Layari laman ini dan buat sumbangan sekarang !
17 September 2025
Lebih 20 pemimpin agensi bantuan utama yang beroperasi di Gaza menggesa pemimpin dunia untuk segera campur tangan selepas suruhanjaya PBB buat pertama kali menyimpulkan bahawa genosid sedang berlaku. Kenyataan penuh adalah seperti berikut:
Ketika pemimpin dunia bakal berhimpun minggu depan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kami menyeru semua negara anggota bertindak selaras dengan mandat yang diamanahkan kepada PBB sejak 80 tahun lalu.
Apa yang sedang berlaku di Gaza bukan sahaja malapetaka kemanusiaan yang belum pernah terjadi, tetapi kini turut disahkan sebagai suatu genosid oleh Suruhanjaya Siasatan PBB. Dengan penemuan ini, semakin banyak organisasi hak asasi manusia dan pemimpin dunia termasuk dari Israel sendiri yang mengangkat isu ini menjadi perhatian global.
Keadaan di Gaza sudah sampai ke tahap tidak berperikemanusiaan. Sebagai pemimpin kemanusiaan, kami menyaksikan sendiri kematian dan penderitaan yang mengerikan dialami rakyat Gaza. Amaran kami sebelum ini tidak diendahkan, sedangkan ribuan nyawa terus berada dalam ancaman.
Kini, apabila kerajaan Israel mengarahkan pengusiran besar-besaran penduduk Bandar Gaza yang menjadi tempat tinggal hampir sejuta orang, ia akan menjadi episod paling berdarah dalam sejarah Gaza jika tiada tindakan segera diambil. Gaza telah sengaja dijadikan tempat yang tidak lagi sesuai untuk didiami.
Lebih 65,000 rakyat Palestin telah terbunuh, termasuk 20,000 kanak-kanak. Ribuan lagi masih hilang, tertimbus di bawah runtuhan bangunan yang dahulunya jalan-jalan penuh kemeriahan di Gaza.
Sembilan daripada 10 orang dalam populasi 2.1 juta di Gaza dipaksa berpindah. Kebanyakannya telah berkali-kali pindah ke kawasan kecil yang semakin sempit dan tidak mampu menyokong kehidupan manusia.
Kini, lebih 500,000 orang hidup dalam kebuluran. Krisis ini telah diisytiharkan dan ia semakin merebak. Kesan berpanjangan daripada kelaparan dan kekurangan asas kehidupan menyebabkan kematian berlaku setiap hari.
Di seluruh Gaza, bandar-bandar telah diratakan, bersama infrastruktur awam penting seperti hospital dan loji rawatan air. Tanah pertanian juga dimusnahkan secara sistematik.
Sejak Israel mengetatkan kepungan enam bulan lalu dengan menyekat makanan, bahan api, dan ubat-ubatan, kami menyaksikan kanak-kanak serta keluarga yang semakin lemah akibat kebuluran. Rakan-rakan petugas kami juga terkesan.
Ramai antara kami pernah masuk ke Gaza. Kami bertemu dengan rakyat Palestin yang kehilangan anggota badan akibat pengeboman. Kami melihat kanak-kanak trauma kerana serangan udara setiap hari. Ada yang tidak mampu tidur, tidak dapat bercakap, malah ada yang berkata mereka ingin mati agar dapat bersama ibu bapa mereka di syurga.
Kami berjumpa keluarga yang terpaksa makan makanan haiwan untuk bertahan, malah merebus daun sebagai hidangan untuk anak-anak mereka.
Namun, pemimpin dunia masih gagal bertindak. Fakta diabaikan. Kesaksian diketepikan. Dan lebih ramai terus terkorban kerana tiada tindakan diambil.
Organisasi kami, bersama kumpulan masyarakat sivil Palestin, PBB, dan pertubuhan hak asasi Israel, telah berusaha sebaik mungkin mempertahankan hak rakyat Gaza dan meneruskan bantuan kemanusiaan, tetapi kami terus dihalang di setiap peringkat.
Kami dinafikan akses, dan proses bantuan di bawah kawalan ketenteraan telah membawa maut. Ribuan orang ditembak ketika cuba mendapatkan makanan di lokasi terhad.
Kerajaan-kerajaan dunia mesti bertindak untuk menghentikan kemusnahan dan kehilangan nyawa di Gaza dan menamatkan keganasan serta pendudukan. Semua pihak mesti menolak keganasan terhadap orang awam, mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa, dan berusaha mencapai keamanan.
Negara-negara mesti menggunakan pengaruh politik, ekonomi, dan undang-undang yang ada untuk campur tangan. Retorik dan langkah separuh hati tidak mencukupi. Momen ini menuntut tindakan tegas.
PBB telah menjadikan undang-undang antarabangsa sebagai asas keamanan dan keselamatan global. Jika Negara Anggota terus menganggap kewajipan ini sebagai pilihan, mereka bukan sahaja bersekongkol tetapi turut mencipta tindakan berbahaya untuk masa depan. Sejarah pasti akan menilai detik ini sebagai ujian terhadap kemanusiaan. Dan kita sedang gagal, gagal terhadap rakyat Gaza, gagal terhadap para tebusan, dan gagal pada tuntutan moral kita bersama.
Islamic Relief Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan rasmi dengan mana-mana laman web pihak luar dan tidak bertanggungjawab terhadap kandungan atau pautan pada laman web yang bukan milik atau dikendalikan oleh Islamic Relief Malaysia. Islamic Relief Malaysia mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa untuk menjalankan kutipan sumbangan. Setiap sumbangan dalam talian melalui Perbankan Internet akan dikenakan caj transaksi sebanyak RM0.55, tertakluk kepada terma dan caj yang ditetapkan oleh penyedia perkhidmatan pembayaran. Sumbangan yang dibuat melalui saluran ini tidak layak menerima resit Pengecualian Cukai, melainkan dinyatakan sebaliknya. Kami menghargai sokongan dan kepercayaan berterusan anda terhadap Islamic Relief Malaysia.