Layari laman ini dan buat sumbangan sekarang !
Air bersih merupakan keperluan asas yang penting untuk kesihatan, kebersihan dan kelangsungan hidup. Namun, bagi jutaan penduduk di Bangladesh, mendapatkan sumber air yang selamat masih menjadi cabaran akibat pencemaran air bawah tanah, perubahan iklim, banjir bermusim dan kekurangan infrastruktur bekalan air.
Menyedari kepentingan akses kepada air bersih, Islamic Relief Malaysia telah melaksanakan projek Facilitating Water Access in Northern Bangladesh (FWAB) bagi membantu komuniti di beberapa kawasan sekitar Mymensingh dan Modhupur, Daerah Tangail mendapatkan bekalan air yang lebih selamat dan mampan.
Sejak tahun 2020, projek ini dilaksanakan secara berfasa dengan memberi tumpuan bukan sahaja kepada penyediaan kemudahan air, malah memperkasakan komuniti melalui latihan penyelenggaraan, pendidikan kebersihan dan pembangunan kapasiti agar manfaat yang disalurkan dapat dinikmati dalam jangka masa panjang.
Seorang wanita mengambil air daripada sumber air tercemar untuk kegunaan harian
Walaupun Bangladesh mempunyai rangkaian sungai yang luas, ramai penduduk di kawasan luar bandar masih menghadapi kesukaran mendapatkan air minuman yang selamat.
Antara cabaran utama yang dihadapi ialah pencemaran arsenik dalam air bawah tanah, pencemaran bakteria akibat sistem sanitasi yang kurang sempurna, banjir bermusim yang menjejaskan sumber air, serta kesan perubahan iklim yang menyebabkan kemasinan air di sesetengah kawasan.
Menurut UNICEF, hanya sekitar 39.3% penduduk Bangladesh mempunyai akses kepada air minuman yang diuruskan secara selamat. Keadaan ini meningkatkan risiko penyakit bawaan air dan memberi kesan kepada kesihatan, pendidikan serta kesejahteraan masyarakat.
Atas sebab itu, penyediaan akses kepada air bersih menjadi antara usaha penting dalam meningkatkan kualiti hidup komuniti yang memerlukan.
Sepanjang pelaksanaan projek FWAB dari tahun 2020 hingga 2025, Islamic Relief Malaysia telah melaksanakan lima fasa projek di beberapa lokasi sekitar Kuragacha, Aushnara dan Veribait di Mymensingh dan Modhupur, Daerah Tangail.
Melalui projek ini, sebanyak:
Sepanjang lima tahun pelaksanaannya, FWAB turut berkembang mengikut keperluan komuniti. Pada tahun 2020, projek memberi tumpuan kepada pemasangan telaga air cetek (tube well) serta latihan kepada penjaga telaga dan program kesedaran kebersihan. Pelaksanaan diteruskan pada 2022 dengan penambahan telaga air dan latihan penyelenggaraan kepada komuniti setempat. Menjelang 2025, projek diperluaskan melalui pembinaan telaga air yang lebih dalam (deep set pumps) bagi meningkatkan akses kepada sumber air yang lebih selamat di kawasan yang memerlukan.
Penduduk mengambil air dari sebuah telaga air sumbangan rakyat Malaysia
Akses kepada air bersih membawa perubahan yang besar kepada kehidupan masyarakat. Bagi banyak keluarga, kemudahan yang disediakan melalui FWAB mengurangkan kebergantungan kepada sumber air yang tercemar dan memudahkan mereka mendapatkan bekalan air untuk kegunaan harian.
Pada masa yang sama, latihan kepada penjaga telaga air dan pembangunan kapasiti komuniti membantu memastikan setiap kemudahan dapat diselenggara dengan baik, sekali gus meningkatkan kelestarian projek untuk jangka masa panjang.
Program promosi kebersihan yang dilaksanakan turut meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan amalan kebersihan diri, penggunaan air yang selamat dan pencegahan penyakit bawaan air, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan komuniti secara menyeluruh.
Akses kepada air bersih bukan sekadar memenuhi keperluan untuk minum. Ia menyokong kesihatan, kebersihan, pendidikan dan kesejahteraan masyarakat, sekali gus membantu komuniti membina kehidupan yang lebih selamat dan bermaruah.
Melalui sokongan para penyumbang melalui Kempen Dana Wakaf Sistem Air (DWAS), Islamic Relief Malaysia akan terus berusaha memperluaskan akses kepada air bersih bagi komuniti yang memerlukan. Setiap sumbangan yang disalurkan bukan sahaja membantu menyediakan kemudahan air, malah menjadi pelaburan jangka panjang dalam membina masa depan yang lebih baik untuk ribuan keluarga di Bangladesh.
Islamic Relief Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan rasmi dengan mana-mana laman web pihak luar dan tidak bertanggungjawab terhadap kandungan atau pautan pada laman web yang bukan milik atau dikendalikan oleh Islamic Relief Malaysia. Islamic Relief Malaysia mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa untuk menjalankan kutipan sumbangan. Setiap sumbangan dalam talian melalui Perbankan Internet akan dikenakan caj transaksi sebanyak RM0.55, tertakluk kepada terma dan caj yang ditetapkan oleh penyedia perkhidmatan pembayaran. Sumbangan yang dibuat melalui saluran ini tidak layak menerima resit Pengecualian Cukai, melainkan dinyatakan sebaliknya. Kami menghargai sokongan dan kepercayaan berterusan anda terhadap Islamic Relief Malaysia.