Layari laman ini dan buat sumbangan sekarang !
Menurut Islamic Relief, kira-kira 1 daripada setiap 25 rakyat Palestin di Gaza kini sama ada terbunuh atau cedera, disebabkan pengeboman Israel yang terus berlaku tanpa henti.
Angka terkini menunjukkan kira-kira 89,000 orang telah menjadi mangsa, termasuk lebih 25,000 yang terkorban dan lebih 63,000 yang mengalami kecederaan. Ramai daripada mereka mengalami kecederaan yang mengubah kehidupan, termasuk kehilangan anggota badan. Kebanyakan yang terjejas adalah orang awam, termasuk kanak-kanak.
Namun, angka sebenar mungkin jauh lebih tinggi kerana masih terdapat mangsa yang dipercayai terperangkap dan belum ditemukan di bawah runtuhan.
Ramai yang cedera tidak mendapat akses kepada penjagaan kesihatan yang sewajarnya. Kurang daripada separuh hospital di Gaza kini hanya mampu beroperasi dengan apa yang ada.
Terdapat laporan bahawa doktor terpaksa melakukan amputasi tangan dan kaki kanak-kanak tanpa ubat bius akibat kekurangan kritikal ubat-ubatan dan bekalan perubatan. Mangsa lain pula dilaporkan meninggal dunia akibat kehilangan darah di jalanan kerana tidak dapat menerima rawatan.
Gabungan pengeboman besar-besaran, penularan penyakit dan kelaparan, bermakna angka kematian akan terus meningkat sekiranya pemimpin dunia tidak bertindak untuk menuntut gencatan senjata segera serta menamatkan sekatan Israel.
Ratusan ribu lagi penduduk berdepan ancaman kebuluran apabila sumber pengeluaran makanan tempatan telah musnah, manakala jumlah makanan yang dibenarkan masuk ke Gaza masih jauh daripada mencukupi.
Petugas bantuan melaporkan terdapat kanak-kanak yang terdesak sehingga terpaksa memakan daun atau sisa makanan yang ditemukan di tepi-tepi jalan.
Seramai 1.7 juta penduduk telah kehilangan tempat tinggal dan kebanyakan mereka kini berhimpit di kawasan kecil di selatan Gaza. Pusat-pusat perlindungan semakin menjadi tempat yang berbahaya apabila penyakit merebak dengan pantas. Keadaan yang terlalu sesak serta kekurangan air bersih menyebabkan kes penyakit seperti jaundis, Hepatitis A dan cirit-birit meningkat dengan mendadak, khususnya dalam kalangan kanak-kanak.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah merekodkan hampir suku juta kes jangkitan pernafasan akut, yang kini menjejaskan 1 daripada setiap 10 penduduk di seluruh Gaza.
Walaupun berdepan bencana kemanusiaan yang besar, jumlah bantuan yang memasuki Gaza sebenarnya semakin berkurangan sejak beberapa hari kebelakangan ini apabila Israel terus mengenakan sekatan terhadap barangan yang dibenarkan masuk. Kebanyakan bekalan untuk penduduk di utara Gaza turut dihalang daripada dihantar.
Sebelum kemusnahan terkini, kira-kira 500 trak memasuki Gaza setiap hari. Kini, keperluan penduduk jauh lebih besar, namun sepanjang Januari hanya sekitar 100 trak sehari dibenarkan masuk, malah jumlah harian terkini menurun kepada hanya 66 trak.
Islamic Relief terus mengagihkan makanan sedia dimakan setiap hari kepada penduduk di pusat perlindungan dan setakat ini telah mengagihkan lebih 1 juta hidangan panas.
Bantuan lain turut disediakan, termasuk kit kebersihan serta sokongan psikososial kepada kanak-kanak.
Skala krisis yang begitu besar bermakna lebih banyak bantuan masih diperlukan.
Islamic Relief Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan rasmi dengan mana-mana laman web pihak luar dan tidak bertanggungjawab terhadap kandungan atau pautan pada laman web yang bukan milik atau dikendalikan oleh Islamic Relief Malaysia. Islamic Relief Malaysia mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa untuk menjalankan kutipan sumbangan. Setiap sumbangan dalam talian melalui Perbankan Internet akan dikenakan caj transaksi sebanyak RM0.55, tertakluk kepada terma dan caj yang ditetapkan oleh penyedia perkhidmatan pembayaran. Sumbangan yang dibuat melalui saluran ini tidak layak menerima resit Pengecualian Cukai, melainkan dinyatakan sebaliknya. Kami menghargai sokongan dan kepercayaan berterusan anda terhadap Islamic Relief Malaysia.