Pembunuhan beramai-ramai di Gaza telah mencapai satu lagi catatan yang memalukan, Dimana lebih 100,000 rakyat Palestin kini terbunuh atau cedera sejak 7 Oktober¹. Orang awam diserang pada kadar yang lebih pantas berbanding mana-mana konflik lain pada abad ini, dan semua ini berlaku di hadapan mata masyarakat antarabangsa.

Serangan Israel yang berterusan, ditambah dengan kebuluran dan penularan penyakit, menyebabkan jumlah korban boleh meningkat sehingga empat kali ganda dalam beberapa bulan akan datang sekiranya gencatan senjata tidak dilaksanakan dengan segera dan bantuan kemanusiaan tidak ditingkatkan secara besar-besaran. Sejak bulan lalu, jumlah bantuan yang memasuki Gaza telah berkurangan sebanyak 50 peratus.

Ramai mangsa yang cedera mengalami kecederaan yang akan memberi kesan sepanjang hayat, termasuk kehilangan kaki atau tangan serta trauma yang serius. Ribuan kanak-kanak telah menjadi yatim piatu, manakala lebih 1 juta kanak-kanak kini memerlukan sokongan kesihatan mental.

Angka kematian akibat pengeboman Israel terus meningkat setiap hari. Namun, kebimbangan semakin memuncak bahawa jumlah kematian akibat kelaparan dan penyakit mungkin jauh mengatasi angka tersebut. Sebuah laporan baharu oleh ahli akademik terkemuka memberi amaran bahawa sehingga 85,750 kematian tambahan boleh berlaku di Gaza dalam tempoh enam bulan akan datang sekiranya tiada persetujuan gencatan senjata dicapai².

Kebimbangan terhadap ancaman kebuluran juga semakin meningkat. 1 daripada setiap 10 kanak-kanak kecil di seluruh Gaza kini mengalami kekurangan zat makanan, menjadikan krisis kemanusiaan terus bertambah buruk.

Pasukan Islamic Relief dan rakan kerjasama di Gaza terus mengagihkan makanan panas dan bantuan-bantuan penting lain, namun usaha tersebut menjadi semakin sukar dan berbahaya dari hari ke hari.

Jumlah trak bantuan yang dapat memasuki Gaza melalui Rafah atau Kerem Shalom/Karem Abu Salem sekali lagi berkurangan dengan ketara sejak beberapa minggu kebelakangan ini, manakala konvoi bantuan turut menjadi sasaran serangan. Ratusan petugas kesihatan, petugas kemanusiaan dan kakitangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merupakan antara mereka yang terbunuh dan cedera.

Ketika angka tragis ini terus meningkat, Islamic Relief terus menyeru para pemimpin dunia untuk menuntut gencatan senjata dengan segera serta menamatkan sekatan Israel. Setiap kelewatan akan mengorbankan lebih banyak nyawa.

Nota

  1. Sehingga 27 Februari, seramai 29,878 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh dan 70,215 lagi cedera. Angka kematian dan kecederaan ini berdasarkan kemas kini terkini daripada Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) dan Kementerian Kesihatan Palestin.
  2. Laporan oleh London School of Hygiene and Tropical Medicine dan Johns Hopkins Center for Humanitarian Health.

Islamic Relief Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan rasmi dengan mana-mana laman web pihak luar dan tidak bertanggungjawab terhadap kandungan atau pautan pada laman web yang bukan milik atau dikendalikan oleh Islamic Relief Malaysia. Islamic Relief Malaysia mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa untuk menjalankan kutipan sumbangan. Setiap sumbangan dalam talian melalui Perbankan Internet akan dikenakan caj transaksi sebanyak RM0.55, tertakluk kepada terma dan caj yang ditetapkan oleh penyedia perkhidmatan pembayaran. Sumbangan yang dibuat melalui saluran ini tidak layak menerima resit Pengecualian Cukai, melainkan dinyatakan sebaliknya. Kami menghargai sokongan dan kepercayaan berterusan anda terhadap Islamic Relief Malaysia.

© Copyright 2026 Islamic Relief Malaysia. All rights reserved | Company Reg No: 200401018851 (657354-W)

JOM MENYUMBANG