Setahun selepas gencatan senjata berkuat kuasa, Gaza masih menjadi tempat paling berbahaya di dunia bagi kanak-kanak. Program Tajaan Anak Yatim Islamic Relief menjadi talian hayat kepada kanak-kanak yang memerlukan bantuan.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hampir 42,000 penduduk Gaza mengalami kecederaan yang mengubah kehidupan mereka akibat konflik. Satu daripada setiap empat mangsa ialah kanak-kanak.

Yasmeen amat memahami realiti ini.

Pada usia baru 10 tahun, dia telah melalui kehilangan dan penderitaan yang begitu besar. Ayahnya meninggal dunia akibat serangan jantung ketika Yasmeen masih bayi. Sejak itu, keluarganya terpaksa menjalani kehidupan yang dipenuhi bunyi letupan dan perpindahan berulang kali. Mereka terpaksa meninggalkan rumah keluarga dan berlindung di sebuah khemah yang sudah usang

Ketika serangan Israel ke atas Gaza, Yasmeen mengalami kecederaan serius pada mata kanannya sehingga menyebabkan kerosakan kekal.

Dia juga tidak dapat kembali bersekolah kerana tiada sekolah atau pusat pembelajaran sementara yang beroperasi berhampiran tempat tinggalnya. Pada masa yang sama, kecederaan itu turut memberi kesan besar terhadap emosinya dan membuatkan Yasmeen semakin kurang yakin dengan dirinya sendiri.

“Saya berharap saya mati daripada terpaksa kelihatan seperti ini,” kata Yasmeen.

“Setiap hari saya hanya duduk, meratapi nasib diri dan menangis. Saya rasa seperti sudah menjadi beban kepada ibu dan adik-beradik saya. Dahulu, saya membantu ibu membersihkan dan mengemas rumah, tetapi sekarang saya tidak lagi mampu melakukannya kerana kecederaan ini.

“Saya cuba menerima bahawa mungkin sudah ditakdirkan saya cedera ketika berada di dalam khemah yang menjadi tempat perlindungan kami.”

Kesan psikologi akibat keganasan

Trauma yang dialami oleh kanak-kanak di Gaza berkemungkinan akan kekal sepanjang hayat mereka.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kesan terhadap kesihatan mental di Gaza telah merentas generasi sehingga mewujudkan satu keadaan psikologi yang tersendiri akibat pendudukan, apabila kebebasan kanak-kanak untuk bermain, berimaginasi, berharap dan membentuk identiti semakin terhakis.

Kesan itu jelas dapat dilihat pada Yasmeen. Ibunya, Heba, berkata:

“Kehilangan ayahnya memang sukar, tetapi melihat anak perempuan saya berada dalam keadaan begini lebih menyakitkan. Kecederaan Yasmeen telah memberi kesan besar kepada kami semua. Keadaan fizikal dan emosinya semakin merosot.”

Heba sendiri turut mengalami kecederaan sehingga menyukarkannya berjalan dalam jarak yang jauh. Salah seorang abang Yasmeen, Ahmad, juga mengalami kecederaan pada tangan dan kini tidak lagi mampu membawa atau mengangkat barang berat.

Seluruh keluarga itu telah menerima kesan daripada konflik tersebut.

“Namun, saya masih rasa sayalah yang paling teruk terkesan,” kata Yasmeen.

“Penampilan saya sudah berubah dan mata saya rosak. Sekarang saya tidak sanggup berjumpa dengan sesiapa. Saya malah mengelak daripada duduk bersama keluarga sendiri kerana kecederaan ini sentiasa menghantui saya.”

Sokongan yang diperluas

Dengan begitu ramai kanak-kanak di Gaza memerlukan bantuan, Islamic Relief telah memperluas Program Tajaan Anak Yatim dengan ketara sejak konflik semakin memuncak pada Oktober 2023.

Sebelum Oktober 2023, program ini membantu sekitar 8,700 kanak-kanak. Kini, lebih 25,000 kanak-kanak di Gaza menerima bantuan kemanusiaan penting melalui program tersebut, termasuk Yasmeen dan keluarganya.

Bantuan itu telah membantu Yasmeen, Heba dan ahli keluarga mereka yang lain.

“Saya berterima kasih kepada semua yang telah membantu kami sebelum dan selepas perang,” kata Heba.

Selama tiga dekad, Islamic Relief telah membantu anak-anak yatim di Gaza melalui program tajaan.

Program Tajaan Anak Yatim kami masih menjadi antara beberapa cara yang ada untuk memastikan bantuan sebenar sampai terus kepada keluarga Palestin yang sedang menderita.

Islamic Relief menyediakan bantuan kewangan bulanan yang disalurkan terus kepada keluarga.

Bantuan itu diberikan tanpa syarat, membolehkan keluarga menggunakan wang tersebut untuk membeli keperluan yang paling mereka perlukan apabila barangan itu tersedia.

Heba menggunakan bantuan tersebut untuk membeli makanan serta bahan pemanas bagi keluarganya.

Namun bagi Yasmeen, hanya ada satu perkara yang benar-benar diharapkan oleh ibunya.

“Segala yang saya pinta dalam hidup ini hanyalah untuk melihat anak perempuan saya kembali menjalani kehidupan seperti biasa.”

Jadilah talian hayat buat anak-anak yatim di Gaza. Taja anak yatim hari ini.

Islamic Relief Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan rasmi dengan mana-mana laman web pihak luar dan tidak bertanggungjawab terhadap kandungan atau pautan pada laman web yang bukan milik atau dikendalikan oleh Islamic Relief Malaysia. Islamic Relief Malaysia mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa untuk menjalankan kutipan sumbangan. Setiap sumbangan dalam talian melalui Perbankan Internet akan dikenakan caj transaksi sebanyak RM0.55, tertakluk kepada terma dan caj yang ditetapkan oleh penyedia perkhidmatan pembayaran. Sumbangan yang dibuat melalui saluran ini tidak layak menerima resit Pengecualian Cukai, melainkan dinyatakan sebaliknya. Kami menghargai sokongan dan kepercayaan berterusan anda terhadap Islamic Relief Malaysia.

© Copyright 2026 Islamic Relief Malaysia. All rights reserved | Company Reg No: 200401018851 (657354-W)

JOM MENYUMBANG