Bayangkan membesar di bawah bayangan perang. Dentuman bom, kehilangan insan tersayang dan kemusnahan tempat tinggal menjadi kenyataan pahit saban hari. Bagi anak-anak yatim di Gaza, penderitaan tidak berakhir selepas kehilangan bapa atau kediaman. Mereka terpaksa meneruskan kehidupan dalam khemah yang serba kekurangan, berdepan kesukaran mendapatkan makanan, rawatan kesihatan dan pendidikan.

Kini, ketika musim sejuk semakin hampir, kehidupan di khemah uzur menjadi semakin mencabar. Perlindungan yang tidak mencukupi daripada cuaca sejuk dan hujan lebat menyebabkan keluarga yang kehilangan tempat tinggal semakin terdedah kepada keadaan cuaca yang keras. Selimut, pakaian hangat dan tempat perlindungan yang lebih kukuh bukan sekadar keselesaan, tetapi keperluan penting untuk menghadapi musim sejuk.

Namun, di sebalik cabaran ini, masih ada insan yang enggan membiarkan impian mereka padam.

Pada usia 18 tahun, Malak, seorang anak yatim yang ditaja oleh Islamic Relief terus berusaha mengejar cita-citanya terus berusaha membina masa depan meskipun kehidupannya telah berubah akibat perang.

Malak: Impian menjadi doktor tidak pernah padam

Dahulu, Malak dan keluarganya tinggal di sebuah rumah konkrit. Namun, selepas kediaman mereka musnah akibat perang, dia kini tinggal bersama ibunya dan dua orang saudaranya, Uday dan Atef, di dalam sebuah khemah uzur.

Khemah tersebut tidak mampu memberikan perlindungan yang mencukupi daripada cuaca panas terik mahupun hujan lebat. Menjelang musim sejuk, keadaan ini semakin menjejaskan keselamatan dan kesihatan mereka tanpa pakaian tebal dan perlindungan yang mencukupi.

Di sebalik keadaan tempat tinggal yang serba kekurangan, Malak tetap berusaha membina masa depannya. Dia berjaya menamatkan persekolahan menengah dengan keputusan cemerlang sebanyak 96% dan berhasrat melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan.

Meneruskan pengajian di tengah krisis

Perjalanan Malak untuk melanjutkan pengajian ke universiti bukanlah mudah. Kebanyakan fasiliti pendidikan di Gaza telah rosak atau musnah, menyebabkan pembelajaran terpaksa dijalankan secara dalam talian Namun, capaian internet sukar diperoleh dan Malak memerlukan komputer riba untuk mengikuti kuliah.

Pada masa yang sama, yuran pengajian menjadi beban besar buat keluarganya. Ibunya hanya bekerja di sebuah kedai roti kecil dengan pendapatan yang tidak mencukupi untuk menampung keperluan asas keluarga.

Walaupun berdepan kesukaran, Malak tetap membantu ibunya menguruskan khemah kediaman, termasuk memasak, mengemas dan membasuh pakaian.

Ketika anak muda seusianya sepatutnya dapat menumpukan perhatian kepada pendidikan dan merancang masa depan, Malak perlu membahagikan masa antara tanggungjawab keluarga, keperluan hidup dan impiannya untuk melanjutkan pengajian.

Dalam keadaan ini, perlindungan tempat tinggal yang lebih baik juga penting agar keluarganya dapat menghadapi musim sejuk dengan lebih selamat dan bermaruah.

Sebutir peluru masih tertanam di dalam tubuhnya

Di sebalik kesungguhannya mengejar impian, Malak turut menanggung kecederaan fizikal yang serius akibat perang. Dia pernah ditembak dan sebutir peluru masih tertanam di bahagian abdomen.

Malak perlu menjalani pemeriksaan berkala sementara menunggu pembedahan yang tertangguh berikutan keadaan sistem kesihatan Gaza yang lumpuh.

Kecederaan ini menambah cabaran dalam kehidupannya. Namun, Malak masih menyimpan hasrat untuk menjadi seorang doktor kerana baginya, pengajian ini bukan sekadar mengejar segulung ijazah, tetapi ikhtiar untuk menjadi doktor agar dapat merawat dan meringankan kesakitan orang lain.

