BANGLADESH, 21 Jun 2024 – Islamic Relief sedang melaksanakan tindak balas kecemasan susulan banjir teruk yang melanda timur laut Bangladesh, sehingga menenggelamkan kawasan  penempatan dan menyebabkan ramai keluarga kehilangan tempat tinggal.

Hujan lebat dan banjir kilat sejak tiga hari lalu telah menjejaskan kira-kira 1.6 juta penduduk di daerah Sylhet, Sunamganj dan Moulvibazar.

Hampir 75 peratus daerah Sylhet kini dinaiki air, manakala lebih separuh kawasan tanaman dan sawah padi turut ditenggelami banjir. Keadaan ini memberi ancaman serius terhadap keselamatan makanan masyarakat setempat.

“Banyak keluarga, termasuk kanak-kanak kecil dan warga emas, kini terpaksa tidur di kawasan terbuka di tepi jalan dengan hanya beralaskan kepingan plastik untuk melindungi diri daripada hujan lebat. Rumah mereka telah dihanyutkan dan mereka amat memerlukan makanan, tempat perlindungan serta bantuan lain,” kata Enamul Haque, Pengurus Program Islamic Relief di Bangladesh.

Operasi Islamic Relief turut terjejas akibat banjir, termasuk sebuah pejabat yang dinaiki air setinggi dua kaki. Walaupun berdepan cabaran, Islamic Relief sedang membuat persediaan untuk mengagihkan makanan kering, kit kebersihan bagi membantu mencegah penyakit bawaan air serta bantuan tunai untuk keperluan asas.

Pada peringkat awal, bantuan akan disalurkan kepada 5,000 penduduk yang kehilangan tempat tinggal, dengan perancangan untuk memperluaskan bantuan kepada lebih ramai mangsa dalam beberapa hari dan minggu akan datang.

Kira-kira 30,000 penduduk telah berpindah ke pusat perlindungan di Sylhet dan Sunamganj, dan jumlah itu dijangka terus meningkat. Secara keseluruhan, seramai 825,000 penduduk terjejas di Sylhet, 650,000 di Sunamganj dan 193,000 di Moulvibazar.

Banjir dijangka berterusan untuk beberapa minggu akan datang berikutan aliran air dari kawasan hulu di India.

Bencana ini berlaku tidak lama selepas Taufan Remal yang turut memusnahkan ribuan kediaman di Bangladesh. Islamic Relief komited untuk terus menyalurkan bantuan kecemasan dan sokongan kepada komuniti yang terjejas, dengan menyesuaikan usaha  bantuan mengikut keperluan semasa mereka.

Islamic Relief Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan rasmi dengan mana-mana laman web pihak luar dan tidak bertanggungjawab terhadap kandungan atau pautan pada laman web yang bukan milik atau dikendalikan oleh Islamic Relief Malaysia. Islamic Relief Malaysia mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa untuk menjalankan kutipan sumbangan. Setiap sumbangan dalam talian melalui Perbankan Internet akan dikenakan caj transaksi sebanyak RM0.55, tertakluk kepada terma dan caj yang ditetapkan oleh penyedia perkhidmatan pembayaran. Sumbangan yang dibuat melalui saluran ini tidak layak menerima resit Pengecualian Cukai, melainkan dinyatakan sebaliknya. Kami menghargai sokongan dan kepercayaan berterusan anda terhadap Islamic Relief Malaysia.

© Copyright 2026 Islamic Relief Malaysia. All rights reserved | Company Reg No: 200401018851 (657354-W)

JOM MENYUMBANG