Dua tahun selepas gempa bumi dahsyat melanda Turkiye dan Syria, ribuan mangsa yang terselamat masih berlindung dalam keadaan serba kekurangan di kem-kem di barat laut Syria.

Mereka terus berdepan kesukaran mendapatkan bekalan makanan, air bersih dan perkhidmatan kesihatan yang mencukupi, selain mempunyai peluang yang terhad untuk menjana pendapatan.

Gempa bumi berukuran 7.8 magnitud yang melanda pada 6 Februari 2023 merupakan bencana gempa bumi terburuk di rantau tersebut dalam tempoh lebih satu abad.

Bencana itu telah meragut kira-kira 57,000 nyawa serta memusnahkan atau merosakkan lebih 137,000 kediaman, selain menjejaskan kemudahan penting seperti sekolah dan pusat kesihatan. Kos bagi usaha pemulihan dan pembinaan semula dianggarkan mencecah sehingga AS$80 bilion.

Sepanjang dua tahun selepas bencana tersebut, Islamic Relief terus membantu komuniti yang terjejas dengan membina semula kediaman, memulihkan perkhidmatan asas serta membantu mereka mendapatkan kembali sumber pendapatan. Namun begitu, kadar pemulihan masih terlalu perlahan.

Ketua Islamic Relief di Idlib, barat laut Syria, Rajab Haj Salem berkata:

“Amat menyedihkan melihat keadaan mangsa gempa bumi yang masih tinggal di kem-kem di sini.

“Walaupun dua tahun telah berlalu, ramai antara mereka masih mengalami trauma akibat gempa bumi tersebut. Detik yang memusnahkan seluruh kehidupan mereka masih segar dalam ingatan. Keadaan menjadi lebih sukar apabila mereka terpaksa terus tinggal di kem dan bergantung kepada bantuan.

“Apa yang mereka mahukan hanyalah sokongan untuk membina semula kediaman supaya dapat meninggalkan kem dan kembali menjalani kehidupan dengan lebih baik.

“Keadaan di kem sangat mencabar dengan kekurangan hampir semua keperluan asas, daripada makanan dan air hinggalah kepada penjagaan kesihatan dan pendidikan.

“Ramai yang masih tidak mempunyai tempat perlindungan yang sesuai serta sukar mendapatkan pekerjaan atau sumber pendapatan yang stabil.

“Ketika musim sejuk, suhu menjadi sangat rendah dan khemah mereka berisiko ditenggelami air atau diterbangkan angin kencang.

“Islamic Relief terus menyalurkan bantuan di kem-kem serta membantu membina semula kediaman dan memulihkan sumber pendapatan masyarakat, namun usaha yang ada masih belum mencukupi.

“Lebih banyak sokongan daripada masyarakat antarabangsa diperlukan bagi membantu mereka kembali pulih. Penduduk di kem sering menghubungi petugas kami dan meminta agar dunia tidak melupakan mereka.”

Islamic Relief terus aktif membantu komuniti di kem dengan mengagihkan roti kepada lebih 10,000 keluarga setiap hari.

Sebanyak 643 buah rumah telah dibina untuk keluarga yang terjejas, sekali gus membantu penduduk yang kehilangan tempat tinggal berpindah keluar daripada khemah dan mendapatkan kediaman yang lebih selamat.

Pelbagai perkhidmatan penting turut disediakan, termasuk pusat kesihatan, klinik rawatan kekurangan zat makanan serta akses pendidikan untuk kanak-kanak. Lebih 40,000 keluarga juga telah menerima sokongan bagi membina semula sumber pendapatan mereka menerusi latihan pertanian, penyediaan peralatan bercucuk tanam serta pelaburan dalam sektor penternakan.

Sokongan terhadap sumber pendapatan menjadi antara keutamaan di Syria memandangkan pengangguran masih menjadi cabaran besar dan lebih 90 peratus penduduk hidup dalam kemiskinan.

Mangsa gempa bumi merupakan sebahagian daripada lebih satu juta penduduk yang masih tinggal di kem-kem di barat laut Syria. Ramai keluarga lain turut kehilangan tempat tinggal akibat konflik dan keganasan yang telah melanda kehidupan masyarakat di negara itu sepanjang 14 tahun lalu.

Berakhirnya pemerintahan Assad pada Disember 2024 telah memberikan harapan kepada ramai rakyat Syria untuk membina semula masa depan negara mereka.

Namun, Syria masih memerlukan sokongan masyarakat antarabangsa untuk bangkit daripada kemusnahan dan kehilangan yang dialami sepanjang lebih sedekad.

Turkiye turut mengalami kemusnahan besar akibat gempa bumi tersebut. Namun, proses pemulihan di negara itu berlangsung dengan jauh lebih pantas.

Islamic Relief Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan rasmi dengan mana-mana laman web pihak luar dan tidak bertanggungjawab terhadap kandungan atau pautan pada laman web yang bukan milik atau dikendalikan oleh Islamic Relief Malaysia. Islamic Relief Malaysia mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa untuk menjalankan kutipan sumbangan. Setiap sumbangan dalam talian melalui Perbankan Internet akan dikenakan caj transaksi sebanyak RM0.55, tertakluk kepada terma dan caj yang ditetapkan oleh penyedia perkhidmatan pembayaran. Sumbangan yang dibuat melalui saluran ini tidak layak menerima resit Pengecualian Cukai, melainkan dinyatakan sebaliknya. Kami menghargai sokongan dan kepercayaan berterusan anda terhadap Islamic Relief Malaysia.

© Copyright 2026 Islamic Relief Malaysia. All rights reserved | Company Reg No: 200401018851 (657354-W)

JOM MENYUMBANG