Islamic Relief Malaysia (IRM) dengan kerjasama Telekom Malaysia Berhad (TM) hari ini melancarkan Projek Rumah Besar bagi memberi peluang kepada pelajar Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) untuk menimba ilmu kemahiran baru.

Bertempat di Dewan Besar SBJK, majlis pelancaran itu telah disempurnakan oleh. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Sulaiman Mahbob, Pengerusi TM bersama Tn. Hj. Zairulshafuddin Zainal Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif IRM dan Zaid Al-Rawni, Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Canada.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Zulkernai Fauzi, Pengetua SBJK dan Izlyn Ramli, Naib Presiden, Jenama & Komunikasi TM.

Projek pembangunan komuniti golongan gelandangan ini mula diperkenalkan oleh IRM pada penghujung tahun 2016 dengan memberi penekanan terhadap pembangunan kemahiran multimedia.

Ini adalah berdasarkan daripada kaji selidik yang dibuat melalui beberapa program bersama golongan tersebut.

“IRM memandang serius terhadap aspek pendidikan kanak-kanak di negara ini. Ini disebabkan kerana pendidikan adalah hak milik setiap insan. Dengan cabaran teknologi pada zaman kini, amat penting bagi pelajar-pelajar ini mempunyai ilmu terhadap kemahiran multimedia agar lebih berdaya saing,” kata Zairulshahfuddin.

Projek Rumah Besar

IRM telah bekerjasama dengan TM untuk menjayakan program ini bagi membangunkan potensi pelajar terutamanya dalam kemahiran fotografi dan videografi, dengan harapan agar manfaat yang diperolehi dapat membuka peluang kerjaya dan perniagaan di masa hadapan.

Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob berkata: “Inisiatif ini adalah usaha pihak Syarikat dalam memberi kembali kepada kumpulan masyarakat yang memerlukan dengan menyediakan platform pendidikan kepada mereka agar pelajar-pelajar ini mempunyai asas dan kemahiran dalam bidang pendidikan terutamanya bidang komputer dan teknikal. Program ini disasarkan kepada mewujudkan kesedaran kepentingan pencapaian akademik dan bidang kemahiran bagi memberi mereka peluang untuk menikmati masa depan yang lebih baik.

“Program ini merupakan sebahagian daripada keseluruhan inisiatif Tanggungjawab Korporat TM yang berlandaskan pendekatan kepada aspek pendidikan dan ini merupakan satu daripada tiga aspek yang ditekankan selain daripada Pembinaan Masyarakat dan Negara serta Alam Sekitar.” Melihat kepada kepentingan sektor pendidikan, IRM mengambil inisiatif untuk melaksanakan projek ini bagi tujuan menggilap bakat 20 orang pelajar SBJK untuk menguasai teknologi multimedia.

Di bawah projek ini, dua kelas kemahiran disediakan iaitu fotografi dan videografi. Kelas ini diadakan setiap hari Selasa bermula dari jam 2 petang hingga 4 petang.

Dua orang tenaga pengajar profesional telah dipilih untuk mengajar kelas-kelas kemahiran tersebut di mana setiap kelas terdiri daripada 10 orang pelajar.

Pelajar-pelajar ini akan mengikuti kelas selama tiga bulan untuk setiap semester sebelum satu pameran seni diadakan bagi mengumpul hasil pembelajaran mereka.

Melalui projek ini, IRM berhasrat untuk mewujudkan sebuah produksi Rumah Besar yang mampu menghasilkan filem pendek dan bahan-bahan cetak seperti risalah, poster, majalah dan lain-lain.

Projek ini dilihat dapat menjadi perintis kepada program-program lain yang boleh dilaksanakan bersama dengan golongan yang terlibat. Ini sekaligus dapat menyediakan mereka bagi menghadapi masa hadapan yang lebih cerah.

Mengenai SBJK

SBJK merupakan inisiatif Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) terhadap keperluan meneruskan usaha memberikan akses pendidikan kepada kanak-kanak dan remaja jalanan di sekitar Kuala Lumpur berumur dari 4 hingga 19 tahun.

Penubuhan sekolah ini adalah selari dengan piagam United Nations Convention on the Right of the Child (UNCRC) dan konsep Education for All oleh United Nations Educational, Scientific and Cultural Organisation (UNESCO).

SBJK mula beroperasi sejak 19 Ogos 2013 berdasarkan pelaksanaan pendidikan alternatif. Antara objektif penubuhan; menyediakan akses pendidikan formal dalam persekitaran kondusif bagi kanak-kanak jalanan dan terpinggir, mengurangkan kadar keciciran dalam kalangan penduduk Malaysia, memberi peluang membentuk laluan kerjaya kepada kanak-kanak jalanan dan terpinggir, membina insan berilmu, berkemahiran dan boleh berdikari.

IRM sebelum ini telah mendapat kerjasama SBJK untuk melaksanakan beberapa program seperti pemeriksaan kesihatan, aktiviti psikososial – Berjaya Raya serta penyerahan sumbangan pek makanan.

Untuk Pertanyaan Media
Sebarang pertanyaan media atau permintaan maklumat lanjut berkaitan siaran ini, sila hubungi:

Unit Komunikasi Strategik Islamic Relief Malaysia
E-mel: Malaysia.Media@islamic-relief.org.my
Telefon: +6019-220 1788 atau +603-8926 3434

Islamic Relief Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan rasmi dengan mana-mana laman web pihak luar dan tidak bertanggungjawab terhadap kandungan atau pautan pada laman web yang bukan milik atau dikendalikan oleh Islamic Relief Malaysia. Islamic Relief Malaysia mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa untuk menjalankan kutipan sumbangan. Setiap sumbangan dalam talian melalui Perbankan Internet akan dikenakan caj transaksi sebanyak RM0.55, tertakluk kepada terma dan caj yang ditetapkan oleh penyedia perkhidmatan pembayaran. Sumbangan yang dibuat melalui saluran ini tidak layak menerima resit Pengecualian Cukai, melainkan dinyatakan sebaliknya. Kami menghargai sokongan dan kepercayaan berterusan anda terhadap Islamic Relief Malaysia.

© Copyright 2026 Islamic Relief Malaysia. All rights reserved | Company Reg No: 200401018851 (657354-W)

JOM MENYUMBANG