah-kisah ini dikongsikan sendiri oleh kakitangan Islamic Relief Palestine berdasarkan pengalaman mereka. Ramai rakan sekerja kami, termasuk empat individu di atas, telah kehilangan tempat tinggal sejak Oktober 2023. Dalam masa yang sama, mereka terus berusaha membantu komuniti yang memerlukan sambil membina semula kehidupan mereka sendiri.

Bantulah mereka untuk terus menjadi talian hayat kepada golongan susah dan memerlukan di Gaza. Sumbang kepada Rayuan Palestin kami hari ini.

Islamic Relief Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan rasmi dengan mana-mana laman web pihak luar dan tidak bertanggungjawab terhadap kandungan atau pautan pada laman web yang bukan milik atau dikendalikan oleh Islamic Relief Malaysia. Islamic Relief Malaysia mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa untuk menjalankan kutipan sumbangan. Setiap sumbangan dalam talian melalui Perbankan Internet akan dikenakan caj transaksi sebanyak RM0.55, tertakluk kepada terma dan caj yang ditetapkan oleh penyedia perkhidmatan pembayaran. Sumbangan yang dibuat melalui saluran ini tidak layak menerima resit Pengecualian Cukai, melainkan dinyatakan sebaliknya. Kami menghargai sokongan dan kepercayaan berterusan anda terhadap Islamic Relief Malaysia.

© Copyright 2026 Islamic Relief Malaysia. All rights reserved | Company Reg No: 200401018851 (657354-W)

JOM MENYUMBANG