Bagaimana Islamic Relief bantu penduduk Gaza hadapi musim sejuk

Setiap tahun, Program Bantuan Musim Sejuk (Winterisation Programme) Islamic Relief membantu golongan rentan di seluruh dunia agar mereka dapat menghadapi bulan-bulan paling sejuk dengan lebih selamat dan selesa.

Pada musim sejuk lalu, Islamic Relief telah membantu lebih 89,900 orang di 19 negara dan wilayah melalui bantuan keperluan asas, termasuk pakaian panas, selimut, kayu api dan pek makanan. Bantuan tunai juga semakin menjadi komponen penting dalam agihan bantuan musim sejuk kerana ia membolehkan keluarga membeli barangan yang paling diperlukan mengikut keperluan masing-masing.

Di Gaza, usaha menyalurkan bantuan masih berdepan pelbagai cabaran besar. Walaupun dalam keadaan yang serba mencabar, kakitangan dan rakan kerjasama kami terus menyalurkan bantuan setiap hari. Kami juga sentiasa menilai dan menambah baik proses agihan serta memantau keadaan di lapangan bagi memastikan sumbangan anda dapat disampaikan kepada mereka yang memerlukan dengan selamat dan teratur.

Dalam artikel ini, kami menjelaskan bagaimana musim sejuk menambahkan lagi beban kehidupan rakyat Palestin yang sememangnya berdepan ancaman keselamatan dan kesusahan hidup yang amat berat di Gaza, serta bagaimana anda boleh membantu mereka melalui Islamic Relief.

Mengapa musim sejuk menjadikan kehidupan keluarga di Gaza semakin sukar?

Hampir keseluruhan penduduk Gaza kini kehilangan tempat tinggal dan terpaksa berpindah. Ramai yang tinggal di dalam khemah, pusat perlindungan yang sesak atau tempat perlindungan sementara yang didirikan di sepanjang jalan raya dan kawasan pantai di wilayah itu.

Walaupun pengumuman gencatan senjata telah dibuat, keluarga di Gaza masih berdepan serangan yang berterusan, kekurangan barangan keperluan asas serta ketidaktentuan yang menyelubungi hampir setiap aspek kehidupan seharian mereka.

Musim sejuk menambahkan lagi kesukaran apabila suhu di Gaza boleh turun serendah 6 darjah Celsius pada waktu malam. Keadaan menjadi lebih sejuk dengan tiupan angin kencang dan hujan lebat. Banjir yang sering berlaku pada musim ini boleh menyebabkan khemah ditenggelami air hujan dan limpahan kumbahan. Keadaan ini menyebabkan keluarga terpaksa menghadapi kesejukan dan keadaan basah, sekali gus meningkatkan risiko mereka untuk jatuh sakit.

Israel terus mengenakan sekatan ketat terhadap kemasukan barangan ke Gaza. Akibatnya, sejumlah besar bantuan tidak dapat disalurkan kepada mereka yang paling memerlukan, sekali gus memburukkan lagi keadaan kemanusiaan ketika musim sejuk semakin menghampiri.

Keluarga di Gaza kini terpaksa berlindung di dalam khemah yang koyak dan rosak, sedangkan khemah tersebut tidak dapat digantikan kerana kemasukan bahan binaan tempat perlindungan yang lebih kukuh turut dikenakan sekatan. Bekalan elektrik di Gaza juga telah terputus, menyebabkan penduduk bergantung kepada generator sebagai sumber tenaga. Namun, kekurangan bahan api yang serius menyukarkan mereka untuk memanaskan tempat tinggal serta memastikan perkhidmatan penting seperti penjagaan kesihatan terus beroperasi. Harga minyak enjin untuk generator dilaporkan melonjak sehingga AS$900 (RM3,650) seliter.

Bagaimana Islamic Relief akan membantu penduduk Gaza menghadapi musim sejuk ini?

Bagi membantu keluarga yang terjejas membuat persediaan dan menghadapi musim sejuk, Islamic Relief akan menyalurkan bantuan tunai tanpa syarat kepada penduduk yang kehilangan tempat tinggal dan kini berlindung di pusat-pusat perlindungan di seluruh Gaza.

