Ketika rakyat Palestin memperingati 300 hari ‘mimpi ngeri’ sejak peningkatan konflik bermula di Gaza, seorang petugas bantuan Islamic Relief berkongsi tentang ketakutan, trauma dan harapan yang semakin pudar.

Sudah 300 hari mimpi ngeri ini berterusan. Bolehkah anda bayangkan bagaimana rasanya terperangkap dalam mimpi yang mengerikan, walaupun hanya untuk beberapa minit? Kami, rakyat Palestin di Gaza, telah melalui perasaan itu selama 300 hari.

Siang dan malam kami lalui dengan perasaan seolah-olah kematian sentiasa berada di depan mata. Saya sentiasa terfikir bahawa serangan udara mungkin menimbus saya di bawah runtuhan. Saya juga bimbang seluruh keluarga saya akan terkorban dan rumah kami akan musnah.

Selama 300 hari yang amat mengerikan ini, saya hidup dalam trauma, dibelenggu ketakutan dan penuh kesedihan. Saya tidak lagi mampu menjalani kehidupan seperti manusia biasa. Malah, untuk bernafas dengan tenang pun terasa sukar.

Saya tidak tahu bagaimana hendak menggambarkan segala kengerian yang kami lalui sepanjang tempoh ini. Tidak kira bagaimana saya cuba menyusun kata-kata, saya tetap gagal untuk menjelaskan keadaan sebenar di Gaza. Apa yang berlaku di sini sukar untuk dibayangkan.

Detik terakhir Mohammed Bhar yang menyayat hati

Kisah terbaru yang amat menyayat hati ialah tentang Mohammed Bhar, seorang pemuda sindrom Down dan autisme, yang telah menerima tajaan daripada Islamic Relief sejak beliau masih bayi.

Mohammed mungkin tidak benar-benar memahami apa yang sedang berlaku ketika seekor anjing tempur yang dibawa oleh tentera Israel ke rumah keluarganya di Gaza mula menyerangnya.

Menurut laporan, ketika anjing itu menyerang Mohammed, beliau menjerit sambil mengusap kepala haiwan tersebut dan merayu, “Khalas, ya habibi” yang bermaksud “Cukuplah, sayang.”

Selepas tentera Israel memaksa keluarganya keluar dari rumah dengan ancaman senjata, Mohammed meninggal dunia sendirian akibat kecederaannya. Jasadnya yang berlumuran darah ditinggalkan di lantai sehingga ahli keluarganya yang berduka akhirnya dapat kembali dan menemukannya.

Ya Allah, saya tidak dapat membayangkan bagaimana perasaan ibunya ketika menunggu  tentera berundur dari kawasan itu, mengetahui Mohammed bersendirian dan tidak tahu sama  ada anaknya masih hidup atau sudah meninggal dunia.

Keluarga Palestin berdepan keadaan yang amat kejam di Gaza

Di sini, terlalu banyak kisah yang penuh kesedihan dan penderitaan.

Sebagai contoh, kakak ipar saya tinggal di Kem Pelarian Al Burej. Keluarganya telah diarahkan berpindah, tanpa diberikan tempat tertentu untuk dituju. Ini adalah kali ketiga atau keempat mereka terpaksa berpindah.

Keadaan itu sangat sukar bagi mereka. Bapa mertuanya baru-baru ini kehilangan sebelah kaki akibat serangan udara, manakala ibu mertuanya pula mengalami masalah jantung.

Penduduk tidak tahu apa yang patut dibawa bersama. Bagaimana mereka hendak memilih antara barangan yang mempunyai nilai sentimental, pakaian dan harta benda lain?

Penduduk sudah terlalu penat untuk memulakan semula kehidupan berulang kali. Mereka hanya mahu berehat.

Perang ini bukan sahaja pertempuran antara tentera. Ia adalah perang yang menyasarkan kehidupan rakyat, termasuk makanan, tempat perlindungan, bekalan air, pakaian, ubat-ubatan dan tanah mereka.

Sepanjang 300 hari lalu, kami telah menyaksikan keadaan yang amat kejam.

Anak-anak saya kehilangan keseluruhan tahun persekolahan mereka. Sekolah mereka sedang dimusnahkan. Baru-baru ini saya menonton sebuah video yang menunjukkan sebuah sekolah diletupkan menggunakan dinamit. Mengapa? Berapa lama lagi anak-anak saya perlu dinafikan hak untuk mendapatkan pendidikan?

