Layari laman ini dan buat sumbangan sekarang !
Maybank Islamic dengan kerjasama Badan kemanusiaan antarabangsa Islamic Relief Malaysia (IRM) mengagihkan sumbangan pek makanan Ramadhan Relief kepada 100 buah keluarga kaum Orang Asli di sini hari ini.
Majlis Iftar dan Penyerahan Sumbangan Pek Makanan Ramadan yang diadakan di SK Bukit Tampoi itu merupakan program bantuan Ramadhan Relief sempena kempen #SalamRamadan anjuran IRM. Ia membabitkan murid-murid, ibu bapa serta penduduk Kampung Orang Asli yang beragama Islam dari Bukit Tampoi, Air Bangkong dan Bukit Raja.
Agihan itu telah disempurnakan oleh Ketua Pengurusan Wakaf & Zakat Maybank Islamic, Hj. Azhar Alias, Pengurus Cawangan Maybank KLIA2, Rusli Abd Malek, Pengarah Bahagian Program Domestik IRM, Sharlina Adnan, serta Guru Besar SK Bukit Tampoi, Siti Saadah bt Mukrim.
Turut hadir di dalam majlis itu, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Sepang, Tuan Haji Arbain Pinni, YDP PIBG SK Bukit Tampoi, Ilam Senin dan Pengarah Persatuan Barokah Jumaat, Cik Mazuin.
Sharlina dalam ucapannya berkata, bantuan pek makanan untuk bersahur dan berbuka puasa itu mengandungi makanan asas seperti beras, tepung, minyak, mihun, biskut, sardin, sos, kicap, garam, gula, teh dan juga minuman bercoklat diberikan untuk memastikan semua penerima manfaat dapat menjalani ibadah puasa dengan sempurna.
Sementara itu, Azhar ketika berucap berkata, “Program sebegini adalah sejajar dengan konsep kami iaitu ‘menginsankan perkhidmatan kewangan’ di mana keuntungan yang kami peroleh, kami beri semula kepada masyarakat.
“Maybank Islamic telah bekerjasama dengan IRM sejak tahun 2013 lagi menerusi program Ramadhan Relief.
“Tahun ini sahaja, di bawah tajaan Maybank Islamic, sebanyak 94 lokasi telah dipilih untuk agihan di Malaysia dan jumlah keseluruhan penerima manfaat adalah sebanyak 70,000 orang di 10 negara Asia,” jelasnya.
Dalam majlis penyerahan itu, kesemua penerima manfaat, pegawai-pegawai Maybank Islamic dan IRM, kakitangan sekolah serta tetamu yang hadir diraikan dengan majlis iftar yang diuruskan oleh pihak sekolah.
Seorang ibu tunggal yang juga penerima sumbangan pek makanan, Noraini Aina Abdullah, 37 tahun berkata, “Ini pertama kali saya terima sumbangan daripada IRM. Saya mengucapkan terima kasih kepada IRM dan penaja atas bantuan ini,” katanya ringkas.
Ramadhan Relief merupakan program bermusim yang dilaksanakan oleh Islamic Relief (IR) di seluruh dunia bertujuan untuk membekalkan makanan asas kepada keluarga penerima manfaat bagi juadah bersahur dan berbuka.
Tahun ini, IRM mengagihkan sumbangan sebanyak 6,300 pek makanaan di Malaysia dan 3,540 pek makanan di lebih 30 buah negara termasuk Syria, Palestin, Somalia dan lain-lain.
Untuk Pertanyaan MediaSebarang pertanyaan media atau permintaan maklumat lanjut berkaitan siaran ini, sila hubungi:
Unit Komunikasi Strategik Islamic Relief MalaysiaE-mel: Malaysia.Media@islamic-relief.org.myTelefon: +6019-220 1788 atau +603-8926 3434
Islamic Relief Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan rasmi dengan mana-mana laman web pihak luar dan tidak bertanggungjawab terhadap kandungan atau pautan pada laman web yang bukan milik atau dikendalikan oleh Islamic Relief Malaysia. Islamic Relief Malaysia mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa untuk menjalankan kutipan sumbangan. Setiap sumbangan dalam talian melalui Perbankan Internet akan dikenakan caj transaksi sebanyak RM0.55, tertakluk kepada terma dan caj yang ditetapkan oleh penyedia perkhidmatan pembayaran. Sumbangan yang dibuat melalui saluran ini tidak layak menerima resit Pengecualian Cukai, melainkan dinyatakan sebaliknya. Kami menghargai sokongan dan kepercayaan berterusan anda terhadap Islamic Relief Malaysia.