Bantuan tunai ini boleh digunakan untuk membeli barangan yang paling diperlukan bagi menghadapi musim sejuk, termasuk pakaian panas, bahan api untuk pemanasan seperti kayu api dan gas, pek makanan serta menampung kos rawatan perubatan.

Mengapa Islamic Relief memberi bantuan tunai?

Bantuan tunai merupakan kaedah yang berkesan, pantas dan bermaruah dalam membantu golongan yang terjejas. Ia memberi kebebasan kepada penerima untuk memilih barangan dan perkhidmatan yang paling diperlukan, sekali gus memelihara maruah mereka serta menyokong ekonomi tempatan. Di Gaza, apabila ketersediaan dan harga barangan berubah-ubah setiap hari, fleksibiliti ini amat penting.

Bantuan ini juga menyediakan sokongan kewangan yang amat diperlukan ketika krisis telah memusnahkan sumber mata pencarian penduduk dan menyebabkan kebanyakan mereka kehilangan sumber pendapatan yang stabil. Walaupun barangan masih boleh didapati di pasaran, ramai keluarga tidak mempunyai wang tunai yang mencukupi untuk membelinya.

Islamic Relief turut menyalurkan bantuan tunai menerusi program bantuan musim sejuk dan program bermusim yang lain, termasuk agihan Ramadan dan korban di pelbagai negara seluruh dunia. Namun, bantuan tunai menjadi semakin penting dalam situasi krisis, khususnya apabila pasaran tempatan dan akses kemanusiaan terjejas.

Bagaimanakah sistem bantuan tunai ini berfungsi?

Kami menggunakan sistem pembayaran elektronik untuk menyalurkan bantuan tunai terus ke dalam dompet digital penerima yang memerlukan di Gaza. Dompet digital ini berfungsi hampir sama seperti aplikasi perbankan mudah alih.

Berbanding menerima wang tunai secara fizikal melalui program agihan bantuan, penerima akan menerima jumlah bantuan yang telah diluluskan terus ke dalam dompet digital masing-masing dan dimaklumkan sebaik sahaja wang tersebut dikreditkan. Kaedah ini menjadikan proses penerimaan bantuan lebih selamat bagi golongan rentan, selain membolehkan kami memastikan bantuan disalurkan kepada penerima yang sepatutnya.

Wang yang diterima dalam dompet digital tersebut kemudiannya boleh digunakan untuk membeli barangan di pelbagai kedai dan premis perniagaan tempatan.

Adakah penerima perlu mempunyai telefon pintar untuk menerima bantuan tunai?

Ramai keluarga di Gaza tidak mempunyai telefon pintar atau akses kepada bekalan elektrik yang stabil. Oleh itu, mekanisme bantuan tunai kami direka khusus untuk beroperasi dalam keadaan kemanusiaan yang mencabar. Penerima masih boleh mengakses dompet digital tanpa memerlukan telefon pintar, sebaliknya hanya menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS).

Sistem pembayaran ini telah digunakan secara meluas oleh agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan organisasi kemanusiaan yang beroperasi di Gaza serta kawasan kecemasan lain. Hal ini kerana sistem tersebut menyediakan kaedah penyaluran bantuan yang selamat, cekap dan mudah diakses, di samping mengurangkan risiko yang berkaitan dengan agihan wang tunai secara fizikal.

Bagaimanakah Islamic Relief Menentukan Penerima Bantuan?

Di setiap lokasi operasi, termasuk Gaza, Islamic Relief sentiasa mengutamakan golongan yang paling terdedah dan memerlukan bantuan. Ini termasuk keluarga miskin, golongan terpinggir atau kurang mendapat perhatian seperti warga emas, individu kelainan upaya, ibu tunggal yang kehilangan suami, kanak-kanak yatim dan penduduk yang kehilangan tempat tinggal.

Islamic Relief merupakan sebahagian daripada sistem kluster PBB (UN Cluster System), yang memastikan penyelarasan antara organisasi kemanusiaan serta membantu mengenal pasti golongan yang paling memerlukan bantuan.