Bagaimana pula dengan perkhidmatan kesihatan?

Bapa kepada seorang rakan saya mempunyai masalah berkaitan darah, tetapi doktor tidak dapat membuat diagnosis kerana peralatan untuk menjalankan biopsi tidak tersedia di Gaza.  Tiada sesiapa dibenarkan keluar dari Gaza untuk mendapatkan rawatan, manakala bekalan perubatan pula tidak dibenarkan masuk.

Beliau seolah-olah sedang berdepan hukuman mati, yang hanya dapat ditangguhkan buat sementara waktu melalui rawatan sementara yang menyakitkan, sambil terus menunggu dengan penuh harapan untuk mendapatkan diagnosis.

Tentera Israel sengaja menghalang penduduk daripada mendapatkan penjagaan kesihatan.  Mereka sengaja menyekat makanan daripada sampai kepada penduduk di utara, menghalang kemasukan vaksin ke Gaza sehingga polio boleh merebak, serta menyekat keluarga daripada mendapatkan bekalan air.

“Saya bimbang Gaza tidak akan pulih daripada 300 hari  kesedihan dan trauma ini”

Apa sebenarnya yang sedang berlaku? Mengapa dunia terus berdiam diri? Saya benar-benar tidak memahaminya.

Saya telah hilang kepercayaan terhadap dunia yang membiarkan segala kekejaman dan ketidakadilan ini terus berlaku. Saya mula merasakan bahawa kematian mungkin satu satunya peluang untuk benar-benar berehat.

Maafkan saya, para pembaca yang dihormati, kerana berkongsi segala kesedihan dan penderitaan ini dengan anda. Namun, saya tidak mampu menulis sesuatu yang baik tentang kehidupan kami di Gaza pada masa ini.

Ya, kami masih menyayangi satu sama lain. Kami masih ketawa, berpakaian, keluar dan cuba membantu mereka yang memerlukan kami. Tetapi di dalam diri, kami telah hancur. Kami mengalami trauma dan luka yang mungkin tidak akan dapat dipulihkan sepenuhnya.

Walaupun perang berhenti sekarang, kami tidak akan pernah kembali seperti dahulu.

Seperti yang pernah saya katakan kepada isteri, kehidupan lama kami sudah hilang buat selama-lamanya. Saya memberitahunya bahawa saya mula melupakan rutin harian yang begitu biasa bagi kami hanya lebih 300 hari lalu.

Saya sudah lupa pukul berapa kami biasanya bangun pada waktu pagi. Saya tidak lagi ingat minyak wangi kegemaran atau pakaian terbaik saya. Isteri saya pernah mengingatkan, “Awak ada baju-T hijau yang nampak cantik bila awak pakai,” tetapi saya sendiri sudah ttidak mengingatinya

Saya juga tidak lagi dapat mengingati restoran yang kami gemari atau tempat yang menjual makanan jalanan yang sedap. Bandar yang saya cintai semakin hilang daripada ingatan, manakala impian untuk kembali ke rumah terasa semakin jauh.

Apa yang kami mahukan hanyalah untuk berehat. Untuk menarik nafas. Untuk memutuskan kitaran ini. Untuk menghentikan perang.

Bantulah Islamic Relief untuk membantu mereka yang amat memerlukan di Gaza.  Sumbang kepada Rayuan Palestin kami sekarang.

*Blog ini tidak mendedahkan identiti penulis bagi melindungi keselamatan rakan sekerja kami serta individu lain yang disebut. Baca blog lain dalam siri ini di sini.

Islamic Relief Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan rasmi dengan mana-mana laman web pihak luar dan tidak bertanggungjawab terhadap kandungan atau pautan pada laman web yang bukan milik atau dikendalikan oleh Islamic Relief Malaysia. Islamic Relief Malaysia mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa untuk menjalankan kutipan sumbangan. Setiap sumbangan dalam talian melalui Perbankan Internet akan dikenakan caj transaksi sebanyak RM0.55, tertakluk kepada terma dan caj yang ditetapkan oleh penyedia perkhidmatan pembayaran. Sumbangan yang dibuat melalui saluran ini tidak layak menerima resit Pengecualian Cukai, melainkan dinyatakan sebaliknya. Kami menghargai sokongan dan kepercayaan berterusan anda terhadap Islamic Relief Malaysia.

© Copyright 2026 Islamic Relief Malaysia. All rights reserved | Company Reg No: 200401018851 (657354-W)

JOM MENYUMBANG