Impian itu terus menjadi sumber harapan ketika dia berdepan ketidaktentuan kehidupan, kesukaran mendapatkan rawatan dan cabaran meneruskan pendidikan.

Pada musim sejuk, Malak dan keluarganya juga memerlukan perlindungan yang lebih baik daripada cuaca sejuk dan hujan. Khemah yang kukuh, kanvas kalis air, selimut dan pakaian hangat merupakan antara keperluan penting bagi membantu mereka menghadapi keadaan cuaca yang mencabar.

Membantu Malak menghadapi musim sejuk dan mengejar impiannya

Bagi Malak dan keluarganya, keperluan untuk meneruskan kehidupan dan membina masa depan tidak boleh dipisahkan. Perlindungan yang lebih baik, keperluan asas yang mencukupi dan peluang meneruskan pendidikan merupakan antara sokongan yang diperlukan ketika mereka berusaha bangkit daripada kesan perang.

Antara keperluan keluarga Malak ialah:

  • Perlindungan musim sejuk: Khemah yang lebih kukuh dan kanvas kalis air untuk menghadapi cuaca sejuk serta hujan lebat.
  • Keperluan tidur dan keselesaan: Tilam dan selimut untuk membantu keluarga berehat dengan lebih selesa.
  • Keperluan asas harian: Peralatan memasak, gas, tangki air, bekalan makanan, set kebersihan dan sumber cahaya yang stabil.
  • Pakaian musim sejuk: Pakaian hangat dan kasut yang sesuai untuk Malak.
  • Sokongan pendidikan: Bantuan kewangan untuk yuran universiti dan komputer riba bagi membantunya meneruskan pembelajaran.

Keperluan ini menggambarkan cabaran yang perlu dihadapi oleh keluarga yang kehilangan tempat tinggal. Bagi mereka, mendapatkan perlindungan yang selamat dan memenuhi keperluan asas merupakan langkah penting untuk meneruskan kehidupan dengan lebih bermaruah.

Bersama membawa harapan untuk Palestin

Kisah Malak mencerminkan perjuangan rakyat Palestin untuk meneruskan kehidupan di sebalik kemusnahan dan ketidaktentuan. Di sebalik rumah yang musnah, cuaca yang mencabar, kecederaan yang ditanggung dan pendidikan yang terjejas, masih ada harapan untuk membina masa depan yang lebih baik.

Rumahnya telah musnah. Tubuhnya masih menanggung kesan perang. Namun, impian Malak untuk menjadi doktor belum padam.

Menjelang musim sejuk, marilah kita bersama-sama membantu keluarga di Gaza mendapatkan perlindungan dan keperluan asas yang diperlukan untuk menghadapi cuaca sejuk dengan lebih selamat dan bermaruah.

Bantu lindungi mereka daripada kesejukan. Bantu pastikan harapan mereka terus hidup. Jangan biarkan mereka menghadapi kesukaran ini sendirian. Hulurkan sumbangan anda kepada Rayuan Palestin hari ini.

Islamic Relief Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan rasmi dengan mana-mana laman web pihak luar dan tidak bertanggungjawab terhadap kandungan atau pautan pada laman web yang bukan milik atau dikendalikan oleh Islamic Relief Malaysia. Islamic Relief Malaysia mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa untuk menjalankan kutipan sumbangan. Setiap sumbangan dalam talian melalui Perbankan Internet akan dikenakan caj transaksi sebanyak RM0.55, tertakluk kepada terma dan caj yang ditetapkan oleh penyedia perkhidmatan pembayaran. Sumbangan yang dibuat melalui saluran ini tidak layak menerima resit Pengecualian Cukai, melainkan dinyatakan sebaliknya. Kami menghargai sokongan dan kepercayaan berterusan anda terhadap Islamic Relief Malaysia.

© Copyright 2026 Islamic Relief Malaysia. All rights reserved | Company Reg No: 200401018851 (657354-W)

JOM MENYUMBANG