Di Gaza, apabila hampir keseluruhan penduduk berada dalam keadaan yang amat memerlukan sokongan, kami bekerjasama dengan sistem ini dan rakan kerjasama untuk mengenal pasti pusat perlindungan serta komuniti yang dijangka paling terjejas akibat keadaan cuaca musim sejuk.

Penilaian akan dijalankan dalam komuniti yang dikenal pasti bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan cara yang paling berkesan dan memberikan impak yang maksimum.

Apakah cabaran dalam menyalurkan bantuan ke Gaza ketika ini?

Walaupun penderitaan penduduk Gaza semakin meruncing, sekatan Israel masih berterusan dan terus menyekat kemasukan serta pergerakan bantuan, penduduk dan barangan keluar masuk Gaza. Sekatan ini turut melibatkan barangan keperluan asas seperti ubat-ubatan tertentu dan bahan binaan tempat perlindungan. Malah, pesakit yang memerlukan rawatan perubatan kritikal juga dihalang daripada meninggalkan Gaza untuk mendapatkan rawatan.

Sekatan terhadap bekalan bahan api turut menimbulkan cabaran besar kepada operasi hospital, sistem bekalan air dan sanitasi serta operasi kemanusiaan. Selain itu, senarai barangan dwiguna (dual-use) yang ditetapkan oleh Israel membolehkan hampir apa sahaja barangan disekat daripada memasuki Gaza. Ada kalanya, sekatan ini turut melibatkan kertas dan pensel yang diperlukan oleh kanak-kanak sekolah, serta barangan penting untuk usaha pemulihan dan pembinaan semula berskala besar.

Sekatan ketat terhadap kemasukan wang tunai ke Gaza juga telah mencetuskan krisis kecairan kewangan. Keadaan ini, ditambah pula dengan keruntuhan sektor perbankan di Gaza, menjejaskan kelancaran penyaluran bantuan kemanusiaan.

Tentera Israel turut memperluas kawalan sepenuhnya ke atas kawasan tertentu di Gaza, sekali gus menyekat operasi kemanusiaan di banyak lokasi. Pelanggaran gencatan senjata yang berterusan turut menjejaskan usaha bantuan apabila serangan terhadap orang awam masih berlaku, manakala petugas kemanusiaan terpaksa berdepan risiko keselamatan setiap hari dalam situasi yang tidak menentu.

Sejak Oktober 2023, hampir 600 petugas bantuan telah terbunuh akibat serangan Israel ke atas Gaza, menjadikan Gaza lokasi paling berbahaya di dunia untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan.

Undang-undang baharu Israel yang mengehadkan pendaftaran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa turut memberikan kesan serius terhadap usaha tindak balas kemanusiaan di Gaza.

Bagaimanakah Islamic Relief menghadapi situasi ini?

Kakitangan dan rakan kerjasama Islamic Relief di Gaza sedang melakukan segala usaha untuk memastikan bantuan terus disalurkan walaupun terpaksa beroperasi dalam keadaan yang amat sukar dan berbahaya.

Kakitangan serta rakan kerjasama kami turut berdepan cabaran yang sama seperti komuniti yang dibantu. Mereka juga kehilangan tempat tinggal, menanggung kesedihan akibat kehilangan insan tersayang dan berusaha memenuhi keperluan keluarga masing-masing.

Setiap hari, pasukan kami menyesuaikan perancangan dan aktiviti berdasarkan perkembangan keselamatan terkini serta ketersediaan barangan di pasaran tempatan.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran besar, mereka terus mencari jalan untuk memastikan bantuan keperluan asas dapat disampaikan kepada penduduk yang memerlukan sepanjang krisis ini.

Apakah yang berlaku jika perancangan program bantuan musim sejuk perlu diubah?

Perancangan kami untuk menyalurkan bantuan tunai dibuat berdasarkan situasi keselamatan, keadaan kemanusiaan dan persekitaran operasi semasa di Gaza. Namun begitu, semua faktor ini masih berubah-ubah dan sukar diramalkan.

