KOTA KINABALU, 29 Januari 2022 – Galakan mengajak masyarakat khususnya generasi muda untuk menyertai aktiviti kesukarelawanan perlu dipertingkatkan kerana ia memainkan peranan penting dalam melahirkan komuniti berempati juga prihatin akan nasib orang lain.

Justeru, pertubuhan bukan kerajaaan (NGO) Myamal dengan kerjasama Islamic Relief Malaysia dan Malaysian Relief Agency (MRA) Sabah telah menganjurkan program Malam Aspirasi Sukarelawan di Raia Hotel, Kota Kinabalu, Sabah bagi meraikan para sukarelawan yang banyak membantu dan menyokong usaha ketiga-tiga NGO terlibat dalam menyantuni penerima manfaat di Sabah.

Datuk Saifulzaman Sangul, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), yang juga merangkap penasihat pertubuhan Myamal berkata, program kesukarelawanan dan kemanusiaan yang dijalankan tidak hanya berperanan untuk menyantuni golongan memerlukan, malahan boleh menjadi platform untuk mewujudkan keharmonian antara semua bangsa dan suku kaum.

“Dunia kemanusiaan dan kesukarelawanan juga boleh mengeratkan kasih-sayang sesama manusia. Apabila kasih-sayang sudah terjalin, keamanan sejagat pasti bukan sesuatu yang mustahil untuk dicapai.

“Dari sudut penglibatan generasi muda pula, ia boleh menjadi medan untuk mereka mengukuhkan nilai kemanusiaan dan menonjolkan potensi diri sebagai persediaan menempuh alam kerjaya,” tambah Datuk Saifulzaman.

Turut hadir dalam program aspirasi sukarelawan ini ialah Datuk Jahid Jahim, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah dan Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia, Diana Amir.

“Memandangkan kerja-kerja kesukarelawanan bukan tugas mudah kerana menuntut pengorbanan masa, keluarga dan wang ringgit, namun percayalah dengan janji Allah. Kecil atau besar usaha yang kita lakukan dalam membantu insan-insan memerlukan semuanya Allah akan hitung sebagai saham akhirat kita kelak. Jadi, sama-samalah kita terus istiqamah dan ikhlas dalam melakukan kerja-kerja kebajikan tanpa mengharap sebarang balasan.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana keluarga saya sentiasa memahami dan menyokong minat saya untuk terlibat dalam kerja-kerja kemanusiaan. Saya sentiasa percaya, jika kita pasang niat baik untuk keluar membantu orang, pasti Allah akan jaga keluarga kita. Allah akan lindungi mereka yang kita sayang,” kata Diana Amir.

Tambah Diana, sama-samalah kita terus memberi galakan serta mesej positif kepada golongan muda untuk terlibat dalam dunia kesukarelawanan kerana merekalah penyambung legasi negara yang akan terus mempertahankan keamanan dan perpaduan Malaysia dalam konteks masyarakat berbilang kaum.

Islamic Relief Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan rasmi dengan mana-mana laman web pihak luar dan tidak bertanggungjawab terhadap kandungan atau pautan pada laman web yang bukan milik atau dikendalikan oleh Islamic Relief Malaysia. Islamic Relief Malaysia mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa untuk menjalankan kutipan sumbangan. Setiap sumbangan dalam talian melalui Perbankan Internet akan dikenakan caj transaksi sebanyak RM0.55, tertakluk kepada terma dan caj yang ditetapkan oleh penyedia perkhidmatan pembayaran. Sumbangan yang dibuat melalui saluran ini tidak layak menerima resit Pengecualian Cukai, melainkan dinyatakan sebaliknya. Kami menghargai sokongan dan kepercayaan berterusan anda terhadap Islamic Relief Malaysia.

© Copyright 2026 Islamic Relief Malaysia. All rights reserved | Company Reg No: 200401018851 (657354-W)

JOM MENYUMBANG