Sekiranya berlaku perubahan ketara dalam situasi keselamatan, akses bantuan, pergerakan penduduk, keadaan pasaran atau faktor operasi lain dalam beberapa bulan akan datang, kami mungkin perlu menyesuaikan kaedah penyaluran bantuan.

Kakitangan dan rakan kerjasama kami akan terus memantau perkembangan semasa dengan teliti serta membuat sebarang penyesuaian yang diperlukan bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan selamat dan berkesan. Dalam setiap keputusan, kebajikan komuniti yang terjejas, kakitangan dan rakan kerjasama kami akan terus menjadi keutamaan.

Selain bantuan musim sejuk, apakah usaha Islamic Relief untuk membantu penduduk Palestin di Gaza?

Islamic Relief bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan antarabangsa yang lain bagi membantu penduduk Gaza yang amat memerlukan sokongan.

Antara projek utama yang dilaksanakan ialah penyediaan perkhidmatan kesihatan kepada wanita hamil, ibu yang baru melahirkan anak dan bayi mereka. Golongan wanita ini, yang kebanyakannya kehilangan tempat tinggal, menerima perkhidmatan penjagaan kesihatan antenatal, vitamin dan ubat-ubatan.

Kami turut menyokong lapan pusat pembelajaran sementara untuk kanak-kanak yang kehilangan tempat tinggal dan telah terlepas peluang mengikuti pendidikan selama beberapa tahun. Usaha ini merangkumi kerja-kerja pemulihan dan penyediaan kelengkapan pusat pembelajaran, latihan kepada guru serta sokongan psikososial kepada kanak-kanak yang mengalami trauma. Ratusan kanak-kanak di peringkat sekolah rendah dan tadika mengikuti kelas dalam pelbagai mata pelajaran.

Sumbangan anda turut membantu keluarga menghadapi krisis kekurangan makanan yang semakin meruncing. Melalui sumbangan ini, kami dapat menyediakan makanan panas kepada penduduk yang kehilangan tempat tinggal serta mengagihkan daging dalam tin kepada mereka yang memerlukan.

Selain itu, Islamic Relief turut menyokong lebih 25,000 kanak-kanak yatim dan penjaga mereka melalui bantuan tajaan berkala. Bantuan ini membolehkan mereka memenuhi keperluan asas seperti makanan, bahan untuk tempat perlindungan dan rawatan kesihatan.

Islamic Relief telah menyalurkan bantuan di Gaza sepanjang krisis ini dan menyokong rakyat Palestin yang memerlukan sejak tahun 1997. Kami juga terus memperjuangkan masa depan yang adil untuk rakyat Palestin serta menuntut agar pendudukan haram Israel ditamatkan. Pendudukan ini menjadi punca kemiskinan dan ketidakadilan, selain merampas maruah serta hak asasi penduduk Palestin.

Bagaimanakah saya boleh membantu Gaza?

Salurkan sumbangan anda kepada tabung Rayuan Palestin (Palestine Appeal) hari ini. Walaupun berdepan pelbagai cabaran besar, sumbangan anda melalui Islamic Relief tetap menjadi talian hayat kepada penduduk Gaza yang amat memerlukan bantuan.

Islamic Relief Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan rasmi dengan mana-mana laman web pihak luar dan tidak bertanggungjawab terhadap kandungan atau pautan pada laman web yang bukan milik atau dikendalikan oleh Islamic Relief Malaysia. Islamic Relief Malaysia mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa untuk menjalankan kutipan sumbangan. Setiap sumbangan dalam talian melalui Perbankan Internet akan dikenakan caj transaksi sebanyak RM0.55, tertakluk kepada terma dan caj yang ditetapkan oleh penyedia perkhidmatan pembayaran. Sumbangan yang dibuat melalui saluran ini tidak layak menerima resit Pengecualian Cukai, melainkan dinyatakan sebaliknya. Kami menghargai sokongan dan kepercayaan berterusan anda terhadap Islamic Relief Malaysia.

© Copyright 2026 Islamic Relief Malaysia. All rights reserved | Company Reg No: 200401018851 (657354-W)

JOM MENYUMBANG